Monday, May 26, 2014

LKD 5



Bismillah

Alhamdulillah, selesai sudah program Latihan Kader Du'at (LKD) untuk generasi yang ke-5. Mudah-mudahan, dengan bekalan yang diperoleh, barisan kader du'at Generasi ke-5 ini mampu memberi nafas baru dalam tarbiyah serta mengubah landskap tarbiyah dan dakwah di IPT. 

Kami ingin rakamkan di sini ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dalam menjayakan Latihan Kader Du'at Generasi ke-5. Mudahan-mudahan segala usaha ini diganjari oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran. 

Semoga kita semua terus gencar !

LKD 5: Daurah 3

Bismillah.

Bertempat di Sekolah Menengah Al-Hidayah, Ipoh, daurah ketiga Latihan Kader Du'at (LKD) Generasi ke-5 telah berjaya dijalankan dengan bilangan peserta seramai 84 orang, 33 ikhwah dan 51 akhawat. Program yang telah berlangsung dari 18-20 April 2014 baru-baru ini, dimulakan dengan pembentangan Kembara Dakwah secara berasingan pada petang hari 18 April. Pada waktu malam, peserta dimotivasikan dengan pembentangan peribadi seorang 'Ibadurrahman, tafsiran surah al-Furqan yg disampaikan Muallim Zulkifli.

19 April, peserta diisi dengan pengisian "Risalah vs Ijazah" dalam sesi pagi oleh Muallim Majeed. Kemudian diikuti dengan pengisian "Ilmu vs Fikrah" yang juga disampaikan oleh pembentang yang sama. Pada sesi petang selepas zuhur, peserta telah mempelajari Time Management yang dibawa oleh beberapa wakil Ikram Siswa Seri Iskandar. Dan seterusnya slot malam diisi oleh Muallimah Zaiton dengan sesi Micro Teaching.

Sesi pada keesokan harinya (20 April) berakhir dengan solusi dan penutup program. Program bersurai selepas zuhur.

Pihak KDM (Kader Du'at Musleh) selaku penganjur berharap agar segala input yang diperoleh dan dipelajari sepanjang program difahami dan dihadam seterusnya dipraktikkan ke dalam bentuk amalan. Jazakumullah khairan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Semoga dengan segala ilmu yang diperoleh dan amal yang dipraktikkan dapat mencapai objektif kita sebagai seorang 'abid.

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepadaKu." [Adz-Dzariyaat:56]

Semoga kita berjumpa pada pertemuan akan datang dengan jiwa harimau yang sudah bangun.

LKD 5 : Kembara Dakwah

Bismillah.

Kembara Dakwah di Pos Chiong

Kembara Dakwah di Semop


Mac 2014, peserta LKD 5 didedahkan kepada masyarakat melalui Kembara Dakwah. Kembara Dakwah kali ini diadakan secara berasingan di dua tempat, iaitu di Grik, Perak dan Sibu, Sarawak.

           Peserta kumpulan Kembara Dakwah yang ke Pos Chiong, Grik terdiri daripada 15 ikhwah, 23 akhawat dan 3 guru pengiring, iaitu Ustaz Shahrinizam bin Mohd Amin, Ustaz Soleh bin Senafi dan Ukht Aida binti Suhaimi. Kumpulan ini diketuai oleh Muhammad Sufyan Naim bin Shahrinizam dan Aisyah binti Abdul Hadi. Perjalanan dimulakan pada 23 Mac di mana ahli kumpulan dikehendaki berkumpul di Pusat Pendidikan Al-Islah, Sungai Petani, Kedah. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang tempoh tujuh hari berada di lokasi termasuklah ziarah, perkongsian tafsir Al-Qur'an, kelas agama, sesi tadabbur alam, sukaneka, riadhah, pertandingan fashion show, pertandingan menyumpit, kenduri serta gotong-royong. Pada 30 Mac, majlis penutup yang diadakan turut dihadiri Ustaz Megat Mohd Amin dan Tok Batin.

           Kumpulan kedua Kembara Dakwah pula dilaksanakan di Kampung Semop, Sibu pula diketuai oleh Muhammad Najib bin Yusof dan Mutmainnah Mazlan. Terdiri daripada 12 ikhwah, 18 akhawat dan 4 guru pengiring. Dan pengiringnya ialah Ustaz Idris Kassim, Ustaz Syukri, Muallimah Zaiton dan Muallimah Rosmawati binti Abdul Wahab. Kumpulan ini memulakan perjalanan ke Kampung Semop pada pagi 26 Mac. Di Kampung Semop, peserta menjalankan beberapa aktiviti bersama penduduk kampung seperti pertandingan mewarna, bengkel solat, mengajarkan iqra’, ceramah berkenaan tafsir Al-Fatihah, sukaneka, malam kebudayaan, rewang, gotong-royong dan tayangan. Program Kembara Dakwah 2014 (Sibu) diakhiri dengan majlis penutup pada 31 Mac.

