Tuesday, July 20, 2010

Debat MUSLEH boleh diadakan ala Parlimen – Setiausaha Dewan Negara

Selasa, 13 Julai 2010 15:20 M Nasim

(Malaysiaharmoni.com)

a
KUALA LUMPUR - Kualiti yang ditunjukkan oleh para peserta Kejohanan Debat Antarabangsa MUSLEH Ke-2 di Hotel Putra kelmarin telah meyakinkan lagi Setiausaha Dewan Negara, Datuk Zamani Sulaiman untuk mengadakannya dalam suasana yang benar-benar seperti di Parlimen pada tahun hadapan.
Berucap di majlis penutupan kejohanan, beliau menegaskan sepatutnya sebagaimana yang dijanjikannya tahun lepas, pertandingan debat kali ini diadakan di Parlimen dengan Dewan Negara menjadi tuan rumah, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan. Bagaimanapun beliau berjanji akan cuba bekerjasama dengan MUSLEH pada tahun hadapan untuk mengadakannya di tempat yang lebih besar dan suasananya mirip Parlimen Malaysia.
“Saya percaya selepas ini ramai daripada ahli parlimen perlu pencen kerana kita mempunyai pelapis yang cukup baik,” katanya berseloroh. “Perdebatan yang ditunjukkan oleh peserta sangat berkualiti walaupun mereka masih muda.
“Saya juga gembira melihat peningkatan penyertaan sekolah yang mengambil bahagian berbanding tahun lepas.
Pada kali ini, penyertaan yang turut melibatkan beberapa wakil Sekolah Berasrama Penuh (SBP) membuktikan sekolah kerajaan mengiktiraf program yang dianjurkan oleh MUSLEH. Malah daripada pengamatan saya, mereka (sekolah kerajaan dan swasta) setanding.”
aSebelum mengakhiri ucapan perasmian, Zamani meluahkan hasratnya agar program berprestij sebegini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut berucap pada majlis tersebut ialah pengerusi kejohanan, Prof Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali (gambar kiri). Beliau menekankan betapa perlunya meletakkan diri di tempat dan keadaan yang betul dalam kehidupan ini. “Biarlah kita menjadi seperti biji benih yang mampu tumbuh subur walau tercampak di mana-mana sekalipun. Kalau kita menjadi emas atau berlian, ia tetap akan pudar jika terjatuh ke dalam lumpur,” katanya sambil mengharapkan kejohanan debat seperti ini akan dapat melengkapkan lagi aspirasi pendidikan MUSLEH untuk melahirkan insan holistik.
aPerkara ini turut dipersetujui oleh Pengerusi MUSLEH Berhad sendiri, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor (gambar kanan). Beliau melahirkan rasa amat bersyukur dengan kelancaran program tersebut setelah pengalaman pertama MUSLEH tahun lepas.
“Kualiti perdebatan kali ini juga amat memberangsangkan terutama dalam kategori bahasa Arab sehinggakan para juri terpegun dan sukar memilih pendebat terbaik.
“Saya amat berbesar hati dan mengalu-alukan kesediaan Datuk Zamani untuk bekerjasama dengan MUSLEH dan berharap akan mendapat sokongan yang lebih besar pada tahun hadapan. Saya juga mengharapkan kejohanan yang begitu positif ini dapat diadakan lebih meriah di tempat yang lebih besar sesuai dengan suasana parlimen sebenar,” katanya.
Kejohanan Debat Antarabangsa MUSLEH Ke-2 ini adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Musleh Berhad (Pusat Pendidikan SRI-SMI Bhd), UIAM dan International Center for Educational Excellence Bhd (ICEE) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah. Ia berlangsung dari 8 hingga 11 Julai 2010 di Hotel Putra, Jalan Tun Razak di sini.

Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar MUSLEH Kali Ke-2 Tahun 2010

 Para Pendebat dari SMI Hidayah JB yang memenangi Kategori Bahasa Melayu
(Dari Malaysiaharmoni.com)
KUALA LUMPUR - 11 Julai 2010.
Tahun ini ternyata manis buat Sekolah Menengah Islam Hidayah Johor Bahru (SMIHJB) apabila pasukan debatnya berjaya menggegar gelanggang akhir Kejohanan Debat Antarabangsa Pelajar MUSLEH Kali Ke-2 Tahun 2010 bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Meskipun sekadar menjadi naib juara dalam kategori Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, dewan di tingkat empat Hotel Putra Kuala Lumpur gamat dengan sorakan apabila SMIHJB diumumkan pemenang perlawanan akhir kategori Bahasa Melayu.
aSMIHJB yang dibarisi Ili Syazwani, Raihana Zakaria dan Nadiah Syahirah serta Mohd Hanif selaku pendebat simpanan menewaskan Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) Kelang yang diwakili Syed Fahmi, Muhd Firdaus, Haris Safwan serta Aifa Nadhirah. Bertindak sebagai 'Speaker Dewan' pula ialah Muhammad Talhah Ajmain (gambar kiri) dari Universiti Malaya, manakala Hasif Hishamuddin sebagai penjaga masa.
Debat ala Parlimen dengan usul "Dewan ini percaya kita perlu berkeras dengan Israel" menyaksikan barisan lima juri diketuai Pembantu Pengarah di Jabatan Komunikasi dan Pengembangan Pengucapan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Amirul Zaidi Che Ros memberikan kemenangan 5-0 kepada SMIHJB. SMIHJB bertindak selaku pembangkang yang menolak usul berkenaan.
aGelaran Pendebat Terbaik Bahasa Melayu bagaimanapun menjadi milik Muhd Firdaus (gambar kanan) yang berjaya menawan para juri dengan hujahannya yang kemas dan bernas terutama dalam sesi penggulungan.
Terdahulu, dalam kategori Bahasa Arab, KISAS mengatasi pasukan SMIHJB A dengan perbezaan markah hanya 7.1 peratus. Usul bertajuk "Campur tangan ahli anggota ASEAN dalam hal ehwal dalaman ahli satu keperluan" turut menobatkan wakil KISAS, Nur Farhanah sebagai pendebat terbaik.
Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, Sri Ayesha Islamic School (SAIC) Kajang membuktikan keunggulannya apabila menundukkan pencabarnya yang juga dari SMIHJB. Gelaran pendebat terbaik turut dimonopoli SAIC menerusi pesertanya, Nurkamalia.
Pendebat terbaik keseluruhan untuk kategori Bahasa Melayu jatuh kepada Husna Iskandar (SMI Al-Amin Bangi), manakala untuk kategori Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris masing-masing dirangkul oleh Anis Amirah Zakaria (KISAS) dan Adibah Bahiyah Awang (SMI Al-Amin Gombak).
aPengetua SMIHJB, Kamaliah Nordin (gambar kiri) yang ditemui melahirkan rasa syukur atas pencapaian wakil-wakil sekolahnya yang berjaya melangkah hingga ke peringkat akhir dalam ketiga-tiga kategori pada tahun ini.

"Debat memang menjadi niche atau fokus sekolah sejak 4-5 tahun lepas. Alhamdulillah, ia dimasukkan ke dalam perancangan strategik sekolah dan bolehlah saya katakan hasilnya mula kelihatan sekarang," ujar beliau apabila ditanya tentang rahsia kejayaan SMIHJB.

"Saya juga amat berbangga dengan kumpulan alumni pendebat sekolah yang begitu komited melatih serta mencurahkan pengalaman mereka sehingga melahirkan pendebat pelapis peringkat sekolah. Hasilnya, SMIHJB telah beberapa kali muncul johan dalam pertandingan yang disertai," tambahnya.

