Wednesday, April 28, 2010

LKD Ke-5 dan Akhir!

Assalamualaikum wmt wbth

Pertamanya dimaklumkan bahawa LKD Ke-5 yang akan berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei 2010 adalah Siri terakhir bagi Program Latihan Kader Du'at Musleh Sesi 2009 buat kali ini. Lokasi adalah tempat yang sama bagi LKD Ke-4 yang lepas.

Tahniah kepada semua peserta yang telah istiqomah hadir bagi kesemua siri dan berkesempatan pula mengikuti program Kembara Dakwah Bil Hal ke Bumi Kenyalang pada beberapa minggu yang lalu.

Sesungguhnya peluang kita bersama dan bertaaruf disamping mendapat latihan dan bimbingan sepanjang percutian SPM 2009 pastinya akan memberi kita semua pelajaran, kenangan, ibrah dan kesan yang akan memberi kita semua sedikit sebanyak bekalan di dalam perjalanan kehidupan kita semua sebelum memasuki satu fasa baru iaitu berada di Menara Gading samada di dalam atau di luar negeri.

Ini adalah satu nikmat yang perlu kita semua syukuri kehadrat Ilahi dan marilah kita semua hadir pada LKD terakhir ini demi kejayaan pembinaan saf pemuda/pemudi Muslim/ah yang akan menyahut seruan Allah menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran dengan hikmah dan kebijaksanaan berasaskan manhaj Nubuwwah dalam membawa Risalah At Tauhid di mana sahaja kita berada.

Sejak dari bulan Disember hinggalah ke hujung April kita telah lalui hari-hari dan malam-malamnya sepanjang daurah dan kembara hingga ke seberang Laut Cina Selatan, dicelah bukit bukau Kg Rudan yang indah pasti tidak akan dilupakan oleh kita semua. Ukhuwwah kita bina, perasaan kasih sayang kita tautkan, taaruf kita perdalamkan, fikrah kita mantapkan, penghayatan kita suburkan,moga dengan semua ini akan ada peningkatan dan kemajuan pada peribadi, pada ruhi, pada fikri dan pada semangat (hammasah) seorang pemuda.
Sekarang terpulanglah kepada antum semua untuk meneruskan risalah, pelapis ummah yang akan memacu sinaran Islam ke seluruh pelusuk alam, menyantuni ummah, mengasihi yang muda, menghormati yang tua, merawat yang sakit, membimbing yang lemah, menjadi pembawa obor kebenaran, menyatu dan mempersaudarakan ummat Islam yang kian berpecah lantaran kejahilan, kelemahan dan kesilapan.

Sekian,
Bertemu di LKD Ke-5 untuk menerima taujihat terakhir dari para muwajjihin dan murrabi. InsyaAllah jika tiada halangan anda semua akan menerima Sijil Penyertaan bagi sepanjang siri yang telah antum lalui sebagai kenangan dan bukti sejarah yang telah antum buktikan dalam kehidupan sementara ini.


Wassalamualaikum wmth

Pengarah LKD

Monday, April 19, 2010

Cadangan untuk menerbitkan Sebuah Buku Catatan Kembara Dakwah Bil Hal di Kg Rudan

Assalamualaikum wmt.

Kepada semua bekas peserta Kembara Dakwah Ke Bumi Kenyalang yang diingati moga dalam keimanan dan amal yang berterusan.

Saya telah sebutkan kepada Akh Amin untuk diterbitkan catatan dan pandangan semua peserta dalam usaha dakwah bil hal dalam misi kita yang lalu.

Saya harap semua akan menulis dan kongsikan "insights" yang antum pelajari, hikmah yang dijumpai, renungan dan ibar yang boleh dikongsi buat ummah.

Tulisan tak semestinya dalam bentuk catatan jurnal, boleh sahaja dala bentuk kisah, cerita, atau apa sahaja dan kalau boleh disertakan gambar yang memberi gambaran kisah tersebut agar dapat difahami.

Tulislah dari isi hati yang ikhlas, renungan yang mendalam, dan sentuhan jiwa yang dapat memandu semua kita dalam melakukan amal dakwah bil hal atau apa sahaja ke arah kebaikan. Tulisan dalam word times roman font 12, 1 1/2 spacing.

