Thursday, May 27, 2010

Kembara Dakwah akan Ke Sabah dan Sarawak pada tahun 2011!

Pengumuman
Mesyuarat JK tarbiyyah yang lepas kami telah memutuskan akan mengirim pasukan kembara dakwah bil hal ke Sabah dan Sarawak bagi lepasan SPM 2010. Moga usaha ini akan berjaya meneroka kampung yang baru bagi menyebarkan agama Islam dengan pendekatan dakwah bil hal. Dijangka pada bulan Mac 2011. Yang seronoknya Kg Rudan akan dijadikan Kg Angkat bagi KRS-Musleh dan pastinya akan dilawati dalam kunjungan ke sana. Ustaz akan ke Sabah dan Ust Nizam dan U Soleh akan ke Sarawak bagi melihat dan meneroka perkampungan saudara baru yang lebih jauh ke pedalaman dan pastinya yang lebih mencabar. Bagi yang memilih ke Sabah kemungkinan akan mendaki Gunung Kinabalu sebagai token insyaAllah.

Jika Alumni LKD nak join sebagai Fasi kita boleh susun atur insyaAllah.

Pengarah LKD

Projek Menulis Buku Pengalaman Dakwah bil Hal

Salam semua,
Kepada semua peserta Kembara Dakwah Bil Hal ke Kg Rudan Sarawak sila updatepenulisan antum dan emel segera kepada Ustaz (smhi64@yahoo.com) supaya kita boleh hasilkan buku pertama kita. Boleh letakkan sasaran pengumpulan deraf pada 15 Jun 2010. Kalau boleh semua tulis walaupun 2 muka surat. Yang penting ori bukan copy datang dari ufuk ta'kulan minda dan sentuhan kalbu yang jujur dan ikhlas! Jadikan ini cabaran buat antum semua.

Pengarah LKD

Wednesday, May 26, 2010

Menuju Gerbang IPT

Assalamualaikum wmt wbth

Pertamanya ingin mengucapkan tahniah kepada yang berjaya memasuki Matrikulasi KPM atau Matrikulasi IPT Kepada yang belum menerima sebarang tawaran harap tidak berkecil hati kerana pihak IPT seperti UIAM akan mengambil pelajar Sesi-Ke - 2 selepas pengambilan pertama. Jadi pastikan anda membuat rayuan terus ke Dekan Matrikulasi UIAM di PJ dan mudah-mudahan masih ada kekosongan untuk antum. Selain itu masih banyak IPT awam dan swasta termasuk KUIS atau UITM yang menawarkan kursus yang pelbagai dan sudah established sejak sekian lama melahirkan graduan yang berkualiti dan berjaya. Bagi yang mendapat tawaran ke luar negara seperti US dan UK dan perlu memasuki Kursus Persediaan seperti mengambil kursus A Levels di Kolej yang ditentukan moga anda thabat dengan ujian kehidupan yang lebih terbuka dan mencabar. Pokoknya teruskan perjalanan tarbiyyah yang telah disusun selama ini dan terus memantapkan diri menjadi mahasiswa mithali insyaAllah. Sementara itu usaha sebahagian rakan yang ingin melanjutkan pelajaran ke Yemen buat masa ini menemui jalan sukar akibat kestabilan politik di Yemen. Ustaz nasihatkan bersabar dan cari jalan lain bagi menggapai ilmu di mana-mana bumi Allah SWT. Bagi yang sedang melalui kursus STAM teruskanlah perjalanan ilmu dengan tekun dan rajin. Letakkanlah matlamat keputusan STAM anda ditahap mumtaz atau paling kurang jayyid jiddan bagi menempah kedudukan di Universiti Al-Azhar. Tak lama dah tinggal beberapa bulan lagi.