Beliau berharap arena debat dilihat sebagai unsur yang dapat membentuk sahsiah pelajar kerana ia bukan setakat melatih pelajar bercakap tetapi juga bersabar, gigih, tabah dan mengawal diri ketika berdebat. "Semua kualiti ini amat penting untuk du'at (pendakwah)," katanya.
Kejohanan tahun ini menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila disertai oleh beberapa buah sekolah berasrama penuh seperti KISAS, Maktab Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya.
 a aa
Kejohanan ini adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Musleh Berhad (Pusat Pendidikan SRI-SMI Bhd), UIAM dan International Center for Educational Excellence Bhd (ICEE) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah dan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai 2010 di Hotel Putra, Jalan Tun Razak di sini. Acara perasmian penutupannya telah disempurnakan oleh Setiausaha Dewan Negara, Datuk Zamani Sulaiman.
Seramai 158 orang pelajar dari dalam dan luar negara membabitkan 40 buah pasukan debat telah mendaftarkan diri untuk menyertai kejohanan berkenaan. Kejohanan kali ini turut dimeriahkan dengan penyertaan dua buah pasukan debat dari negara jiran, Indonesia. Penyertaan dalam negara pula terdiri daripada pelajar-pelajar jaringan sekolah menengah rangkaian Musleh (14 buah) dan sekolah swasta yang lain iaitu Sekolah Menengah Islam ADNI, Sri Ayesha Islamic School Kajang dan International Islamic School Kota Damansara.
a



a

 Pendebat dari KISAS (Pendebat Terbaik BM sedang mengemukakan Usul)
 a

 Para Hakim Jemputan sedang khusyuk mendengar hujjah
a
a
a

Foto-foto oleh M Nasim

Pengarah LKD/Pengarah Kejohanan Debat 2010

Friday, July 2, 2010

KRS Musleh Memenangi pertandingan Perkhemahan Perdana KRS Malaysia Ke-10

2 Julai 2010, Kem Juaseh, Bahau NS
Alhamdulillah seramai 38 orang peserta Kadet Remaja Sekolah Musleh yang hadir dari pelbagai 14 buah sekolah menengah naungan Musleh mengikuti kali pertama Perkemahan Perdana KRS Malaysia Kali Ke-10 Anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Tuan Rumah kali ini adalah Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Perkhemahan ini dihadiri dari seluruh kontigen KRS dari setiap negeri di Malaysia termasuk WP Labuan.

Alhamdulillah kami amat semua yang hadir amat berbangga dengan kemenagan 3 pertandingan berikut:-
a) Naib Johan Putera - Orienteering
b) Naib Johan Puteri - Orienteering
c) Naib Johan Puteri -Bantu Mula (First Aid)

Dari keseluruhan pencapaian pasukan. KRS Musleh dimaklumkan dari Ust Soleh, menduduki tempat ke-5 dari pasukan KRS Malaysia dari 14 buah negeri di Malaysia.



Pengarah LKD/Penasihat 1 KRS-Musleh

Mukhayyam Tarbawi Hidayah Ipoh

2 Julai 2010,
Kem Murni, Gopeng, Ipoh.

Alhamdulillah saya dapat menghadiri program Mukhayyam Tarbawi Anjuran JK Tarbiyyah Sek Men Hidayah Ipoh di Kem Murni, Gopeng tak jauh dari Ipoh. Majlis dihadiri 100 orang pelajar T1, T2 dan T4 ikhwah dan akhawat. Malam pertama saya dijemput memberi pengisian dengan tajuk Tarbiyyah Dzatiah. Moga Allah SWT memberikan kita semua taufik dan hidayah dalam usaha membangun generasi bertaqwa. Majlis ini saya hadiri selepas saya dan pimpinan Musleh menghadiri Perkemahan Perdana KRS Malaysia di Kem Juaseh, Bahau NS jam 9 pagi dan tamat jam 12.30 tgh.

Tuesday, June 15, 2010

Majlis Pelancaran Pertubuhan IKRAM Malaysia

Majlis Pelancaran Pertubuhan IKRAM Malaysia

Assalamualaikum wmt wbkth
Kehadapan semua Alumni LKD Pertama 2009.

Saudara/i semua adalah dijemput memeriahkan Majlis Pelancaran Pertubuhan IKRAM Malaysia yang akan berlangsung pada 20 Jun 2010 bersamaan hari Ahad di Mines International Exhibitions and Convention Centre ( MIECC) berhampiran Pusat Beli belah MINES Seri Kembangan. Pendaftaran akan bermula pada jam 8:00 pagi. Saudara/i juga adalah digalakkan menjemput sahabat dan rakan khasnya rakan-rakan Alumni sekolah masing-masing menyertai majlis pemasyhuran ini.

Majlis akan dihadiri oleh tokoh Pendakwah Islam dalam dan Luar Negara, Tokoh-Tokoh NGO, Politik dan Aktivis dakwah dari seluruh negara. Majlis dijangka tamat jam 2 petang. Terdapat hampir 50 gerai serta pameran seperti Aqsa Syarif Bhd, Musleh, KRS Musleh, JIM, Hidayah Centre, Raudhatus Sakinah Bhd dll

InsyaAllah kita akan berjumpa semua Alumni LKD di sana!
Pengarah LKD

Saturday, June 12, 2010

Unjuk Rasa Penentangan Rakyat terhadap Serangan Israel Ke Atas Mawi Marmara

Demo kalau dah penat, minum dulu. Bergambar bersama CEO dan SU Aqsa Syarif. Anak No 3 Abdul Rahman pun join sama.
4 Jun 2010, 10,000 Umat Islam dianggarkan wartawan akhbar bersatu menyatakan unjuk rasa (demo) bagi menyatakan kemarahan dan tantangan terhadap Israel serta Proksi-Proksinya terhadap kekejaman Regim Zionis Israel yang membunuh dan mencederakan puluhan aktivis kemanusiaan yang ingin memecah tembok kepungan dan memberi bantuan makanan, perubatan dan binaan. Tragedi Mawi Marmara telah membangkitkan kesedaran masyarakat antarabangsa bagi mengutuk serangan dan bantahan dilakukan di seluruh dunia termasuk Parlimen Malaysia yang telah mengemukakan Usul tanpa bantahan terhadap Israel yang akan dikemukakan di Sidang PBB akan datang.

Namun langkah penghantaran misi kemanusiaan bukanlah berhenti di sini. Usaha berterusan dan sokongan umat serta rakyat antarabangsa amat diperlukan.

Awal 2009 ketika saya mengikuti dan meredah sempadan Gaza dalam misi kemanusiaan selepas perang 34 hari di Gaza sewaktu melintasi sempadah Rafah, Mesir masih dalam ingatan. Udaranya yang segar, semangat yang menyala-nyala kini bukan hanya khayalan. Penduduk Rafah dan El-Erish masih dalam ingatan. Makanan yang enak serta hubungan yang erat antara mereka dan penduduk Gaza tidak boleh dinafikan. Minyak zaitun dan kopinya yang wangi akan membuka semula kotak ingatan misi ini. Hanya 2 lori muat dengan bahan perubatan dapat kami hantarkan untuk penduduk Gaza manakala Generator Elektrik Gergasi itu untuk Hospital di Gaza terpaksa dibawa keluar akibata sekatan kerajaan Egypt.

Wahai para pejuang Islam, kita semua ada hak untuk membuka kepungan kota Gaza demi membebaskan saudara/i yang dizalimi insyaAllah.

Risalah Mursyid: Gazza menghamburkan percikan kemerdekaan dan kemuliaan kepada dunia

Oleh: Mursyid Ikhwanul Muslimun

3 Jun 2010
Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta semua yang mengikutinya sehingga ke hari pembalasan.
Amma ba’du…
Sesungguhnya kebebasan adalah satu daripada fitrah manusia, anugerah dari Allah untuk seluruh makhluk-Nya. Tidak ada seorangpun – walau setinggi mana kedudukannya - berhak untuk merampasnya.
Hakikat ini sangat jelas. Allah s.w.t. sendiri tidak memaksa sesiapapun supaya beriman kepada-Nya sebagaimana ditegaskan di dalam firman-Nya (لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِ‌ۖ), maksudnya “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)…” (Al-Baqarah:256).
Kebebasan paling tinggi terpapar di persada maya, pada keEsaan Allah Yang Maha Tunggal, mencipta dan mentadbir. Dan perhambaan diri kepada Dia Yang Esa adalah kemuncak kebebasan paling tinggi bagi umat manusia. Dengan mengabdikan kepada Allah, manusia bebas dari menyembah tiga ‘tuhan’ yang sebenarnya tidak layak dilayak disembah: batu, manusia dan hawa nafsu.
Pengabdian diri kepada Allah juga membebaskan manusia dari kongkongan pengabdian kepada adat resam dan budaya bangsa, bebas dari pengaruh manusia dan bebas dari cengkaman nafsu durjana. Dengan mengabdikan diri kepada Allah, darjat manusia terangkat ke mercu ketinggian, mencecah kebenaran, menjadi hamba kepada Yang Maha Benar, Maha Esa dan Maha Tunggal, tempat bergantung segala sesuatu, tiada bandingan dan tiada sekutu.