Jika antum semua bersedia marilah kita jadikan satu kenyataan. Saya ingin jadikan ini satu pencapaian dalam tempoh 2 bulan. InsyaAllah sudah ada penerbit yang meminta saya menghasilkan catatan atau kisah seperti ini.

Sekian, sebarang urusan lanjut sila hubungi akh Amin.

Pengarah LKD

Friday, April 16, 2010

MIN QAWAID AD-DAKWAH (DIAMBIL DARI USUL FIQH)

PROF DR JUMUAH AMIN, JAMIAH AL-AZHAR, CAIRO
NAIB MURSYID IKHWANUL MUSLIMIN


TAJUK: AD-DAKWAH, QAWAID WA USUL ( bahasa melayu: FIQIH DAKWAH)
Terbitan Era Intermedia, Jakarta, 2002

MIN QAWAID AD-DAKWAH (DIAMBIL DARI USUL FIQH)
RINGKASAN:


KAEDAH 1: AL-QUDWAH QABLA AD-DAKWAH
(Contoh teladan sebelum berdakwah)

KAEDAH 2: AT-TA’LIF QABLA AT TAKRIIF
(Mengikatkan hati sebelum menerangkan)

KAEDAH 3: AT-TAKRIIF QABLA AL-TAKLIF
(Penerangan sebelum member bebanan)

KAEDAH 4: AT TADARRUJ FI AT TAKALIF
(Berperingkat dalam memberi tanggungjawab)

KAEDAH 5: AT TAISIR LA AT TAKSIIR
(Memudahkan bukan memayahkan)

KAEDAH 6: AL-USUL QABLA AL-FURUK
(Perkara Prinsip sebelum cabang)

KAEDAH 7: AT-TARGHIB QABLA AT TARHIB
(Membesarkan hati sebelum memberi ancaman)

KAEDAH 8: AT TAFHIM LA AL-TALKIN
(Memberi faham bukan diktasi)

KAEDAH 9: AT-TARBIYYAH LA AT TAKRIYYAH
(Memberi pendidikan bukan menelanjangi-mengaibkan)

KAEDAH 10: TILMIZU IMAM LA TILMIZU KITAB
(muridnya imam bukan muridnya buku)

InsyaAllah untuk kali ini dan akan diulas di lain masa.
Gunakanlah kaedah ini mengikut zuruf dan kesesuaian tempat dan jenis suasana. Moga pendekatan dengan "hikmah" yang dimaksudkan ialah pendekatan berpandukan hukum dan syariat Allah SWT yang ditunjuk oleh Nabi kita yang mulia, Rasulullah s.a.w

Pengarah LKD

Rawabit Al-Daie Ila Allah

-->
Rawabit  Al Da’ie Ilallah
Oleh: Al-Faqir Ilallah (SMHI)

Sesungguhnya para Dai’e diikat oleh tiga ikatan(ar ribat).

Pertama Ikatan Keimanan kepada Allah SWT. Inilah ikatan yang paling pokok yang mendasari perjuangan mereka yang berjuang di atas Jalan Islam ini. Dengan ikatan ini hati-hati menjadi satu di atas ikatan tauhid.  Inilah yang dipanggil ikatan Tauhid (Rabitah at-tauhid). Maka dengan akidah tauhid maka bersatulah hati-hati di atas keimanan yang Satu. Mereka menjadi muslim yang menyerah diri dan tunduk kepada Tuhan yang Satu. Mereka membawa fikrah at-tauhid wa tauhidul fikrah. Maka dengan fikrah Tauhid itu bersatulah mereka semua di atas manhaj tauhid yang satu dan menjadi ghayah dan matlamat perjuangan mereka pada waktu senang dan susah, ketika khilaf ataupun wehdah, ketika urusan kecil mahupun yang besar. Mereka sentiasa membersihkan aqidah mereka dalam urusan mengabdikan diri kepada Allah yang Satu. Maka jadilah Allah SWT itu sebagai matlamat dan ghayah mereka dan tiada yang lain.

Firman Allah SWT (Al-Kahfi:110)


110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaKu Bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang satu; oleh itu, sesiapa Yang percaya dan berharap akan pertemuan Dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal Yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun Dalam ibadatnya kepada Tuhannya".