Saya juga mohon maaf kerana ustaz tidak dapat up date blog kerana ibu ustaz telah dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri sejak sebulan yang lalu akibat usus yang membengkak dan tersumbat menyebabkan sistem usus besar tidak dapat menjalankan fungsi hingga perutnya membesar dan berangin. Akibatnya perut ibu ana dibedah dan usus dibuang dan Dr membuat colostomy bagi saluran pembuangan sementara. Jadi dalam tempoh sebulan selepas pembedahan beliau berehat di rumah dan kami menjaganya dengan teliti bagi mengelakkan jangkitan serta bahaya kencing manis yang membolehkan luka boleh bernanah. Alhamdulillah ibu ustaz telah pulih dan sedang menunggu untuk membuat pembedahan kecil bagi menutup saluran colostomy yang dibuat dalam seminggu ini. Sebab itulah blog ini senyap sahaja.

Keduanya Ustaz amat sebuk dengan urusan yang diamanahkan bagi menguruskan pertubuhan dakwah yang baru di negeri Selangor iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). InsyaAllah akan saya huraikan dalam tulisan akan datang.

Selain itu ustaz telah diamanahkan sebagai Ketua Aqsa Syarif Selangor dan sebagai wadah baru dalam perjuangan Palestin memerlukan banyak mensyuarat bagi menguruskan pertubuhan ini berjalan lancar.

Di tengah kesibukan ini pula ustaz terlibat dengan MAPPIS iaitu Majlis Permuafakan Pendidikan Islam Selangor bagi memantapkan lagi pendidikan Islam di Selangor. Ianya meliputi semua sekolah agama swasta dan rakyat termasuk SABK. Fasa awal ini ialah mencadangkan dasar-dasar baru bagi pendidikan Islam di Selangor. Program terdekat ialah Jambori Amal Islami di UNISEL yang akan dihadiri oleh 1000 orang pelajar sekolah menengah yang akan berkampung selama 3 hari pada 4-6 Jun 2010 ini.

Setakat ini dulu.

Pengarah LKD

Peter Vanner, Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Memeluk Islam

Peter Vanner, Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Memeluk Islam

sumber: Posted by lifeline4gaza on 25 May 2010
Peter Vanner, Peserta Konvoi Kemanusiaan ke Gaza Memeluk Islam Istanbul- Ahad 23 mei 2010. Jam 10 malam waktu Istanbul, di hadapan pejabat IHH Insani Yardim Vakfi di Fateh, bersempena dengan keberangkatan konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza, telah diadakan acara kesyukuran sempena kemasukan Peter Vanner 63 tahun, ke dalam agama Islam. Peter yang merupakan seorang berasal daripada Isle of Wrights, England, kemudiannya menukar nama beliau kepada Muhammad Fatih.
Acara tersebut berlangsung sederhana dan sangat mengharukan, di antara anggota rombongan ada yang memberikan hadiah spontan berupa kopiah, baju jubah dan tasbih. Turut hadir memberikan ucapan tahniah dan doa selamat kepada Peter termasuklah Dr. Nawaf Takruri Ketua Persatuan Ulama Palestina di Syria, Syekh Abdul Ghani Atamimi Ketua Persatuan Ulama Palestina di Luar Negeri, dan juga hadir Ust Ferry Nur, ketua KISPA Indonesia.
Laungan takbir bergema di depan pejabat IHH pada malam itu sebagai ungkapan haru atas hidayah dan anugerah yang telah diberikan Allah kepada Muhammad Fatih. Beliau pernah menyertai rombongan Viva Palestina ke-3 pada bulan Januari tahun 2010 yang lalu, sekarang dengan penuh kesedaran yang tinggi masuk ke dalam agama Islam.

Monday, May 3, 2010

Kenangan Bergambar di Sesi Akhir LKD Ke-5

Peserta Ikhwah LKD Siri Ke-5

Peserta Akhawat LKD Siri Ke-5

LKD Ke-5 menamatkan siri latihan yang telah dijalani oleh semua pelatih LKD Musleh Sesi SPM 2009  sejak 25 Disember 2009 hingga LKD akhir pada 30 April hingga 2 Mei yang lalu. Hampir empat bulan setengah kita telah bersama dalam latihan perkaderan duat secara intensif. Tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Selaku Pengarah saya amat bergembira dapat berkenalan dengan antum semua. 