Sesebuah Negara tidak akan bebas, tidak akan memperoleh kemerdekaan yang hakiki dari sebarang bentuk penjajahan kecuali apabila rakyatnya telah merdeka jiwa raganya. Inilah maksud firman Allah s.w.t. (إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ ) maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Ra’d:11).
Dan bangsa yang paling berhak hidup ialah yang paling banyak berkorban untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Islam telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada selain Allah. Hal ini pernah diungkapkan dengan begitu indah sekali oleh pahlawan Islam Rab’ei bin ‘Aamir: “Sesungguhnya Allah telah membangkitkan kami supaya kami mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada menyembah hamba kepada menyembah Tuhan sekelian hamba, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.
Kata-kata ini sejajar dengan ungkapan yang pernah ditegaskan oleh Nabi Allah Musa a.s. ketika beliau berjuang untuk membebaskan Bani Israel dari cengkaman Firaun (وَتِلۡكَ نِعۡمَةٌ۬ تَمُنُّہَا عَلَىَّ أَنۡ عَبَّدتَّ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ ) maksudnya “Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Asy-Syu’ara’:22)
Wahai dunia seluruhnya…
Sesungguhnya kebebasan manusia semua tidak akan tegak kecuali di bawah naungan Islam. Islam memberikan kebebasan kepada semua golongan hidup di bawah dakapannya tanpa membeza-bezakan antara manusia berdasarkan agama yang dianutinya, bangsa dan warna kulitnya, status sosial serta darjat keturunannya. Semuanya sama dari segi hak mendapat kebebasan.
Islam berpegang kepada prinsip manusia semuanya berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Tiada kelebihan bagi orang Arab atau Ajam kecuali dengan taqwa. (يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬) maksudnya “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)
Adakah di sana terdapat satu pendirian yang lebih hebat daripada pendirian yang telah ditunjukkan oleh Umar bin al-Khattab ketika dia melayan gabenornya di Mesir, ‘Amru bin al-Aas r.a.? Anak kepada gabenor, telah menampar seorang Kristian sambil berbangga dengan kedudukan dan kemuliaan datuk neneknya. Lalu Umar mengeluarkan perintahnya: “tangkap anak orang yang mulia itu, dan kenakan dia hukuman qisas dengan perintah Umar!” Dan kepada ‘anak orang yang mulia’ itu Umar mengajukan soalan cepu masnya: “bilakah kamu dibenarkan memperhambakan manusia, sedangkan mereka telah dilahirkan ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”
Sesungguhnya Islam, sejak dahulu, sekarang dan akan datang merupakan payung rahmat, keadilan, kebebasan, persamaan yang meliputi seluruh persada bumi dan menaungi seluruh manusia, hamba kepada Penciptanya.Kebebasan adalah sesuatu yang difardhukan.
Sesungguhnya Imam al-Banna telah menegaskan sejak permulaan munculnya gerakan dakwah ini bahawa kemerdekaan adalah sesuatu yang difardhukan di dalam Islam.
Beliau berkata: “Apabila kamu ditanya, kamu menyeru manusia kepada apa? Maka jawablah, kami menyeru kepada Islam yang dibawa oleh junjungan kami, Muhammad s.a.w. dan kerajaan adalah sebahagian daripadanya, kebebasan adalah satu fardhu daripada fardhu-fardhunya. Sekiranya mereka bertanya lagi, itu adalah politik. Maka katakanlah kepada mereka, inilah Islam dan kami tidak mengenali pembahagian-pembahagian yang kamu nyatakan itu! Seterusnya beliau menyatakan dengan lebih jelas lagi: adapun kata-kata kami bahawa kami adalah orang politik, yang kami maksudkan ialah kami mengambil berat tentang urusan umat kami dan kami beriktiqad bahawa kekuatan dalam melaksanakan ajaran Islam adalah sebahagian daripada ajaran Islam itu sendiri. Ia termasuk di dalam ruang lingkupnya dan teradun di bawah hukum-hakamnya. Kami percaya bahawa kebebasan politik dan kemuliaan bangsa adalah satu tiang daripada tiang-tiang Islam yang utuh, satu kewajipan daripada kewajipan-kewajipannya.
Dan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan kebebasan serta institusi pelaksanaannya. Dalam kami melaksanakan usaha ini, kami yakin bahawa kami tidak mendatangkan sesuatu yang baru. Semua ini diketahui oleh setiap muslim yang mempelajari Islam dengan betul. Kami tidak mengetahui tentang dakwah kami, dan tidak boleh membayangkan kewujudannya melainkan untuk melaksankan tujuan ini. Kami tidak akan berganjak daripadanya walau seurat rambut sekalipun daripada tugas dakwah kepada Islam dengan makna ini. Islam tidak menuntut daripada muslim berdakwah dengan sekadar memberi nasihat dan peringatan sahaja.
Sebaliknya Islam sentiasa menyeru agar berjuang dan berjihad (وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَا‌ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ) maksudnya, “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut:69)
Wahai pendokong kebenaran,

Inilah din kita. Inilah kedudukan kebebasan di dalam agama Islam kita. Sesungguhnya kita telah merealisasikannya. Dan kita telah jadikan ia benar-benar terlaksana di alam nyata. Maka dunia telah mendapat ni’mat daripadanya, telah mengecapi kebahagiaan dan keamanan dengannya.
Maka apakah sumbangan kalian (wahai dunia barat)?
Apa yang kamu persembahkan adalah serangan yang tidak berperi kemanusiaan.
Apa yang tercatat di dalam deklarasi sejagat tentang hak asasi manusia, pengisytiharan undang-undang yang melindungi hak-hak manusia, semua itu hanya sekadar untuk mempastikan agar rakyat tidak memberontak menentang kezaliman dan penindasan kalian. Kemudian tercatat perkara (3) daripada deklarasi itu: bagi setiap individu hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri, dan perkara (5): tidak ada seorang manusiapun yang boleh disiksa, dihukum, dikasari, dilayan dengan cara yang buruk atau dijatuhkan kehormatan dirinya.
Namun dari segi praktiknya apa yang kamu telah sumbangkan kepada umat manusia wahai dunia yang kononnya bertamadun? Semuanya adalah meruntuhkan apa yang telah wujud sebelumnya. Perang dunia sebagai contoh, yang telah menghancurkan segala sesuatu, tidak ada umat Islam yang terlibat walau sekelumit. Bom atom di Jepun, pembunuhan jutaan manusia di Eropah, pengusiran bangsa Algeria dari Perancis, pengusiran rakyat Libya dari Itali, apa yang dilakukan oleh British di Mesir, Syria, Iraq, India, Pakistan dan Afghanistan, menghitamkan titik-titik sejarahnya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Amerika di Vietnam dan Korea. Serangan tiga penjuru (British, Perancis dan Rejim Zionis) ke atas Mesir, serangan Zionis ke atas Mesir tahun 1967, serangan ke atas Afghanistan yang kadang-kadang datangnya dari Rusia dan kadang-kadang datangnya dari Amerika dengan sokongan dunia, serangan ke atas India dan Pakistan, serangan ke atas Iraq, Somalia dan Yaman…Bermacam-macam peperangan ke atas Lubnan, Bosnia, Kosovo, Chechnya, serangan-serangan ke atas Palestin di Jenin, Gaza dan lain-lain.
Secara ringkasnya tiada suatu daerahpun di muka bumi ini melainkan kamu telah tumpahkan darah di atasnya. Dan pada setiap tempat itu pasti berlaku pembunuhan kanak-kanak, wanita, orang tua, orang awam, orang yang tidak bersenjata, perobohan rumah-rumah kediaman, masjid-masjid, hospital, pusat-pusat bantuan mangsa keganasan yang dikendalikan oleh PBB dan sekolah-sekolah.
Apabila terpadamnya satu peperangan dengan izin Allah, mereka nyalakan pula api peperangan yang lain. Semua peperangan dunia, boleh dikatakan merekalah pencetusnya. Maha benarlah Kalam Allah (كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارً۬ا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُ‌ۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَسَادً۬ا‌ۚ ) maksudnya: “Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi,…” (Al-Maidah:64).
Tentang permusuhan etnik pula, lihat apa yang dilakukan oleh Amerika terhadap Red Indian dan bangsa kulit hitam di Afrika. Begitu juga tindakan Barat mengekang kebebasan umat Islam dan menghalang hak-hak asasi mereka, menceroboh kehormatan mereka, menodai masjid-masjid mereka, membakar dan mencemarinya. Semua itu disaksikan secara terang-terangan dari jauh dan dekat.
Tentang penjara kezaliman, penyiksaan dan penahanan tanpa mengikut undang-undang, lihatlah di Guantanamo, Abu Gharib, penjara-penjara rahsia di Syria, Iraq, Eropah, dalam Negara yang dirampas Zionis Yahudi dan di kebanyakan Negara-negara dunia, Arab dan Islam. Semua itu tidak berhajat kepada bukti akan kewujudan dan kezalimannya. Ia diiktiraf oleh semua Negara, pemerintah, badan-badan dunia dan institusi-institusi antara-bangsa.Itulah erti rahmat kamu kepada umat manusia, keadilan kamu, persamaan sesama manusia, kebebasan dan demokrasi yang kamu laung-laungkan.Palestin – luka yang dalam dan darah yang membuak.