Kedua ; Ikatan Ukhuwwah. Selepas iman yang satu, maka mereka bersatu di atas kalimah yang Satu, saling bantu membantu di atas dasar yang Satu bagi meninggikan Kalimah Allah SWT.
Orang yang beriman sangat mencintai saudaranya sebagaimana mereka mengasihi diri mereka atau lebih lagi ( ithar) sehingga mereka lebih mengutamakan sahabat mereka lebih dari mereka sendiri.  Sehingga ada para sahabat menghalalkan apa yang di dalam poket mereka kepada sahabatnya. Bahkan ada yang sanggup memberi pilihan kepada sahabatnya agar dia menceraikan salah satu dari isteri-isterinya agar dapat dikahwinkan dengan para sahabah yang datang berhijrah.

Mereka amat memahami agar dengan ikatan kasih sayang kerana Allah ini akan menjadi jalan kepada kesatuan aqidah dan kesatuan ukhuwwah. Akhirnya menjadilah ia satu kesatuan ummah yang kuat berpaksikan tauhid.

Mereka yakin bahawa ikatan iman dan ikhuwwah fillah melebih ikatan tanzimi. Mereka mengenal Allah yang Satu dan menjadi bersaudara sebelum mengikuti mana-mana kumpulan dan thaifah. Mereka tidak sombong atau bermegah-megah dengan orang lain. Mereka tetap menghormati pandangan selagi tidak keluar dari batas-batasan Islam ataupun harus dan berlapang dada dengan perbezaan cabang dan furuk.

Firman Allah SWT (Al-Imran  
103. dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu Dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu

Dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam Yang bersaudara. dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.


 
Ikatan ketiga ialah Ikatan Jihad. Ini adalah ikatan yang mengikat mereka di atas misi melakukan amalan jihad di jalan Allah tanpa kenal putus asa dan letih. Mereka bersama-sama berdakwah, melakukan pemilihan, melakukan tarbiyyah, melakukan latihan, melakukan perkaderan bagi melahirkan golongan pelopor, menyatukan ummah, mendorong ummah melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dan melakukan projek-projek kebangkitan bagi ummah. Mereka melakukan dengan amal secara berjamaah, mentaati qiayadah, melakukan syura, melaksanakan keputusan syura dan beriltizam meskipun bertentang dengan pandangan peribadi. Mereka bekerja dan berjuang tanpa mengenal penat dan lelah, siang ataupun malam, senang mahupun terpaksa, dekat ataupun jauh semua diharungi demi melaksanakan keputusan amal demi memenangkan dakwah Islam sehingga disokong oleh ummah sehingga menjadi perkasa dan kuat, menjadi tapak kekuatan dan akhirnya tapak kekuasaan sehingga Islam itu dapat memerintah dan bukan diperintah.

Maka bersatulah kita di atas tiga ikatan ini dan moga dengan ikatan keimanan, ukhuwwah dan jihad akan terus menjana jiwa-jiwa kita untuk melakukan amal Islam dengan bersungguh-sungguh hingga menemui Allah dalam keadaan mendapat kemenangan di dunia mahupun kemenangan di akhirat.
 
Firman Allah SWT (At-Taubah);
  
111. Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar.

 Syurga itu adalan tempat dan ganjaran sebaik-bainya dari Allah SWT buat orang yang beriman.

Firman Allah SWT (Surah Al-Kahf)

31. mereka itu, disediakan baginya syurga Yang kekal, Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka Dihiaskan di dalamnya Dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera Yang nipis dan sutera tebal Yang bersulam; mereka berehat di dalamnya Dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). demikian itulah balasan Yang sebaik-baiknya dan demikian itulah syurga tempat berehat Yang semolek-moleknya.

Saturday, April 10, 2010

Sajak Kembara Sarawak

ANUGERAH YANG TERINDAH
ciptaan oleh : Ahmad Syafiq bin Yusof [SMI Hidayah JB]
diedit oleh : Iyadh bin Abd Haris [SMI Al-Amin Bangi]


Alam..
Kan kah anugerah Tuhan teristimewa?,
Khazanah alam terindah buat kita?.

Air sungai susur menderas..
Pepohon hijau nan merimbun..
Langit secerah pawana..
Sorotnya bintang bergemerlapan,
Sorotnya mentari menyinsing.

Oh alam..
Oh dunia..
Dirimu sungguh bermakna..
Kerna padamu manusia tergila-gila,
Mengejar harta, kasta dan wanita.
Kehadiranmu benar-benar memukau pandangan mata.
Kecuali yang beriman saja terselamat darinya.