Semua pengalaman yang kita telah lalui bersama serta pengembaraan dakwah bil hal ke Kg Rudan Pedalaman Sarawak selama 11 hari dalam misi menyebar luaskan dakwah Islam pastinya memberi kenangan paling indah dalam kehidupan peribadi dan dakwah. Saya sendiri pastinya akan merindui saat untuk bersama dalam latihan dan tarbiyyah bersama antum semua. Saat saya bersama antum adalah antara saat-saat paling berharga dalam kehidupan saya. Moga Allah SWT memberkati kita semua, merapatkan ukhuwwah kita dan menunjukkan kita jalan untuk menjadi hambaNya dan DuatNya di jalan Islam, dakwah dan jihad. Illmu sudah diperolehi kini medan amal sedang menunggu. Mungkin ilmu yang kita perolehi seidikit. Akan tetapi jika ilmu yang sedikit ini kita amalkan dan sebarkan ianya akan menjadi besar dan luas.Maka tunaikan amanah ini dengan penuh keikhlasan dalam mendidik pemuda/i bangsa agar menjadi muslim dan muslimah yang akan menjadi benteng ummah dan penyebar makruf di dalam masyarakat . Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Sekian salam ukhuwwah,
Pengarah LKD

Bicara Hati Mursyidul Am IM, Dr. Muhammad Badee’

Bicara Hati Mursyidul Am, Dr. Muhammad Badee’
Author: Fikrah dan Dakwah | Posted at: 3:15 AM | Filed Under: Artikel

24/04/2010

Tanggungjawab kita terhadap orang lain


Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.

Saudara-saudaraku dan kekasih-kekasihku di jalan Allah,

Salam sejahera buat kamu, salam daripada Allah, rahmat serta keberkatan-Nya. Bicara hatiku kali ini mengenai tanggungjawab kita terhadap orang lain. Ya, kita memikul resah derita umat ini. Permasalahan yang mereka hadapi mesti diletakkan di bawah pemerhatian kita. Apakah caranya untuk mengatasi segala permasalahan ini?

Inilah sebenarnya peranan kita. Kita berpegang kepada sabda Nabi صلى الله عليه وسلم "إنكم لن تسعوا الناس بأموالكم ولكن يسعهم منكم بسط الوجه وحسن الخلق". Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menguasai dan memenuhi kehendak manusia dengan harta kamu, tetapi kamu boleh menguasai dan memenuhi kehendak mereka dengan kemanisan wajahmu dan keindahan akhlakmu”

Masalah paling besar yang dihadapi oleh umat manusia pada hari ini ialah masalah ekonomi. Sebagaimana kamu ketahui, Rab’ei bin ‘Aamir رضي الله عنه ketika beliau menyimpulkan misi kehadirannya di Parsi telah berkata: “Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki dari penyembahan kepada hamba (makhluk) kepada penyembahan kepada Tuhan sekelian hamba, dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

Bahagian kedua daripada ungkapannya itulah menjadi tumpuan saya di dalam bicara ini. Ungkapan yang ringkas itu sangat penting dan bermakna sekali. Ini kerana kita ingin memimpin tangan manusia membawa mereka keluar dari kesempitan dunia, meluaskan kepada mereka dunia yang sempit ini.

Sesungguhnya dunia kini sangat sempit buat mereka kerana banyaknya masalah yang mereka hadapi. Dan dunia yang sempit itu menyempitkan jiwa-jiwa mereka yang lapang. Jalan keluarnya berada di tangan-tangan mereka yang membawa cahaya kebenaran, yang membawa sinar Islam. Islam mengemukakan penyelesaian yang menyeluruh dari akar umbi segala permasalahan manusia, bukan sahaja masalah umat Islam semata-mata.