Wahai manusia yang merdeka di Barat, wahai umat yang berakal di seluruh dunia!

Tibalah masa untuk kamu undur dari kezaliman dan keganasan kamu?
Tibalah masa untuk kamu perbaiki apa yang dirosakkan oleh datuk nenek kamu. Kamu telah menanamkan rejim zionis ini secara zalim di atas bumi kami. Maka menjadi kewajipan kamu mencabutnya dengan adil dari bumi kami.Kemudian, telah tiba masanya untuk bangsa yang diusir dari tanah airnya dan rumah kediamannya untuk merasai ni’mat pulang semula ke tanah air, menghirup udara dan mengecapi segala kebaikannya.

Telah tiba masanya untuk bangsa Palestin meni’mati kebebasan, kemuliaan, kehormatan di tanahairnya. Sekiranya kamu tidak laksanakannya, maka daerah itu tidak akan aman, bahkan seluruh dunia tidak akan aman. Tidak akan ada sesiapapun yang berasa aman dan selamat selagi rakyat Palestin tidak mengecapinya. Dan mereka sekali-kali tidak akan mengecapi keamanan melainkan rejim zionis yang merampas itu nyah dari daerah ini.
Angkatan LifeLine 4 Gaza mempunyai alasan di hadapan Tuhannya.Sesungguhnya Gaza telah menyumbang kepada umat Arab dan umat Islam satu gambaran yang hidup tentang apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap muslim, kerajaan dan Negara. Mereka sentiasa melaungkan slogan: jangan kamu takut kepada penguasa yang mengangkat dirinya sebagai raja kepada seluruh manusia, yang menuntut supaya semua manusia tunduk kepada kehendak mereka semata-mata walau terpaksa pengorbankan kebebasan, kehormatan, aqidah dan tanah air sendiri. Mereka mengangkat slogan di hadapan kita: iman yang kuat tidak mungkin dapat dipatahkan, walaupun masa berputar silih berganti.
Bangsa yang teguh pendiriannya pasti akan menang. Kata seorang penyair:Apabila suatu bangsa pada suatu hari telah menetapkan ia akan hidup Maka taqdir pasti akan menyahut kemahuannya itu Malam pasti akan berlalu Rantai-rantai yang mengikat pasti akan terlerai. Sesungguhnya mereka melaungkan di hadapan kita dan di hadapan musuh-musuh kita: sesungguhnya muslimin adalah umat yang tidak akan pupus dan tidak mati. Muslimin akan terus hidup dengan para syuhada’nya, anak-anak mereka akan hidup dengan mengejar syahid.
Kehidupan mereka yang syahid adalah kehidupan bagi umat Islam dan kebanggaannya. Sesungguhnya mereka melaungkan bersama kita: sesungguhnya kebebasan tidak akan diberi oleh perampas, kebebasan tidak boleh ditagih dengan cara rundingan. Tidak pernah terjadi sepanjang sejarah, perampas akan keluar dari bumi yang dirampas kecuali dengan melawan mereka. Satu bangsa tidak akan mencapai kebebasan kecuali dengan jihad. Sesungguhnya sejarah tidak pernah menulis cerita kebebasan dengan dakwat, tetapi dengan darah.
Alangkah tepatnya ungkapan seorang penyair:
Tidak akan tercapai cita-cita dengan angan-angan
Tetapi dunia akan dikuasai dengan perjuangan
Suatu kaum tidak akan sulit mencapai cita-citanya
Andainya mereka tidak berhenti dari berusaha
Mereka berkata kepada kita: sesungguhnya kepungan, kelaparan pembunuhan tidak akan mematahkan semangat pencari kebebasan dan pembebasan, pencinta kemuliaan dan kehormatan. Sesungguhnya dalam perjuangan di jalan Allah dan membebaskan tanah air serta memerdekakannya semua kesusahan enteng belaka.
Mereka melaungkan kepada dunia yang merdeka supaya mengangkat kepungan dan kezaliman daripada Gaza melalui ketetapan antara-bangsa yang adil sebagaimana mereka telah dizalimi dengan ketetapan antara-bangsa yang zalim.
Dan kita berkata kepada dunia seluruhnya: tibalah masanya untuk kamu memukul rejim zionis yang merampas dengan tangan besi, rejim yang tidak henti-henti melanggar ketetapan-ketetapan antara-bangsa ke atas Palestin. Kini kejahatannya makin terserlah di hadapan mata dunia dengan jenayah ala lanunnya yang terbaru, merampas Freedom Flotilla di perairan antara-bangsa.
Sungguh aneh dunia ini. Semua Negara bangkit untuk menghalang lanun di perairan Somalia, Majlis Keselamatan bersidang, mengumpul kekuatan laut dari semua Negara dengan ketetapan yang cukup pantas untuk menghentikan lanun yang berupa individu-individu. Namun pada masa yang sama PBB membutakan matanya, tidak bermaya tangannya, kelu lidahnya untuk menyekat lanun zionis yang mengotorkan tangannya dengan darah puluhan rakyat pelbagai Negara, yang memijak-mijak kehormatan mereka dan menceroboh hak-hak-hak mereka. Seolah-olah PBB dan majlis keselamatan tidak diwujudkan kecuali untuk mewujudkan rejim zionis dengan ketetapan antara-bangsa yang zalim kemudian melindunginya dengan ketetapan antara-bangsa yang zalim.

Kita berkata kepada saudara kita di Palestin:
Sabarlah wahai ahli Palestin, sesungguhnya kemenangan itu akan tercapai dengan kesabaran satu saat sahaja. Fajar pasti menyinsing, janji Allah pasti datang. وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَٮِٕمَّةً۬ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٲرِثِينَ وَنُمَكِّنَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَنُرِىَ فِرۡعَوۡنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَجُنُودَهُمَا مِنۡهُم مَّا ڪَانُواْ يَحۡذَرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (Al-Qasas: 5-6)

Wahai Negara Arab dan Islam Wahai pertubuhan-pertubuhan Islam Wahai Jamiah Arabiyyah,
Maralah untuk memecahkan kepungan yang menyekat saudara-saudara kamu di Gaza.
Berjalanlah dalam satu kafilah menuju ke Palestin.
Janganlah kamu takut kepada Amerika yang mendokong rejim zionis, yang menutup jenayah mereka. Jangan kamu gerun kepada rejim zionis. Sesungguhnya telah terbongkar kelemahan mereka dan ketidak upayaan mereka.
Cukuplah bagi kamu berada dalam kehinaan hampir empat tahun, kini Freedom Flotilla pula mendahului kamu.
Mereka telah menghulurkan syuhada’, sedangkan bilangan kamu tidak kurang daripada mereka. Selepas ini orang lain pula akan mengikuti jejak mereka sekalipun angkatan pertama dihalang oleh rejim zionis dengan cara yang tidak bermaruah dan tidak mematuhi sebarang undang-undang dan perjanjian antara-bangsa.
Ketahuilah bahawa kepungan akan dipecahkan dari Gaza sama ada kamu mara atau kamu mundur. Tetapi kami menyeru kamu demi mempertahankan Islam, demi hak persaudaraan Islam, demi hak kejiranan supaya kamu mencapai kemuliaan dan membasuh kehinaan dari diri kamu.
Ketahuilah wahai umat Islam, sesungguhnya jihad sekarang ini adalah fardhu ‘ain. Wajib di atas para pemerintah, jika mereka sendiri enggan mengangkat bendera jihad, jangan menghalang rakyat dari melakukannya. Mereka hendaklah membuka sempadan untuk memberi laluan kepada mujahidin (وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۥۤ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ ) maksudnya: “…dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj:40).
Ketahuilah bahawa kebatilan tidak akan menang dalam sesuatu pertempuran apabila kebenaran bangkit menentang. Apabila bertembungnya dua musuh ‘kebenaran dan kebatilan’, pertempuran antara keduanya akan berlaku dalam beberapa pusingan.
Pusingan yang awal kebatilan menang, kemudian pertempuran akan berakhir dengan kemenangan kebenaran. Inilah rahsia firman Allah (وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ ) “…dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Qasas:83) إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقً۬ا “… sesungguhnya yang batil itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Al-Isra’:81) وَكَانَ حَقًّا عَلَيۡنَا نَصۡرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ “… dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum:47) وَيَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (٤) بِنَصۡرِ ٱللَّهِ‌ۚ يَنصُرُ مَن يَشَآءُ‌ۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ (٥) وَعۡدَ ٱللَّهِ‌ۖ لَا يُخۡلِفُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُ ۥ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ “… dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Ar-Rum: 4, 5, 6)
Allah Maha Besar dan segala puji hanya untuk Allah.
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=65986&SecID=213

Video Footage Serangan Mawi Marmara (raw)

Video Footage Serangan Mawi Marmara (raw)

Video ini dirakam oleh seorang media tanpa edit berkenaan serangan terhadap kapal bantuan kemanusian Mawi Marmara pada 31 Mei yang lalu.
http://almoltaqa.ps/english/showthread.php?p=64024#post64024

Serangan ini dikaitkan dengan usaha memberhentikan bantuan kemanusiaan yang turut disertai 12 orang wira negara serta beratus-ratus aktivis kemanusiaan. Namun ada pengulas politik mengatakan usaha ini dibuat secara terancang bagi menjatuhkan Perdana Menteri Recep Tayip Erdorgan.