Lihat alam ini.
Makin lama, makin punah?
Dimamah rakusnya manusia.
Dek kerana mengejar keuntunganlah,
Dek kerana mengejar kepuasan nafsulah,
Bumi kita musnah.


Di sinilah wahai teman,
Tuhan mengilhamkan jalan keluar.
Dengannya kami mengenal erti hidup..
Hidup yang selama sebelumnya..
Terumbang-ambing.


Dengannyalah..
Kami merasakan hidup ini penuh makna..
Walhal dahulunya sarat kepura-puraan,
Sarat tipu daya mainan dunia.


Di sini.. Ya Allah~
Kami memohon padaMu~
Agar dibukakan pintu hati ini,
Dibukakan segala hijab yang menyelubunginya,
Dikurniakan hidayahMu~
Agar terangnya hati~
Agar kuatnya ikatan ini~
Moga tidak jauh daripada petunjukMu~


Ku.. Bersyukur ya Allah~
Kerana masih mencurah kasih sayangMu~
Tidak sekali kau jemu..
Mencurah rezeki kepada kami..
Meski kami hamba berdosa.


Ku, amat beruntung ya Allah.
Terasa diri ini..
Manusia yang paling berbahagia di jagat raya ini.
Kerna dipertemukan..
Dengan sebuah anugerah yang nakiitd istimewa..
Dengan permata yang nakiitd berharga.
Inilah dia yang ku cari.
Selama ini,
Inilah dia ISLAM.

Thursday, April 8, 2010

Perkongsian umum 1 : Log Kembara

Dakwah. Bukanlah hanya sekumpulan abjad berhimpun semata. Kerna ianya menjangkau seluas hamparan bumi, halus dan teguh, dicelah mahupun dipersada, yang mampu membina generasi manusia. Alhamdulillah.....


Kembara Dakwah ke Bumi Kenyalang
Tarikh : 23-31 Mac 2010
Tempat : Kuching, Sarawak.
Peserta : 25 Orang (10 Ikhwah dan 15 Akhawat)
Guru : 3 + 2
Kg Rudan nun jauh di sana, di celah kaki gunung nan indah

InsyaAllah, bukanlah suatu karangan atau ucapan melainkan sedikit perkongsian umum yang serba ringkas dan moganya kita bersama dapat mengambil iktibar dari segala peristiwa sejenak mahupun berpanjangan. Terus kita ke Kampung Rudan....Meyahut, Dakwah bil hal!

(Perjalanan ke Kampung Rudan)

Kampung Rudan, 24 Mac 2010 (Rabu)
 Inilah Sg Kg Rudan tempat kami bermandi..

Kami tiba di Kampung Rudan kira-kira jam 5.15 petang, setelah 2-3 jam perjalanan dari bandar Kuching. Bukanlah kerana jauhnya kiraan kilometer, akan tetapi kerana keadaan jalannya yang berbukit bukau dan jalan yang masih ada yang belum diturap, memungkinkan perjalanan menjadi panjang.
Namun syukur alhamdulillah, semua peserta dan guru, begitu juga pemandu-pemandu van yang amat cekal telah selamat tiba. Lantas, majlis perasmian dan penyerahan anak angkat telah dijalankan di dewan Kampung Rudan.
-Hari debaran. masih-
Alhamdulillah kami berjaya menukar pembesar suara surau Kg Rudan 
yang rosak dengan derma hamba Allah dari Trengganu

Kampung Rudan, 25 Mac 2010 (Khamis)
Hari penuh di Kampung Rudan, setelah semalam tiba pada jam 5.15 petang. Pagi hari kami meronda dan berziarah di samping mula berta'aruf dengan penduduk kampung. Alhamdulillah. Selepas Zohor, aktiviti diteruskan dengan berehlah di air terjun, mengambil masa perjalanan hampir 40 minit melalui Kampung Rayang(Kampung bersebelahan dengan Kampung Rudan). MasyaAllah. Air terjun yang sangat menakjubkan. Sungguh. Raikan iman anda memahami dan menghayati.

Hinggalah ke sebelah petang, kami pulang ke Kampung Rudan, namun sempat bersinggah di Kampung Rayang untuk beriadhah bersama penduduk.
Serba ringkas, tamat hari ini.