Soalanya, bagaimana ia akan terlaksana? Bagaimana hendak keluar dari kesempitan dunia kepada keluasannya? Bagaimana dunia ini dapat diluaskan? Caranya ialah dengan membuka jendela akhirat. Bayangkan kamu berada di dalam sebuah bilik yang sempit, kemudian kamu membuka tingkap yang mengadap ke arah taman yang luas saujana. Ketika itu pasti kamu tidak akan merasai bilik yang kamu diami itu sempit.

Begitulah dunia ini menjadi luas jika kita melihat dari celah-celahnya alam akhirat. Seandainya mereka berkata, kata-kata kamu ini bukan penyelesai masalah! Ayuh bersamaku! Kita selesaikan masalah! Sesungguhnya pokok pangkal penyelesaian segala masalah ialah kembali ke pangkal iman dalam semua urusan.

Sebagai contoh, lihat simen. Simen yang digunakan untuk menguat seluruh bangunan adalah satu sahaja. Begitulah untuk menyelesaikan semua masalah manusia mesti kembali kepada asas yang satu, iaitu iman. Di dalamnya teradun nilai-nilai akhlak yang menjadi teras kepada penyelesaian semua masalah. Tanpa asas ini dan adunan nilai-nilainya yang murni bangunan akan runtuh berkecai walau setinggimanapun ia didirikan.

Di atas asas inilah, dan dengan diperkukuhkan oleh simen terbinalah bangunan dengan berbagai-bagai reka bentuk yang berbeza. Apabila kita kembali kepada asas iman dan kepercayaan kepada Tuhan, di sana terdapat nilai-nilai murni yang disepakati hatta di kalangan penganut agama bukan Islam. Jadi, bagaimana masalah ekonomi dapat diatasi?

Jika kita telusuri kisah Nabi Musa عليه السلام salah seorang Nabi Bani Israel yang paling masyhur, kita dapati kisah ini mengemukakan contoh seorang lelaki, seorang manusia yang sedang berhadapan dengan keadaan yang amat kritikal. Beliau lari dari musuh yang sedang memburu untuk membunuhnya. Lari sehelai sepinggang tanpa bekalan, tanpa sebarang persediaan.

Perhatikan apa yang dikisahkan oleh al-Quran tentang lelaki ini: “Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu. Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” (Al-Qasas:20-21)

“Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya)” Kata-kata ini menggambarkan keadaan Musa yang dalam ketakutan, kelaparan, kesempitan dalam serba serbi. Bayangkan betapa jauhnya perjalanan yang telah dilalui!

Dari Mesir, melintasi negeri Syam hingga tiba di Madyan. Ratusan batu diredahi tanpa harta, tanpa kenderaan, makanan, minuman dan pakaian untuk disalin. Berjalan dalam ketakutan, kebimbangan dan ketidaktentuan.

Mari kita lihat lelaki ini, seorang insan yang berada dalam suasana yang segenting itu, kepayahan yang tidak boleh kita gambarkan lebih dahsyat daripada itu. Tiba-tiba dia bertemu dengan dua orang gadis remaja yang memerlukan pertolongan. Dua gadis remaja ini memiliki segala-galanya sedang dia seorang pemuda yang tidak memiliki apa-apa. Dua gadis remaja itu mempunyai keluarga, ada ayah, rumah, makanan, minuman, binatang ternakan yang pastinya mengeluarkan hasil yang mencukupi untuk keperluan hidup mereka sekeluarga atau lebih daripada itu.

Yang mereka perlukan ketika itu hanya pertolongan seorang lelaki yang memiliki dua ciri. Apakah dua ciri itu? Ciri pertama ialah keazaman untuk menolong orang lain dan keinginan untuk menjadi seorang yang mulia, istimewa, bermaruah dan perasaan ‘izzah kerana dapat membantu orang lain seperti yang digambarkan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam sepotong Hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba yang dikhususkan untuk menunaikan hajat manusia, mereka cintakan kebaikan dan kebaikan cinta kepada mereka”.

Ciri yang kedua pula adalah kekuatan tubuh badan yang membolehkan dia menolong dua orang gadis tadi. Bagaikan saya dapat menggambarkan bahawa Sayyidina Musa tidak memiliki apa-apa di dunia ini kecuali dua ciri tadi. Dalam pada itu dia bertemu dengan dua orang gadis yang berhajat kepada dua ciri itu yang merupakan itu sahajalah yang dimiliki oleh Musa عليه السلام .