Thursday, May 27, 2010

Kembara Dakwah akan Ke Sabah dan Sarawak pada tahun 2011!

Pengumuman
Mesyuarat JK tarbiyyah yang lepas kami telah memutuskan akan mengirim pasukan kembara dakwah bil hal ke Sabah dan Sarawak bagi lepasan SPM 2010. Moga usaha ini akan berjaya meneroka kampung yang baru bagi menyebarkan agama Islam dengan pendekatan dakwah bil hal. Dijangka pada bulan Mac 2011. Yang seronoknya Kg Rudan akan dijadikan Kg Angkat bagi KRS-Musleh dan pastinya akan dilawati dalam kunjungan ke sana. Ustaz akan ke Sabah dan Ust Nizam dan U Soleh akan ke Sarawak bagi melihat dan meneroka perkampungan saudara baru yang lebih jauh ke pedalaman dan pastinya yang lebih mencabar. Bagi yang memilih ke Sabah kemungkinan akan mendaki Gunung Kinabalu sebagai token insyaAllah.

Jika Alumni LKD nak join sebagai Fasi kita boleh susun atur insyaAllah.

Pengarah LKD

Projek Menulis Buku Pengalaman Dakwah bil Hal

Salam semua,
Kepada semua peserta Kembara Dakwah Bil Hal ke Kg Rudan Sarawak sila updatepenulisan antum dan emel segera kepada Ustaz (smhi64@yahoo.com) supaya kita boleh hasilkan buku pertama kita. Boleh letakkan sasaran pengumpulan deraf pada 15 Jun 2010. Kalau boleh semua tulis walaupun 2 muka surat. Yang penting ori bukan copy datang dari ufuk ta'kulan minda dan sentuhan kalbu yang jujur dan ikhlas! Jadikan ini cabaran buat antum semua.

Pengarah LKD

Wednesday, May 26, 2010

Menuju Gerbang IPT

Assalamualaikum wmt wbth

Pertamanya ingin mengucapkan tahniah kepada yang berjaya memasuki Matrikulasi KPM atau Matrikulasi IPT Kepada yang belum menerima sebarang tawaran harap tidak berkecil hati kerana pihak IPT seperti UIAM akan mengambil pelajar Sesi-Ke - 2 selepas pengambilan pertama. Jadi pastikan anda membuat rayuan terus ke Dekan Matrikulasi UIAM di PJ dan mudah-mudahan masih ada kekosongan untuk antum. Selain itu masih banyak IPT awam dan swasta termasuk KUIS atau UITM yang menawarkan kursus yang pelbagai dan sudah established sejak sekian lama melahirkan graduan yang berkualiti dan berjaya. Bagi yang mendapat tawaran ke luar negara seperti US dan UK dan perlu memasuki Kursus Persediaan seperti mengambil kursus A Levels di Kolej yang ditentukan moga anda thabat dengan ujian kehidupan yang lebih terbuka dan mencabar. Pokoknya teruskan perjalanan tarbiyyah yang telah disusun selama ini dan terus memantapkan diri menjadi mahasiswa mithali insyaAllah. Sementara itu usaha sebahagian rakan yang ingin melanjutkan pelajaran ke Yemen buat masa ini menemui jalan sukar akibat kestabilan politik di Yemen. Ustaz nasihatkan bersabar dan cari jalan lain bagi menggapai ilmu di mana-mana bumi Allah SWT. Bagi yang sedang melalui kursus STAM teruskanlah perjalanan ilmu dengan tekun dan rajin. Letakkanlah matlamat keputusan STAM anda ditahap mumtaz atau paling kurang jayyid jiddan bagi menempah kedudukan di Universiti Al-Azhar. Tak lama dah tinggal beberapa bulan lagi.

Saya juga mohon maaf kerana ustaz tidak dapat up date blog kerana ibu ustaz telah dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri sejak sebulan yang lalu akibat usus yang membengkak dan tersumbat menyebabkan sistem usus besar tidak dapat menjalankan fungsi hingga perutnya membesar dan berangin. Akibatnya perut ibu ana dibedah dan usus dibuang dan Dr membuat colostomy bagi saluran pembuangan sementara. Jadi dalam tempoh sebulan selepas pembedahan beliau berehat di rumah dan kami menjaganya dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan serta bahaya kencing manis yang membolehkan luka boleh bernanah. Alhamdulillah ibu ustaz telah pulih dan sedang menunggu untuk membuat pembedahan kecil bagi menutup saluran colostomy yang dibuat dalam seminggu ini. Sebab itulah blog ini senyap sahaja.

Keduanya Ustaz amat sebuk dengan urusan yang diamanahkan bagi menguruskan pertubuhan dakwah yang baru di negeri Selangor iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). InsyaAllah akan saya huraikan dalam tulisan akan datang.

Selain itu ustaz telah diamanahkan sebagai Ketua Aqsa Syarif Selangor dan sebagai wadah baru dalam perjuangan Palestin memerlukan banyak mensyuarat bagi menguruskan pertubuhan ini berjalan lancar.

Di tengah kesibukan ini pula ustaz terlibat dengan MAPPIS iaitu Majlis Permuafakan Pendidikan Islam Selangor bagi memantapkan lagi pendidikan Islam di Selangor. Ianya meliputi semua sekolah agama swasta dan rakyat termasuk SABK. Fasa awal ini ialah mencadangkan dasar-dasar baru bagi pendidikan Islam di Selangor. Program terdekat ialah Jambori Amal Islami di UNISEL yang akan dihadiri oleh 1000 orang pelajar sekolah menengah yang akan berkampung selama 3 hari pada 4-6 Jun 2010 ini.

Setakat ini dulu.

Pengarah LKD

Peter Vanner, Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Memeluk Islam

Peter Vanner, Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Memeluk Islam

sumber: Posted by lifeline4gaza on 25 May 2010
Peter Vanner, Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Memeluk Islam Istanbul- Ahad 23 mei 2010. Jam 10 malam waktu Istanbul, di hadapan pejabat IHH Insani Yardim Vakfi di Fateh, bersempena dengan keberangkatan konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, telah diadakan acara kesyukuran sempena kemasukan Peter Vanner 63 tahun, ke dalam agama Islam. Peter yang merupakan seorang berasal daripada Isle of Wrights, England, kemudiannya menukar nama beliau kepada Muhammad Fatih.
Acara tersebut berlangsung sederhana dan sangat mengharukan, di antara anggota rombongan ada yang memberikan hadiah spontan berupa kopiah, baju jubah dan tasbih. Turut hadir memberikan ucapan tahniah dan doa selamat kepada Peter termasuklah Dr. Nawaf Takruri Ketua Persatuan Ulama Palestina di Syria, Syekh Abdul Ghani Atamimi Ketua Persatuan Ulama Palestina di Luar Negeri, dan juga hadir Ust Ferry Nur, ketua KISPA Indonesia.
Laungan takbir bergema di depan pejabat IHH pada malam itu sebagai ungkapan haru atas hidayah dan anugerah yang telah diberikan Allah kepada Muhammad Fatih. Beliau pernah menyertai rombongan Viva Palestina ke-3 pada bulan Januari tahun 2010 yang lalu, sekarang dengan penuh kesedaran yang tinggi masuk ke dalam agama Islam.