Kampung Rudan, 26 Mac 2010 (Jumaat)
 Sampaikan kalimah Allah dengan penuh hikmah...walau satu ayat

Sejurus selepas solat subuh, dimulakan dengan beberapa di antara kami yang turut serta ke Sekolah Kebangsaan St James di Kampung Rayang untuk menghantar adik-adik ke sekolah mereka. Untuk pengetahuan, hanya di Kampung Rayang sahaja yang mempunyai sekolah iaitu Sek Keb St James. Malah, yang ada hanya sekolah rendah.

Selesai sudah, pulang ke Kampung Rudan. Aktiviti diteruskan dengan bergotong royong bagi Ikhwah dengan mengecat papan selamat datang, dewan dan surau, manakala akhawat telah menjalankan aktiviti menjahit tudung di samping pemantapan komunikasi, bersama ibu-ibu dan adik-adik kecil. Syukur alhamdulillah, kesan yang amat memberangsangkan kerana kebanyakan ibu-ibu telah berjaya memakai tudung dengan amat kemas. Hm, terfikir, kenapa dan bagaimana?

Pada hari ini juga, Kelas Fardu 'Ain dijalankan sejurus selepas selesai solat jumaat, dalam jam 2 petang, di sekolah St James Rayang. Intipati yang disampaikan melalui ikwah dan akhawat telah membantu meringankan tugas para pendidik di sekolah tersebut dengan kaedah yang kreatif, insyaAllah memudahkan para murid lebih memahami pembelajaran mereka dari sudut pembacaan Iqra', Al-Quran, kefahaman aqidah dan keteguhan adab dan akhlak. Sesungguhnya terpapar wajah anak-anak yang bersungguh menuntut ilmu mencari cahaya, besar potensi dan kelayakan mereka sehingga beberapa murid telah menjadi wakil dalam pertandingan bercerita, membaca al-quran, dan sebagainya. Hmm.

Kampung Rudan, 27 Mac 2010 (Sabtu)
Sukaneka kanak-kanak. Ya. Meriahnya suasana, sukanya mereka. Tidaklah untuk berseronok gembira semata-mata melainkan kita meraikan kanak-kanak kedua-dua buah kampung di samping memberi teladan akan setiap apa yang di lakukan. Kita hamba dan Allah Pencipta. Panasnya mentari dan keluarnya peluh, hukum alam datangnya dari Allah.

Hingga ke malam hari, penduduk dikumpulkan di surau bagi menunaikan solat maghrib dan isya' berjamaah dan lantas diadakan tayangan dan kuliyah disampaikan oleh guru pengiring kita. -Tutup hari, ringkas-

Kampung Rudan, 28 Mac 2010 (Ahad)
Jika semalam sukaneka kanak-kanak, hari ini adalah sukaneka keluarga. Malah boleh juga dikatakan Hari Keluarga. Aktiviti-aktiviti yang terus membina komuniti dan silaturrahim adalah suatu proses yang sentiasa. InsyaAllah, Ibrah yang amat besar bagi yang menghayati. silakan!

Malam hari bagi Ikhwah pada kali ini, telah diadakan Qiamullail bersama anak-anak kampung dan alhamdulillah, mereka menyahutnya walaupun pada ketika itu suasana hujan dengan lebat. Akibat hujan lebat yang turun malam itu telah menyebabkan sedikit kerosakan takungan air di atas bukit dan air terpaksa diberhentikan. Maka kami bersabarlah malam itu dengan air dari surau atau air dari sungai di tepi rumah kami..
-tutup-

Kampung Rudan, 29 Mac 2010 (Isnin)


 
Semua ikhwah dan akhawat menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan St James pada pagi hari untuk menghantar adik-adik mereka ke sekolah. Mungkin, hari ini kali terakhir dalam tempoh 6 hari itu untuk berada di sekolah tersebut. Kerana...

Jadual tengahari dan petang kami diisi bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong memasak juadah lokaliti masing-masing, berkongsi dan menghargai pemberian nikmat Allah yang luas ini.  Muallimah Zaiton dan akhawat bertungkus lumus memasak Tom Yam Ala Ipoh Mali dan Ayam masak merah. 

 Macam sebok sahaja sahabat-sahabat ni...

Alhamdulillah jam 3 petang sistem air paip Kg Rudan kembali pulih dan memudahkan kami menguruskan acara masak-memasak bagi jamuan malam itu. Pak Wahid dan beberapa ikhwah tidak melepaskan peluang mencari buluh di atas bukit yang licin. Sehingga Ramadan kerap tergelincir demi membawa beberapa batang buluh untuk memasak nasi dalam buluh dan makanan kegemaran kami "Pansoh" iaitu masak ayam dalam buluh. Terima kasih daun keladi kepada Pak Abd Wahid dan ikhwah semua. Jika tidak kempunanlah kami untuk merasa kesedapan nasi huma dalam buluh dan Pansoh!

