Wednesday, March 3, 2010

Di mana LKD Siri 4?

Assalamualaikum wmt.wbth

Pertamanya saya mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang mengizinkan kita semua mengadakan latihan Kader Duat Siri 3 baru-baru ini. Ini semua adalah dari rahmat Allah SWT. Dengannya kita dapat mempelajari bahan-bahan baru serta meningkatkan kualiti diri kita semua dari semua segi. Kita semua dapat saling bertemu dan merasai kehangatan ukhuwwah dan kasih sayang. Sesungguhnya dakwah Ar Rasul s.a.w bermula dengan dakwah kepada iman kepada Allah SWT. Dengannya hati-hati menjadi bersih. Iman mereka meningkat dari satu hari ke satu hari yang lain. 

Dengan iman, Baginda Ar Rasul mempersaudarakan para sahabah. Tali persaudaraan di bina tanpa mengira bangsa dan kaum, keturunan dan kekayaan. semuanya bersatu kukuh di atas manhaj Ilahi. Inilah jalan kita dan jalan kebenaran yang kita sama-sama lalui. Kita merasai iman itu dan kita dapat merasai erti ukhuwwah yang penuh kasih sayang sesama kita. 

Sepanjang latihan, saya memohon kemaafan kepada semua Kader jika ada yang terasa atau terguris perasaan. Namun apa yang saya usahakan bersama Para Mudarrib hanyalah satu. Iaitu mahu melihat adanya perubahan. Perubahan kepada yang lebih baik. Perubahan sikap dan adab. Perubahan ilmu dan makrifat. Semua perubahan ini hanya dapat kita lakukan dengan penuh kesedaran dan mujahadah. Kita makan ala kadar. Kita tidur di tempat yang tidak selesa. Kita bangun di waktu sahur untuk bertahajjud. Kita merasa penat kerana terpaksa musafir berjam-jam lamanya. Semua ini ialah demi membina keperibadian kita. Kita ingin islahkan diri kita sebelum kita ingin menyeru orang lain. Membina diri lebih sukar dari mengajak orang atau menegur orang lain.  Kepada semua yang telah berkorban masa, tenaga dan harta bagi menghadiri program LKD saya ucapkan tahniah dan moga diberikan ganjaran Allah di dunia dan akhirat nanti.

Para Anggota LKD sekalian,
Kepada semua yang sedang menunggu keputusan SPM diharapkan agar bersabar. InsyaAllah akan diberikan kejayaan yang cemerlang dan terbilang.
InsyaAllah LKD Ke-4 sedang dirancang. Jika tiada halangan akan diadakan pada 2-4 April 2010. Lokasi yang sedang dirancang berkemungkinan di KL/JB atau Trengganu. Tarikh ini telah dipinda dari cadangan sebelumnya iaitu pada 26-28 Mac kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

Bertemu lagi insyaAllah di sana nanti. Amin
Pengarah LKD



No comments:

Post a Comment