Monday, May 3, 2010

Kenangan Bergambar di Sesi Akhir LKD Ke-5

Peserta Ikhwah LKD Siri Ke-5

Peserta Akhawat LKD Siri Ke-5

LKD Ke-5 menamatkan siri latihan yang telah dijalani oleh semua pelatih LKD Musleh Sesi SPM 2009  sejak 25 Disember 2009 hingga LKD akhir pada 30 April hingga 2 Mei yang lalu. Hampir empat bulan setengah kita telah bersama dalam latihan perkaderan duat secara intensif. Tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Selaku Pengarah saya amat bergembira dapat berkenalan dengan antum semua. 

Semua pengalaman yang kita telah lalui bersama serta pengembaraan dakwah bil hal ke Kg Rudan Pedalaman Sarawak selama 11 hari dalam misi menyebar luaskan dakwah Islam pastinya memberi kenangan paling indah dalam kehidupan peribadi dan dakwah. Saya sendiri pastinya akan merindui saat untuk bersama dalam latihan dan tarbiyyah bersama antum semua. Saat saya bersama antum adalah antara saat-saat paling berharga dalam kehidupan saya. Moga Allah SWT memberkati kita semua, merapatkan ukhuwwah kita dan menunjukkan kita jalan untuk menjadi hambaNya dan DuatNya di jalan Islam, dakwah dan jihad. Illmu sudah diperolehi kini medan amal sedang menunggu. Mungkin ilmu yang kita perolehi seidikit. Akan tetapi jika ilmu yang sedikit ini kita amalkan dan sebarkan ianya akan menjadi besar dan luas.Maka tunaikan amanah ini dengan penuh keikhlasan dalam mendidik pemuda/i bangsa agar menjadi muslim dan muslimah yang akan menjadi benteng ummah dan penyebar makruf di dalam masyarakat . Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Sekian salam ukhuwwah,
Pengarah LKD

Bicara Hati Mursyidul Am IM, Dr. Muhammad Badee’

Bicara Hati Mursyidul Am, Dr. Muhammad Badee’
Author: Fikrah dan Dakwah | Posted at: 3:15 AM | Filed Under: Artikel

24/04/2010

Tanggungjawab kita terhadap orang lain


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.

Saudara-saudaraku dan kekasih-kekasihku di jalan Allah,

Salam sejahera buat kamu, salam daripada Allah, rahmat serta keberkatan-Nya. Bicara hatiku kali ini mengenai tanggungjawab kita terhadap orang lain. Ya, kita memikul resah derita umat ini. Permasalahan yang mereka hadapi mesti diletakkan di bawah pemerhatian kita. Apakah caranya untuk mengatasi segala permasalahan ini?

Inilah sebenarnya peranan kita. Kita berpegang kepada sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "إنكم لن تسعوا الناس بأموالكم ولكن يسعهم منكم بسط الوجه وحسن الخلق". Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menguasai dan memenuhi kehendak manusia dengan harta kamu, tetapi kamu boleh menguasai dan memenuhi kehendak mereka dengan kemanisan wajahmu dan keindahan akhlakmu”

Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini ialah masalah ekonomi. Sebagaimana kamu ketahui, Rab’ei bin ‘Aamir رضي الله عنه ketika beliau menyimpulkan misi kehadirannya di Parsi telah berkata: “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari penyembahan kepada hamba (makhluk) kepada penyembahan kepada Tuhan sekelian hamba, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Bahagian kedua daripada ungkapannya itulah menjadi tumpuan saya di dalam bicara ini. Ungkapan yang ringkas itu sangat penting dan bermakna sekali. Ini kerana kita ingin memimpin tangan manusia membawa mereka keluar dari kesempitan dunia, meluaskan kepada mereka dunia yang sempit ini.

Sesungguhnya dunia kini sangat sempit buat mereka kerana banyaknya masalah yang mereka hadapi. Dan dunia yang sempit itu menyempitkan jiwa-jiwa mereka yang lapang. Jalan keluarnya berada di tangan-tangan mereka yang membawa cahaya kebenaran, yang membawa sinar Islam. Islam mengemukakan penyelesaian yang menyeluruh dari akar umbi segala permasalahan manusia, bukan sahaja masalah umat Islam semata-mata.

Soalanya, bagaimana ia akan terlaksana? Bagaimana hendak keluar dari kesempitan dunia kepada keluasannya? Bagaimana dunia ini dapat diluaskan? Caranya ialah dengan membuka jendela akhirat. Bayangkan kamu berada di dalam sebuah bilik yang sempit, kemudian kamu membuka tingkap yang mengadap ke arah taman yang luas saujana. Ketika itu pasti kamu tidak akan merasai bilik yang kamu diami itu sempit.

Begitulah dunia ini menjadi luas jika kita melihat dari celah-celahnya alam akhirat. Seandainya mereka berkata, kata-kata kamu ini bukan penyelesai masalah! Ayuh bersamaku! Kita selesaikan masalah! Sesungguhnya pokok pangkal penyelesaian segala masalah ialah kembali ke pangkal iman dalam semua urusan.

Sebagai contoh, lihat simen. Simen yang digunakan untuk menguat seluruh bangunan adalah satu sahaja. Begitulah untuk menyelesaikan semua masalah manusia mesti kembali kepada asas yang satu, iaitu iman. Di dalamnya teradun nilai-nilai akhlak yang menjadi teras kepada penyelesaian semua masalah. Tanpa asas ini dan adunan nilai-nilainya yang murni bangunan akan runtuh berkecai walau setinggimanapun ia didirikan.

Di atas asas inilah, dan dengan diperkukuhkan oleh simen terbinalah bangunan dengan berbagai-bagai reka bentuk yang berbeza. Apabila kita kembali kepada asas iman dan kepercayaan kepada Tuhan, di sana terdapat nilai-nilai murni yang disepakati hatta di kalangan penganut agama bukan Islam. Jadi, bagaimana masalah ekonomi dapat diatasi?

Jika kita telusuri kisah Nabi Musa عليه السلام salah seorang Nabi Bani Israel yang paling masyhur, kita dapati kisah ini mengemukakan contoh seorang lelaki, seorang manusia yang sedang berhadapan dengan keadaan yang amat kritikal. Beliau lari dari musuh yang sedang memburu untuk membunuhnya. Lari sehelai sepinggang tanpa bekalan, tanpa sebarang persediaan.

Perhatikan apa yang dikisahkan oleh al-Quran tentang lelaki ini: “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” (Al-Qasas:20-21)

“Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya)” Kata-kata ini menggambarkan keadaan Musa yang dalam ketakutan, kelaparan, kesempitan dalam serba serbi. Bayangkan betapa jauhnya perjalanan yang telah dilalui!

Dari Mesir, melintasi negeri Syam hingga tiba di Madyan. Ratusan batu diredahi tanpa harta, tanpa kenderaan, makanan, minuman dan pakaian untuk disalin. Berjalan dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidaktentuan.

Mari kita lihat lelaki ini, seorang insan yang berada dalam suasana yang segenting itu, kepayahan yang tidak boleh kita gambarkan lebih dahsyat daripada itu. Tiba-tiba dia bertemu dengan dua orang gadis remaja yang memerlukan pertolongan. Dua gadis remaja ini memiliki segala-galanya sedang dia seorang pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Dua gadis remaja itu mempunyai keluarga, ada ayah, rumah, makanan, minuman, binatang ternakan yang pastinya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk keperluan hidup mereka sekeluarga atau lebih daripada itu.

Yang mereka perlukan ketika itu hanya pertolongan seorang lelaki yang memiliki dua ciri. Apakah dua ciri itu? Ciri pertama ialah keazaman untuk menolong orang lain dan keinginan untuk menjadi seorang yang mulia, istimewa, bermaruah dan perasaan ‘izzah kerana dapat membantu orang lain seperti yang digambarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sepotong Hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia, mereka cintakan kebaikan dan kebaikan cinta kepada mereka”.

Ciri yang kedua pula adalah kekuatan tubuh badan yang membolehkan dia menolong dua orang gadis tadi. Bagaikan saya dapat menggambarkan bahawa Sayyidina Musa tidak memiliki apa-apa di dunia ini kecuali dua ciri tadi. Dalam pada itu dia bertemu dengan dua orang gadis yang berhajat kepada dua ciri itu yang merupakan itu sahajalah yang dimiliki oleh Musa عليه السلام .

Musa tidak lokek untuk memberikan dua ciri yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya. Himmahnya yang tinggi, keazamannya yang kental, ketokohan dan kelelakian yang merupakan ciri dalamannya di samping kekuatan dan keperkasaan tubuh badan yang merupakan ciri luarannya ( قوي أمين ). Dengan sifat mulia dalaman dan luaran yang dianugerahi oleh Allah عزوجل kepadanya dia pergi menghulurkan bantuan kepada dua orang gadis yang memerlukan pertolongannya kerana mengharapkan redha Allah. Selesailah perkara. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya.

