Monday, March 2, 2015

LKD 6



Latihan Kader Duat (LKD) Jiil 6 (generasi ke-6) 

Alhamdulillah.

Latihan Kader Du'at generasi ke-6 dengan jayanya telah dilangsungkan bermula 21 Januari sehingga 12 Februari 2015. Program bertemakan "Du'at Peneraju Ummah" kali ini disertai oleh 43 ikhwah dan 51 akhawat. Siri LKD 6 kali ini merupakan pertama kalinya dilangsungkan secara berterusan 22 hari tanpa henti, berbeza dengan siri sebelumnya yang hanya dilaksanakan secara berkala pada setiap bulan hingga melangkah ke gerbang IPT.

Menjalani dua hari dalam minggu pertama di Sekolah Sri Al-Amin Bangi, Selangor. Dengan hari pertama, Rabu 21 Januari, peserta diberikan taklimat sepanjang program, mind setting, ice breaking dan pembahagian kumpulan. Menjelang hari kedua, dengan aktiviti pemecah adat LKD, peserta ditebarkan ke lokasi-lokasi utama di Bandaraya Kuala Lumpur dengan aktiviti mencabar, Explorace. Di mana aktiviti Explorace kali ini merupakan pertama kalinya sepanjang 6 tahun siri program LKD ini dilancarkan. Di samping para peserta berkembara, mereka diberikan tugasan-tugasan yang membina skil komunikasi spontan, puzzle kalimat dan hikam, dan merakam momen terindah.

Pagi jumaat yang barakah, lokasi acara LKD 6 berpindah ke Impian Country Resort, Hulu Langat, Selangor. Mood program dikekalkan dalam bentuk kem dalaman (indoor camp), daurah bedah buku "Usul 20" karangan oleh Imam Hassan Al-Banna, bedah filem "Sang Pencerah", latihan dalam kumpulan dan riadah jasadi. uniknya, peserta diberikan tugasan menyediakan menu masakan dengan pantauan fasilitator, ke arah menyempurnakan salah satu sifat muslim sejati 'qadirun ala kasbi' (mampu berdikari).

Pada minggu kedua, jauh meninggalkan tanah semenanjung Malaysia,  Jaulah Tarbawi ke Medan, Sumatera Utara, Indonesia. 3 hari di Bandar Medan, para peserta berpeluang melawat Sekolah Menengah Agama Al-Fityan dan Sekolah Dasar (Rendah) Juara dengan objektif menyantuni mereka dan mengeratkan hubungan serantau. Dan pada malam harinya, peserta disajikan dengan tazkirah-tazkirah daripada Asatizah tempatan. Antara judul tazkirah yang dikupas semasa di Kota Medan termasuklah Kemanisan Ukhuwah, Dakwah Adalah Cinta.
 

Pada hari ketiga di Medan, semua peserta dibawa ke Bumi Kem Sibolangit, Medan. Sepanjang 5 hari perkhemahan di Sibolangit, peserta didedahkan dengan aktiviti-aktiviti lasak, trekking ke Dam (empangan air), riadah berpoin-lapor (checkpoint), tadabbur alam ke Bukit Salip dan mencebur kesejukan semula jadi sungai sekitar kem menjadikan memori di Bumi Kem Sibolangit terlalu indah untuk dilupakan. Ditambah dengan keberadaan para Instruktur Indonesia daripada Medan Youth Club (MyClub) yang begitu ramah dan mesra. Subhanallah.















Setelah berpenat Kem di Sibolangit, peserta dibawa berkunjung dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke kawasan evakuasi gunung berapi Gunung Sinabung. Syukur alhamdulillah, pada ketika itu Gunung Berapi Sinabung dalam keadaan baik dan selamat untuk aktiviti ziarah LKD 6. Sebaik selesai misi ziarah ke Sinabung, semua rombongan berhenti bersiar-siar seketika di lokasi pelancongan Berastagi yang suasananya ala Tanah Tinggi Cameron. Menjelang maghrib, semua peserta tiba semula di penginapan Balai Pendidikan dan Pelatihan Keagamaan Medan atau dalam bahasa tempatannya Balai Diklat Keagamaan (BDK) Medan.

Hari terakhir peserta LKD di tanah seberang, seharian mereka dibawa 'putar-putar' ke sekitar Kota Medan. Ke Kedai Moslem Sentral Koleksi Islam, berkunjung ke Istana Maimoon, sesi santap tengah hari di Kantor Rasmi Gubenur Sumatera Utara dan beramah mesra dengan isteri gabenor Sumatera Utara, Nyonya Hajjah Sutias Handayani Gatot Pujo Nugroho, dan akhir sekali ke Kedai Batik & Telekung Wajir.










Sekembalinya peserta di tanah air, mereka langsung ke Impian Country Resort menyambung agenda LKD 6. Pada minggu terakhir, peserta diberikan pendedahan berkenaan realiti di institusi pengajian tinggi serta persediaan menghadapinya. Pada malam terakhir, sesi curahan hati dan harapan sesama peserta menyempurnakan pertemuan ukhuwwah ringkas mereka dalam program LKD 6 ini.




Dan seawal jam 4 pagi, semua peserta bertolak kembali ke Sekolah Sri Al-Amin Bangi untuk acara penutupan dan penyerahan sijil penyertaan peserta. Turut hadir dalam majlis penutup Ustaz Megat Mohamed Amin selaku Pengarah Eksekutif Ikram - Musleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa Pusat Al-Akh Ameer Rasyid.


Mudah-mudahan, dengan bekalan yang diperoleh, barisan kader du'at Generasi ke-6 ini mampu memberi nafas baru dalam tarbiyah serta mengubah landskap tarbiyah dan dakwah di IPT.

Kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dalam menjayakan program LKD 6. Mudahan-mudahan segala usaha yang mulia ini diganjari oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran.




No comments:

Post a Comment