           Diharapkan bahawa ahli peserta memanfaatkan segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh sepanjang program Kembara Dakwah. Mudah-mudahan, ia menjadi satu catalyst (pemangkin) yang mampu membentuk peserta LKD 5 untuk menjadi kader du'at yang tegar dan tangguh, in sha Allah.

LKD 5: Mukhayyam

Bismillah.



Alhamdulillah. Setelah dua sesi daurah, Latihan Kader Duat (LKD) Generasi ke-5 telah menjalani aktiviti mukhayyam (perkhemahan) bermula 14 hingga 16 Febuari. Mukhayyam kali ini dijalankan secara berasingan. Bagi ikhwah, mukhayyam berlokasi di Insight G-Jan Camp, Nilai, Negeri Sembilan manakala akhawat di Kem Sri Raudhah, Gombak.

Rasminya, program bermula selepas solat Jumaat. Para peserta terlebih dahulu berkumpul di Sekolah Menengah Al-Amin Bangi sebelum bergerak ke tapak perkhemahan dengan kenderaan yang disediakan pihak urusetia.

Bagi ikhwah, mukhayyam yang bertemakan "Thoriq ad-Da'wah, Thoriq al-Wahidah" ini bermula dengan sesi mind-setting seusai maghrib, disusuli dengan sesi pengulangkajian intipati daurah-daurah yg dilalui peserta sebelum ini dan dikendali oleh Ustaz Majeed. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, diketuai oleh amir (ketua) dan dibantu oleh beberapa AJK dalam kalangan mereka sendiri.

15 Februari 2014, para peserta diperjelas dengan lebih mendalam, tema mukhayyam kali ini oleh Ustaz Taufiq. Program diteruskan dengan aktiviti Explorace mengikut kumpulan masing-masing, lengkap dengan 4 checkpoint yang penting. Sesi perkongsian pengalaman dan ibrah dijalankan selepas Zuhur. Pada sebelah petang, riadhah dan permainan dikendalikan sendiri oleh para AJK yang dilantik. Slot pada malam tersebut ialah persembahan bertemakan nama kumpulan (al-Fahmu, al-Iman, Wafa', al-Iradah,  Thadhiyyah) mengikut kreativiti masing-masing.

16 Februari 2014, Slot pagi dicerahkan dengan perkongsian oleh Ustaz Idris berkisarkan cabaran-cabaran yang dihadapi para Da'ie atas jalan dakwah. Program diakhiri dengan sesi pembentangan qudama' dan resolusi, dan bersurai selepas Zuhur.

Bagi akhawat pula, program yang bertemakan ‘Keakhawatan’ ini dimulakan dengan sesi mind-setting, disusuli dengan pengisian bertajuk ‘Wanita Pengukir Sejarah’ yang disampaikan oleh Ukht Aminah Kamilen.

Pada 15 Febuari, jalan-jalan Ziarah Qudama’ dilaksanakan. Dalam aktiviti ini, para peserta diberi peluang untuk menziarahi tokoh dalam kalangan akhawat. Mereka ialah Dr Anisah Abd Ghani, Dr Azizah Mohd Radzi, Dr Najibah Mohd Zain, Puan Faridah Maludin, Puan Ruzaimah, dan Puan Azean. Slot pada malam tersebut ialah persembahan kebudayaan, di mana setiap kumpulan diberi tugasan untuk menyampaikan kisah sejarah tokoh muslimah (seperti Zainab Al- Ghazali, Khansa’, Saidatina Fatimah, Saidatina Aisyah, Maryam Jameelah dan Ummu Sulaim) mengikut kreativiti kumpulan masing.

Ibrah daripada sesi Ziarah Qudama’ dibentangkan pada pagi 16 Febuari. Program bersurai pada Zuhur, seusai resolusi.

Kami berharap agar generasi pemuda kini menjadi sehebat generasi sahabat yang terdahulu. Mudah-mudahan, peluang keemasan untuk bertemu dan mengutip mutiara daripada qudama’ serta orang yang sangat berpengalaman dalam arena dakwah dan tarbiyah, mampu menyuntik inspirasi serta semangat kepada generasi muda untuk terus melaju.

Sehingga bertemu kembali dalam daurah ketiga serta Kembara Dakwah, pada hujung bulan Mac 2014. Insya-Allah.