Tuesday, July 20, 2010

Debat MUSLEH boleh diadakan ala Parlimen – Setiausaha Dewan Negara

Selasa, 13 Julai 2010 15:20 M Nasim

(Malaysiaharmoni.com)

a
KUALA LUMPUR - Kualiti yang ditunjukkan oleh para peserta Kejohanan Debat Antarabangsa MUSLEH Ke-2 di Hotel Putra kelmarin telah meyakinkan lagi Setiausaha Dewan Negara, Datuk Zamani Sulaiman untuk mengadakannya dalam suasana yang benar-benar seperti di Parlimen pada tahun hadapan.
Berucap di majlis penutupan kejohanan, beliau menegaskan sepatutnya sebagaimana yang dijanjikannya tahun lepas, pertandingan debat kali ini diadakan di Parlimen dengan Dewan Negara menjadi tuan rumah, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, hasrat tersebut tidak dapat dilaksanakan. Bagaimanapun beliau berjanji akan cuba bekerjasama dengan MUSLEH pada tahun hadapan untuk mengadakannya di tempat yang lebih besar dan suasananya mirip Parlimen Malaysia.
“Saya percaya selepas ini ramai daripada ahli parlimen perlu pencen kerana kita mempunyai pelapis yang cukup baik,” katanya berseloroh. “Perdebatan yang ditunjukkan oleh peserta sangat berkualiti walaupun mereka masih muda.
“Saya juga gembira melihat peningkatan penyertaan sekolah yang mengambil bahagian berbanding tahun lepas.
Pada kali ini, penyertaan yang turut melibatkan beberapa wakil Sekolah Berasrama Penuh (SBP) membuktikan sekolah kerajaan mengiktiraf program yang dianjurkan oleh MUSLEH. Malah daripada pengamatan saya, mereka (sekolah kerajaan dan swasta) setanding.”
aSebelum mengakhiri ucapan perasmian, Zamani meluahkan hasratnya agar program berprestij sebegini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut berucap pada majlis tersebut ialah pengerusi kejohanan, Prof Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali (gambar kiri). Beliau menekankan betapa perlunya meletakkan diri di tempat dan keadaan yang betul dalam kehidupan ini. “Biarlah kita menjadi seperti biji benih yang mampu tumbuh subur walau tercampak di mana-mana sekalipun. Kalau kita menjadi emas atau berlian, ia tetap akan pudar jika terjatuh ke dalam lumpur,” katanya sambil mengharapkan kejohanan debat seperti ini akan dapat melengkapkan lagi aspirasi pendidikan MUSLEH untuk melahirkan insan holistik.
aPerkara ini turut dipersetujui oleh Pengerusi MUSLEH Berhad sendiri, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor (gambar kanan). Beliau melahirkan rasa amat bersyukur dengan kelancaran program tersebut setelah pengalaman pertama MUSLEH tahun lepas.
“Kualiti perdebatan kali ini juga amat memberangsangkan terutama dalam kategori bahasa Arab sehinggakan para juri terpegun dan sukar memilih pendebat terbaik.
“Saya amat berbesar hati dan mengalu-alukan kesediaan Datuk Zamani untuk bekerjasama dengan MUSLEH dan berharap akan mendapat sokongan yang lebih besar pada tahun hadapan. Saya juga mengharapkan kejohanan yang begitu positif ini dapat diadakan lebih meriah di tempat yang lebih besar sesuai dengan suasana parlimen sebenar,” katanya.
Kejohanan Debat Antarabangsa MUSLEH Ke-2 ini adalah anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Musleh Berhad (Pusat Pendidikan SRI-SMI Bhd), UIAM dan International Center for Educational Excellence Bhd (ICEE) untuk pelajar-pelajar sekolah menengah. Ia berlangsung dari 8 hingga 11 Julai 2010 di Hotel Putra, Jalan Tun Razak di sini.

No comments:

Post a Comment