Hingga pada malam hari, majlis jamuan dan persembahan diraikan oleh penduduk dengan begitu menggalakkan. Hampir semua penduduk Kg Rudan dan Kg Rayang turut serta menjamu selera. Rasanya semua lauk habis kecuali sedikit nasi huma yang Guru Pengiring menjadikannya nasi goreng Kg Rudan. Sedap!

Kami pendakwah muda berkelana di bumi Allah..

Sehabis solat Isya berjamaah diimamkan Pendakwan Zon Ust Ainol Lutfi, majlis persembahan dimulakan di Dewan Kg Rudan. Kanak-kanak juga tidak melepaskan peluang ini dengan mengadakan persembahan yang sungguh terkesan. MasyaAllah. Di samping itu, hadiah penghargaan dan cenderamata diberikan kepada penduduk kampung atas aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Majlis malam itu turut dihadiri oleh Ketua Kaum Adat Kg Rudan Bai Heri (Pak Heri), Ketua Kg Rayang, Ketua Kg Belimbing dan Guru Besas Sek Keb St James, En Razali Jamain (orang Johor yang telah berkahwin dengan muslimah Bidayuh dan menetap lebih 20 tahun di situ). Para Ikhwah tak lupa menunjukkan bakat seni disokong oleh pemuda kampung yang turut serta. Iyadh dan puisi Islami yang syahdu diiringi bunyian-bunyian menusuk kalbu oleh Munzir tak akan dapat dilupakan..
Berbakat dan berani..

Kampung Rudan, 30 Mac 2010 (Selasa)
Jam 8.00 pagi, beg dikumpulkan di depan dewan. Menandakan kepulangan kami pada hari ini dari Kampung Rudan. Syahdu dan sayu, tidak mampu digambarkan. Walhal juga, kepulangan kami insyaAllah memberi kesan yang mendalam bagi jiwa kami dan penduduk kampung terutamanya. Jiwa ke arah kemantapan Roh Islam!
Jangan tinggalkan kami kakak!...kami masih memerlukan bimbingan kasih sayang mu...

-Tamat-



++++++++ ++++++++++ ++++++++++ +++++++++

Jauh sekali untuk mengukur kadar kejayaan dan hasil yang memberangsangkan terhadap perkara yang berlaku kepada para penduduk kampung. Enam hari di sana, sebenarnya banyak aspek yang perlu dinilai lebih mengenai corak hidup, tingkah laku, komunikasi dan 'amal.

Hadirnya kita sebagai da'ie. Tidaklah sama dengan hadirnya hanya berjiwa anak angkat, sahaja. Corak hidup sebagai da'ie, tingkah laku dan komunikasi. Mengenai 'amal, iaitu mutabaah 'amal dan 'amal jama'ie. Rutin hidup mungkin sedikit berubah, jika dibandingkan dengan rutin di lokaliti. Namun sejauh mana perubahan itu telah mengganggu 'amal sebagai da'ie? atau terus tsabat..?

InsyaAllah, semoga kita terus bejiwa ruhiyyah Islamiyyah, tsabat dan meningkat keimanan dengan 'amal yang teguh.
Mohon untuk saling mengingat.
Sedikit perkongsian ringkas yang sebenarnya bukanlah hanya sebagai perkataan, namun untuk dijadikan ibroh. Dan sememangnya tidakkah sama pengalaman 6 hari di sana dengan nukilan ringkas ini kerana sikap bukanlah terbentuk hanya melalui pembacaan.
Wallahua'lam. Wassalam



Catatan: Amin

Sunday, April 4, 2010

LKD Siri Ke-5 Bila ?

Assalamualaikum wmt wbkth

Menemui antum semua dalam iman dan amal soleh yang berterusan.
InsyaAllah LKD Siri Ke-5 dan akhir akan diadakan pada 30 April (Jumaat) hingga 2 Mei (Ahad) di lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Bertemu lagi dan mohon semua mengisi borang mutabaah amal.

Pengarah LKD

KEMBARA DAKWAH KE BUMI KENYALANG...