Cuba bayangkan, seandainya Nabi Musa عليه السلام hanya sibuk memikirkan masalah dirinya, mungkin dia akan berkata, aku lebih memerlukan pertolongan daripada mereka berdua. Untuk apa aku harus sibukkan diriku fikir masalah orang lain? Masalah aku sudah tak tertanggung banyaknya! Bayangkan kalau itulah cara fikir Nabi Musa, adakah akan terbuka jalan penyelesaian sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran?

Mari kita perhatikan. Sesungguhnya semua masalah telah berjaya diselesaikan kerana tindakan bijaknya membantu golongan yang memerlukan. Ketika dia memberikan apa yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya, dia mendapat penghormatan dari Allah عزوجل. Dengan pertolongan yang ikhlas mencari keredhaan Allah terhurai semua masalah yang dihadapinya. Dia dapat berkahwin dengan seorang gadis mulia lagi suci, dapat tempat tinggal yang aman, makanan, minuman dan pendapatan yang lumayan serta aman dari ketakutan dan kegusaran dikejar musuh. Bukankah semua masalahnya telah selesai?

Ya! Telah selesai! Ini kerana dia tidak hanya melihat ke dalam dirinya, tinggal tenggelam dalam memikirkan permasalahan diri sendiri semata-mata. Sebaliknya dia sentiasa melangkahi derita yang ditanggungi dan mencari insan lain yang memerlukan pertolongannya walaupun apa yang mereka perlukan itu, itu sajalah miliknya sedangkan orang yang berhajat itu memiliki segala-gala yang tidak ada padanya.

Kita lihat pula Sayyidina Yusuf عليه السلام. Dia terperosok di dalam penjara kerana dizalimi dan sangat memerlukan pertolongan. Dia melangkahi deritanya dan mencari derita orang lain untuk ditolongnya. Oleh kerana yang dilakukan adalah ikhlas mencari keredhaan Allah, datanglah pertolongan-Nya. Dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya, pertemuan dengan saudara dan ayah bondanya.

Semua mimpi di zaman kecilnya terlaksana menjadi nyata. Semua permaslahan ini apabila kita lihat dengan kacamata iman, kita dapati bahawa sesiapa yang Allah عزوجل muliakan dengan melangkahi derita sendiri, melupai keperluan dan kepentingan diri sendiri, kemudian mencari keperluan orang lain untuk ditolongi, maka Allah عزوجل akan menyelesaikan permasalahan dan keperluannya.

Inilah titik permulaan berlandaskan iman. Di sinilah kita temui jalan keluar. Seungguhnya Allah akan memuliakan orang yang memberi kerana mencari keredhaan-Nya. Dia yang akan selesaikan masalah yang dihadapi. Dengan itu kita akan dapat keluar dan mengeluarkan diri kita dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Dalam bicara lain, kita akan kupas penyelesaian dari sudut kebendaan bagi mengatasi masalah kebendaan ini. Kita akan sempurnakan binaan di atas permukaan bumi setelah kita tanam kukuh-kukuh asas keimanan di dalam diri.

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63846&SecID=210

Wednesday, April 28, 2010

LKD Ke-5 dan Akhir!

Assalamualaikum wmt wbth

Pertamanya dimaklumkan bahawa LKD Ke-5 yang akan berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei 2010 adalah Siri terakhir bagi Program Latihan Kader Du'at Musleh Sesi 2009 buat kali ini. Lokasi adalah tempat yang sama bagi LKD Ke-4 yang lepas.

Tahniah kepada semua peserta yang telah istiqomah hadir bagi kesemua siri dan berkesempatan pula mengikuti program Kembara Dakwah Bil Hal ke Bumi Kenyalang pada beberapa minggu yang lalu.

Sesungguhnya peluang kita bersama dan bertaaruf disamping mendapat latihan dan bimbingan sepanjang percutian SPM 2009 pastinya akan memberi kita semua pelajaran, kenangan, ibrah dan kesan yang akan memberi kita semua sedikit sebanyak bekalan di dalam perjalanan kehidupan kita semua sebelum memasuki satu fasa baru iaitu berada di Menara Gading samada di dalam atau di luar negeri.

Ini adalah satu nikmat yang perlu kita semua syukuri kehadrat Ilahi dan marilah kita semua hadir pada LKD terakhir ini demi kejayaan pembinaan saf pemuda/pemudi Muslim/ah yang akan menyahut seruan Allah menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran dengan hikmah dan kebijaksanaan berasaskan manhaj Nubuwwah dalam membawa Risalah At Tauhid di mana sahaja kita berada.

Sejak dari bulan Disember hinggalah ke hujung April kita telah lalui hari-hari dan malam-malamnya sepanjang daurah dan kembara hingga ke seberang Laut Cina Selatan, dicelah bukit bukau Kg Rudan yang indah pasti tidak akan dilupakan oleh kita semua. Ukhuwwah kita bina, perasaan kasih sayang kita tautkan, taaruf kita perdalamkan, fikrah kita mantapkan, penghayatan kita suburkan,moga dengan semua ini akan ada peningkatan dan kemajuan pada peribadi, pada ruhi, pada fikri dan pada semangat (hammasah) seorang pemuda.
Sekarang terpulanglah kepada antum semua untuk meneruskan risalah, pelapis ummah yang akan memacu sinaran Islam ke seluruh pelusuk alam, menyantuni ummah, mengasihi yang muda, menghormati yang tua, merawat yang sakit, membimbing yang lemah, menjadi pembawa obor kebenaran, menyatu dan mempersaudarakan ummat Islam yang kian berpecah lantaran kejahilan, kelemahan dan kesilapan.

Sekian,
Bertemu di LKD Ke-5 untuk menerima taujihat terakhir dari para muwajjihin dan murrabi. InsyaAllah jika tiada halangan anda semua akan menerima Sijil Penyertaan bagi sepanjang siri yang telah antum lalui sebagai kenangan dan bukti sejarah yang telah antum buktikan dalam kehidupan sementara ini.


Wassalamualaikum wmth

Pengarah LKD

Monday, April 19, 2010

Cadangan untuk menerbitkan Sebuah Buku Catatan Kembara Dakwah Bil Hal di Kg Rudan

Assalamualaikum wmt.

Kepada semua bekas peserta Kembara Dakwah Ke Bumi Kenyalang yang diingati moga dalam keimanan dan amal yang berterusan.

Saya telah sebutkan kepada Akh Amin untuk diterbitkan catatan dan pandangan semua peserta dalam usaha dakwah bil hal dalam misi kita yang lalu.

Saya harap semua akan menulis dan kongsikan "insights" yang antum pelajari, hikmah yang dijumpai, renungan dan ibar yang boleh dikongsi buat ummah.

Tulisan tak semestinya dalam bentuk catatan jurnal, boleh sahaja dala bentuk kisah, cerita, atau apa sahaja dan kalau boleh disertakan gambar yang memberi gambaran kisah tersebut agar dapat difahami.

Tulislah dari isi hati yang ikhlas, renungan yang mendalam, dan sentuhan jiwa yang dapat memandu semua kita dalam melakukan amal dakwah bil hal atau apa sahaja ke arah kebaikan. Tulisan dalam word times roman font 12, 1 1/2 spacing.

Jika antum semua bersedia marilah kita jadikan satu kenyataan. Saya ingin jadikan ini satu pencapaian dalam tempoh 2 bulan. InsyaAllah sudah ada penerbit yang meminta saya menghasilkan catatan atau kisah seperti ini.

Sekian, sebarang urusan lanjut sila hubungi akh Amin.

