Thursday, February 18, 2010

Fikrah Ikhwan Muslimun merangkumi semua pengertian Islah

Assalamualaikum wmt.wbth
Baru-baru saya menerima satu aduan akan masalah yang dihadapi oleh salah seorang sahabat kita berkaitan dengan isu Tariqat. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menerangkan akan hakikat dakwah kita. Adakah kita menerima konsep tariqah. Bilakah tariqah ini bermula. Adakah kita pentingkan aspek penyucian kalbu dan jiwa. Bukankah masalah umat atau manusia bermula di hati. Bukankah hati ini raja. Baiklah hati maka baiklah seluruh anggota tubuh (Hadith).
Dakwah Islamiyyah yang dibawa oleh Baginda Ar-Rasul s.a.w ialah  contoh paling tepat,paling tulin, paling benar berasaskan manhaj Qurani yang suci. Penterjemahan Islam dapat dilihat kepada Seerah Nabi yang mulia dan hanif. Tiada campuran sebaliknya dakwah yang dibimbing oleh Wahyu Ilahi. Dibetulkan dan ditegur oleh Allah SWT dalam banyak peristiwa walaupun isu-isu yang melibatkan di dalam rumahtangga Nabi yang Mulia.
Berlalunya masa, dari satu Khalifah kepada satu Khalifah. Dari Sebuah kerajaan Islam kepada kerajaan Islam, hakikat Islam yang suci, pendekatan dan pentarbiyahan mula dicemari oleh syubahat yang bukan dari Islam yang benar bahkan dicemari budaya, adat dan amalan-amalan lain yang bukan dari Islam. Ketika mana Raja-Raja memerintah kerajaan Islam secara yang menyimpang, ulamak menyendiri dan menjauhkan diri dari kerajaan menimbulkan suasana kehidupan yang jauh dari penghayatan Islam yang diharapkan. Ketika ini munculnya Sheikh-sheikh yang membimbing murid-murid yang ingin menuju Allah SWT. Munculnya berbagai tariqah mengikut disiplin yang ditetapkan oleh Para Sheikh mereka. Ada yang bertepatan dan menepati syarak dan ada juga yang jauh dan tergelincir dan murid-muridnya amat taasub kepada sheikh mereka, bertawasul dengan nama sheikh mereka, memuja dan memuliakan kubur-kubur mereka.  Kemunculan tariqah dengan maksud yang mulia muncul sewaktu kelemahan umat dan kelesuan kerajaan Islam dan serangan penjajah dan musuh Islam menyumbang kepada suasana yang tidak menentu.
Dalam konteks  inilah yang telah dihadapi oleh Ustaz Hassan Al-Banna di Mesir pada awal 20 an. Mesir ketika itu sedang dijajah oleh Inggeris dan King Fuad yang lemah dan tidak bermaya dan leka dengan kekayaannya sedang umat sedang menderita kemiskinan dan penjajahan. Di Mesir tika itu muncul pelbagai tariqah dan Ustaz A-Banna sendiri pernah mengikuti satu kumpulan Tariqah sewaktu beliau menjadi pelajar dan gurunya sering mengadakan majlis zikrul maut di dalam lubang kubur. Pada asasnya beliau tidak menolak konsep atau jalan Tariqah secara umumnya namun beliau menolak bentuk dan amalan yang tiada nas atau hujjah. Sikap taasub kepada Sheikh secara melulu, atau mentaqdiskan (mensucikan) atau amalan-amalan yang boleh dianggap khurafat cuba dijauhi atau dinyatakan tidak persetujuannya. Bahkan pernah beliau berbincang dengan seorang Sheikh Tariqah yang muda sambil meletakkan serban dan songkok beliau sambil mengajak beliau brsama-sama berfikir bagi umat dan memikir jalan-jalan bagi pengislahan.
Bahkan jika kita menganalisa amalan Ikhwan Muslimun yang mengadakan zikir mathurat adalah sebahagian dari amalan tariqah akan tetapi beliau memilih zikir-zikir dari Al-Quran dan Hadith Nabawi yang sahih sebagai wasilah menghidupkan dan mendisiplinkan para Ikhwan dengan zikir yang menghidupkan hati dan kalbu. Bahkan untuk menghabiskan Mathurat Kubra akan mengambil masa 30 minit ke satu jam.
Yang Mulia Almarhum UstaZ Dr Said Hawwa, Tokoh IM Syria dalam satu bukunya Durus Fi amal Al-Islami 1 dan 2 menulis pandangan beliau terhadap tariqah. Bagi beliau seseorang Ikhwan boleh memilih untuk mengikuti tariqah selagi mana amalan-amalan yang dilakukan itu tidak keluar dari batas syarak atau termasuk amalan bid'ah. Namun dia mesti mendisiplinkan dirinya dengan amalan-amalan yang ditetapkan oleh tarbiyyah Jamaah. Kunci kepada isu ini ialah selagi mana amalan atau perbuatan tariqah yang diikutinya masih dalam lingkungan syarak, tidak bid'ah dan meninggalkan kewajipan amal Islami, jihad yang diwajibkan dan peranannya dalam masyarakat dan dakwah itu terpulanglah kepada peribadi tersebut. namun sikap taasub dan perpecahan antara umat, sikap menyendiri dan berkhalwah hingga mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar dan jihad yang diwajibkan maka ianya adalah dilarang.
Sebab itu Imam Al-Banna menjadikan mustawa al-akh di dalam "Tanfiz" sebagai " Sufi tulin di sudut ibadah dan Jundi tulin di sudut amal" (Sufi bahtah fil ibadah wa jundiah bahtah fil amal".
Kesimpulannya Imam Al-Banna mentakrifkan dakwahnya salah satunya ialah " Tariqah Sunniah" sebagai ciri-cirinya dengan ertikata Jalan KeNabian bersumberkan Hadith Yang Sahih dan mulia. Itulah jalan kita
  a. Dakwah Salafiyah – Dakwah Salafi
  b. Tariqah Sunniah – Jalan Sunnah
  c. Haqiqah Suffiah – Hakikat Kesufian
  d. Hai’ah Siyasiyyah – badan Siyasah
  e. Jamaah Riadiyyah – pasukan Sukan
  f.  Robitah Ilmiyyah Wathaqafiyyah –Ikatan Ilmu dan Peradaban
   g. As-Syirkah Iqtisodiyyah – Syarikat Perniagaan
  h. Fikrah Ijtimaiyyah – Pemikiran Kemasyarakatan
   (rujukan: Muktamar Ke-5 Ikhwanul Muslimun - Muktamar Khomis)

Pengarah LKD

No comments:

Post a Comment