Musa tidak lokek untuk memberikan dua ciri yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya. Himmahnya yang tinggi, keazamannya yang kental, ketokohan dan kelelakian yang merupakan ciri dalamannya di samping kekuatan dan keperkasaan tubuh badan yang merupakan ciri luarannya ( قوي أمين ). Dengan sifat mulia dalaman dan luaran yang dianugerahi oleh Allah عزوجل kepadanya dia pergi menghulurkan bantuan kepada dua orang gadis yang memerlukan pertolongannya kerana mengharapkan redha Allah. Selesailah perkara. Dia telah menjalankan tanggungjawabnya.

Cuba bayangkan, seandainya Nabi Musa عليه السلام hanya sibuk memikirkan masalah dirinya, mungkin dia akan berkata, aku lebih memerlukan pertolongan daripada mereka berdua. Untuk apa aku harus sibukkan diriku fikir masalah orang lain? Masalah aku sudah tak tertanggung banyaknya! Bayangkan kalau itulah cara fikir Nabi Musa, adakah akan terbuka jalan penyelesaian sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Quran?

Mari kita perhatikan. Sesungguhnya semua masalah telah berjaya diselesaikan kerana tindakan bijaknya membantu golongan yang memerlukan. Ketika dia memberikan apa yang dimilikinya kepada mereka yang memerlukannya, dia mendapat penghormatan dari Allah عزوجل. Dengan pertolongan yang ikhlas mencari keredhaan Allah terhurai semua masalah yang dihadapinya. Dia dapat berkahwin dengan seorang gadis mulia lagi suci, dapat tempat tinggal yang aman, makanan, minuman dan pendapatan yang lumayan serta aman dari ketakutan dan kegusaran dikejar musuh. Bukankah semua masalahnya telah selesai?

Ya! Telah selesai! Ini kerana dia tidak hanya melihat ke dalam dirinya, tinggal tenggelam dalam memikirkan permasalahan diri sendiri semata-mata. Sebaliknya dia sentiasa melangkahi derita yang ditanggungi dan mencari insan lain yang memerlukan pertolongannya walaupun apa yang mereka perlukan itu, itu sajalah miliknya sedangkan orang yang berhajat itu memiliki segala-gala yang tidak ada padanya.

Kita lihat pula Sayyidina Yusuf عليه السلام. Dia terperosok di dalam penjara kerana dizalimi dan sangat memerlukan pertolongan. Dia melangkahi deritanya dan mencari derita orang lain untuk ditolongnya. Oleh kerana yang dilakukan adalah ikhlas mencari keredhaan Allah, datanglah pertolongan-Nya. Dia dapat kembali ke pangkuan keluarganya, pertemuan dengan saudara dan ayah bondanya.

Semua mimpi di zaman kecilnya terlaksana menjadi nyata. Semua permaslahan ini apabila kita lihat dengan kacamata iman, kita dapati bahawa sesiapa yang Allah عزوجل muliakan dengan melangkahi derita sendiri, melupai keperluan dan kepentingan diri sendiri, kemudian mencari keperluan orang lain untuk ditolongi, maka Allah عزوجل akan menyelesaikan permasalahan dan keperluannya.

Inilah titik permulaan berlandaskan iman. Di sinilah kita temui jalan keluar. Seungguhnya Allah akan memuliakan orang yang memberi kerana mencari keredhaan-Nya. Dia yang akan selesaikan masalah yang dihadapi. Dengan itu kita akan dapat keluar dan mengeluarkan diri kita dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

Dalam bicara lain, kita akan kupas penyelesaian dari sudut kebendaan bagi mengatasi masalah kebendaan ini. Kita akan sempurnakan binaan di atas permukaan bumi setelah kita tanam kukuh-kukuh asas keimanan di dalam diri.

Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=63846&SecID=210