Pengarah LKD

Friday, April 16, 2010

MIN QAWAID AD-DAKWAH (DIAMBIL DARI USUL FIQH)

PROF DR JUMUAH AMIN, JAMIAH AL-AZHAR, CAIRO
NAIB MURSYID IKHWANUL MUSLIMIN


TAJUK: AD-DAKWAH, QAWAID WA USUL ( bahasa melayu: FIQIH DAKWAH)
Terbitan Era Intermedia, Jakarta, 2002

MIN QAWAID AD-DAKWAH (DIAMBIL DARI USUL FIQH)
RINGKASAN:


KAEDAH 1: AL-QUDWAH QABLA AD-DAKWAH
(Contoh teladan sebelum berdakwah)

KAEDAH 2: AT-TA’LIF QABLA AT TAKRIIF
(Mengikatkan hati sebelum menerangkan)

KAEDAH 3: AT-TAKRIIF QABLA AL-TAKLIF
(Penerangan sebelum member bebanan)

KAEDAH 4: AT TADARRUJ FI AT TAKALIF
(Berperingkat dalam memberi tanggungjawab)

KAEDAH 5: AT TAISIR LA AT TAKSIIR
(Memudahkan bukan memayahkan)

KAEDAH 6: AL-USUL QABLA AL-FURUK
(Perkara Prinsip sebelum cabang)

KAEDAH 7: AT-TARGHIB QABLA AT TARHIB
(Membesarkan hati sebelum memberi ancaman)

KAEDAH 8: AT TAFHIM LA AL-TALKIN
(Memberi faham bukan diktasi)

KAEDAH 9: AT-TARBIYYAH LA AT TAKRIYYAH
(Memberi pendidikan bukan menelanjangi-mengaibkan)

KAEDAH 10: TILMIZU IMAM LA TILMIZU KITAB
(muridnya imam bukan muridnya buku)

InsyaAllah untuk kali ini dan akan diulas di lain masa.
Gunakanlah kaedah ini mengikut zuruf dan kesesuaian tempat dan jenis suasana. Moga pendekatan dengan "hikmah" yang dimaksudkan ialah pendekatan berpandukan hukum dan syariat Allah SWT yang ditunjuk oleh Nabi kita yang mulia, Rasulullah s.a.w

Pengarah LKD

Rawabit Al-Daie Ila Allah

-->
Rawabit  Al Da’ie Ilallah
Oleh: Al-Faqir Ilallah (SMHI)

Sesungguhnya para Dai’e diikat oleh tiga ikatan(ar ribat).

Pertama Ikatan Keimanan kepada Allah SWT. Inilah ikatan yang paling pokok yang mendasari perjuangan mereka yang berjuang di atas Jalan Islam ini. Dengan ikatan ini hati-hati menjadi satu di atas ikatan tauhid.  Inilah yang dipanggil ikatan Tauhid (Rabitah at-tauhid). Maka dengan akidah tauhid maka bersatulah hati-hati di atas keimanan yang Satu. Mereka menjadi muslim yang menyerah diri dan tunduk kepada Tuhan yang Satu. Mereka membawa fikrah at-tauhid wa tauhidul fikrah. Maka dengan fikrah Tauhid itu bersatulah mereka semua di atas manhaj tauhid yang satu dan menjadi ghayah dan matlamat perjuangan mereka pada waktu senang dan susah, ketika khilaf ataupun wehdah, ketika urusan kecil mahupun yang besar. Mereka sentiasa membersihkan aqidah mereka dalam urusan mengabdikan diri kepada Allah yang Satu. Maka jadilah Allah SWT itu sebagai matlamat dan ghayah mereka dan tiada yang lain.

Firman Allah SWT (Al-Kahfi:110)


110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


Kedua ; Ikatan Ukhuwwah. Selepas iman yang satu, maka mereka bersatu di atas kalimah yang Satu, saling bantu membantu di atas dasar yang Satu bagi meninggikan Kalimah Allah SWT.
Orang yang beriman sangat mencintai saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka atau lebih lagi ( ithar) sehingga mereka lebih mengutamakan sahabat mereka lebih dari mereka sendiri.  Sehingga ada para sahabat menghalalkan apa yang di dalam poket mereka kepada sahabatnya. Bahkan ada yang sanggup memberi pilihan kepada sahabatnya agar dia menceraikan salah satu dari isteri-isterinya agar dapat dikahwinkan dengan para sahabah yang datang berhijrah.

Mereka amat memahami agar dengan ikatan kasih sayang kerana Allah ini akan menjadi jalan kepada kesatuan aqidah dan kesatuan ukhuwwah. Akhirnya menjadilah ia satu kesatuan ummah yang kuat berpaksikan tauhid.

Mereka yakin bahawa ikatan iman dan ikhuwwah fillah melebih ikatan tanzimi. Mereka mengenal Allah yang Satu dan menjadi bersaudara sebelum mengikuti mana-mana kumpulan dan thaifah. Mereka tidak sombong atau bermegah-megah dengan orang lain. Mereka tetap menghormati pandangan selagi tidak keluar dari batas-batasan Islam ataupun harus dan berlapang dada dengan perbezaan cabang dan furuk.

Firman Allah SWT (Al-Imran  
103. dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu

Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.


 
Ikatan ketiga ialah Ikatan Jihad. Ini adalah ikatan yang mengikat mereka di atas misi melakukan amalan jihad di jalan Allah tanpa kenal putus asa dan letih. Mereka bersama-sama berdakwah, melakukan pemilihan, melakukan tarbiyyah, melakukan latihan, melakukan perkaderan bagi melahirkan golongan pelopor, menyatukan ummah, mendorong ummah melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan melakukan projek-projek kebangkitan bagi ummah. Mereka melakukan dengan amal secara berjamaah, mentaati qiayadah, melakukan syura, melaksanakan keputusan syura dan beriltizam meskipun bertentang dengan pandangan peribadi. Mereka bekerja dan berjuang tanpa mengenal penat dan lelah, siang ataupun malam, senang mahupun terpaksa, dekat ataupun jauh semua diharungi demi melaksanakan keputusan amal demi memenangkan dakwah Islam sehingga disokong oleh ummah sehingga menjadi perkasa dan kuat, menjadi tapak kekuatan dan akhirnya tapak kekuasaan sehingga Islam itu dapat memerintah dan bukan diperintah.

Maka bersatulah kita di atas tiga ikatan ini dan moga dengan ikatan keimanan, ukhuwwah dan jihad akan terus menjana jiwa-jiwa kita untuk melakukan amal Islam dengan bersungguh-sungguh hingga menemui Allah dalam keadaan mendapat kemenangan di dunia mahupun kemenangan di akhirat.
 
Firman Allah SWT (At-Taubah);
  
111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.

 Syurga itu adalan tempat dan ganjaran sebaik-bainya dari Allah SWT buat orang yang beriman.

Firman Allah SWT (Surah Al-Kahf)

31. mereka itu, disediakan baginya syurga Yang kekal, Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka Dihiaskan di dalamnya Dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera Yang nipis dan sutera tebal Yang bersulam; mereka berehat di dalamnya Dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). demikian itulah balasan Yang sebaik-baiknya dan demikian itulah syurga tempat berehat Yang semolek-moleknya.

Saturday, April 10, 2010

Sajak Kembara Sarawak

ANUGERAH YANG TERINDAH
ciptaan oleh : Ahmad Syafiq bin Yusof [SMI Hidayah JB]
diedit oleh : Iyadh bin Abd Haris [SMI Al-Amin Bangi]


Alam..
Kan kah anugerah Tuhan teristimewa?,
Khazanah alam terindah buat kita?.

Air sungai susur menderas..
Pepohon hijau nan merimbun..
Langit secerah pawana..
Sorotnya bintang bergemerlapan,
Sorotnya mentari menyinsing.

Oh alam..
Oh dunia..
Dirimu sungguh bermakna..
Kerna padamu manusia tergila-gila,
Mengejar harta, kasta dan wanita.
Kehadiranmu benar-benar memukau pandangan mata.
Kecuali yang beriman saja terselamat darinya.


Lihat alam ini.
Makin lama, makin punah?
Dimamah rakusnya manusia.
Dek kerana mengejar keuntunganlah,
Dek kerana mengejar kepuasan nafsulah,
Bumi kita musnah.


Di sinilah wahai teman,
Tuhan mengilhamkan jalan keluar.
Dengannya kami mengenal erti hidup..
Hidup yang selama sebelumnya..
Terumbang-ambing.


Dengannyalah..
Kami merasakan hidup ini penuh makna..
Walhal dahulunya sarat kepura-puraan,
Sarat tipu daya mainan dunia.


Di sini.. Ya Allah~
Kami memohon padaMu~
Agar dibukakan pintu hati ini,
Dibukakan segala hijab yang menyelubunginya,
Dikurniakan hidayahMu~
Agar terangnya hati~
Agar kuatnya ikatan ini~
Moga tidak jauh daripada petunjukMu~


Ku.. Bersyukur ya Allah~
Kerana masih mencurah kasih sayangMu~
Tidak sekali kau jemu..
Mencurah rezeki kepada kami..
Meski kami hamba berdosa.


Ku, amat beruntung ya Allah.
Terasa diri ini..
Manusia yang paling berbahagia di jagat raya ini.
Kerna dipertemukan..
Dengan sebuah anugerah yang nakiitd istimewa..
Dengan permata yang nakiitd berharga.
Inilah dia yang ku cari.
Selama ini,
Inilah dia ISLAM.