Friday, June 28, 2013

I'dat Du'at 2013

Bismilllah.


Bertempat di Pusat Pendidikan Al-Islah, Kedah, program I'dat Du'at berjaya dilaksanakan dengan tema 'Tarbiyyah Mantap, Duat Thabat, KRSM Hebat'. Program yang berlangsung pada 2 Jun 2013 hingga 5 Jun 2013 tersebut disertai oleh pelajar dari sekolah-sekolah rangkaian Musleh.

Secara amnya, program ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwwah dan meningkatkan kefahaman berkaitan kepentingan tarbiyah selain menjana motivasi peserta untuk membantu menjayakan program tarbiyyah di sekolah. 

Program I'dat Du'at 2013 sedikit berbeza dengan sentuhan unsur KRSM ke dalam program di mana para peserta perlu mengikuti beberapa slot dalam Kursus Kemahiran KRSM di samping mendapat pengisian fikrah dan ilmiah. Slot pertama (mind setting) disampaikan oleh Ustaz Ab Rahman Salleh. Diikuti dengan slot kedua iaitu ‘Mengenal Hakikat Diri dan Tanggungjawab’ yang diberikan oleh Muallimah Maimunah Mohd Beon. Pengisian ketiga yang disampaikan oleh Ustaz Ab Rahman Salleh bertajuk ‘Mengapa Saya Perlu Berdakwah?’.

Ustaz Idris Kassim menyampaikan slot berikutnya, 'Kerugian Dunia apabila Islam Tewas'. Pengisian '10 Ciri Kader Dakwah' oleh Muallim Mukhlis manakala Muallim Abdul Majeed Dzulkifli menyampaikan  slot terakhir, iaitu 'Kreatif dalam Berdakwah'.

Dengan adanya pengisian dan latihan kemahiran KRSM, adalah diharapkan agar para peserta dapat menggarap segala input seterusnya menghasilkan output yang mampu memberi manfaat kepada orang lain dan ummah. Mudah-mudahan, akan terbentuk generasi yang berfikrah mantap dan multi-skilled, sebagaimana para sahabat terdahulu. 

Jazakallahu khairan kepada semua jiwa yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak. Moga Allah memilih kita untuk terus thabat di jalan ini.

Monday, June 17, 2013

Latihan Kader Du'at Generasi Ke-4

Bismillahirrahmanirrahim. 

Baru-baru ini, Kader Du'at Musleh telah berjaya menganjurkan siri Latihan Kader Du'at bagi Jill generasi) Ke-4. Program yang dijalankan secara berkala ini telah disertai oleh lepasan pelajar sekolah Musleh yang juga merupakan calon SPM 2012.

Bermula dengan Daurah Outdoor yang bertempat di SM Al-Hidayah, Ipoh, para peserta LKD Jiil ke-4 disajikan dengan perkongsian yang menghidupkan hati bertajuk Iman dan Ukhuwah.  

Seterusnya, para peserta dituruti dengan program Perkhemahan Nasional KRS Musleh (PERNAS) yang bertempat di Dataran JPS Kuala Kangsar, Perak bermula pada 17 hingga 21 Disember 2012.

Bermula 11 hingga 13 Januari, topik pengisian yang di sediakan Ini Sejarah Kita dan Ini Peranan Kita. Stail penyampaian yang agak serius bercampur santai menjadikan slot yang berlangsung di SMI Al-Amin, Bangi tersebut sangat menyegarkan. 

Bertempat di lokasi yang sama bagi ikhwah dan di Usayd bagi akhawat, daurah seterusnya dijalankan pada 15 hingga 17 Februari. Kali ini, ikhwah dihidangkan dengan pengisian Syahadatul Haq manakala pengisian bagi akhawat ialah Sayonara Jahiliah, pengenalan beberapa tokoh, dan Dakwah Fardiah. 

Daurah siri ketiga menyusul pada 25 dan 26 Mac di SM Al-Islah, Sungai Petani. Di sini, peserta diberi penerangan berkenaan 3T (Takrif, Takwin, Tanfiz) , Dakwah Fardiah serta Khutuwat Dakwah. 

Kemuncak dalam siri Latihan Kader Du'at, Kembara Dakwah bagi Latihan Kader Du'at Generasi Ke-4 mengambil tempat di Perkampongan Orang Asli Pos Chiong, Grik, Perak. Pengalaman selama enam hari dalam misi menyebar luaskan dakwah Islam semestinya menjadi pengalaman yang sangat berharga buat peserta.  

Daurah siri keempat sekali gus menjadi penutup tirai bagi sesi Latihan Kader Du'at Generasi Ke-4 ini mendedahkan kepada peserta berkenaan Qaedah Sulbah. Program ini berlangsung di SM Al-Amin, Bangi bermula 10 sehingga 12 Mei.  

Mudah-mudahan, dengan bekalan yang diperoleh, barisan kader du'at Generasi ke-4 ini mampu memberi nafas baru dalam tarbiyah serta menjadikan gerak kerja dakwah lebih kencang sekali gus mengubah landskap tarbiyah dan dakwah itu sendiri. 

Dan ingin kami rakamkan di sini ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dalam menjayakan Latihan Kader Du'at Generasi ke-4. Tidak lupa juga, segulung penghargaan kepada mereka yang berusaha memacu LKD/KDM ke arah yang cemerlang. Mudahan-mudahan segala usaha ini diganjari oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran. Insha Allah...