Friday, December 20, 2013

LKD 5 : Daurah 1

Bismillah.

Ikhwah LKD 5

Akhawat LKD 5



SEKOLAH MENENGAH AL-AMIN, BANGI - Bermula 13 Disember hingga 15 Disember 2013, daurah pertama Latihan Kader Duat (LKD) Generasi ke-5 telah berjaya mengumpulkan seramai 129 orang peserta yang terdiri daripada pelajar lepasan SPM 2013. 

Program dimulakan dengan sesi mind-setting dan ice-breaking, disusuli dengan pengisian Muqaddimah Ini Sejarah Kita (ISK) yang disampaikan oleh Akh Adli (dari German-Malaysian Institute). 

Pada pagi 14 Disember, peserta mendapat perkongsian oleh Ustaz Ahmad Taufiq Jaafar serta Ustaz Ab Rahman Salleh. Kemudian, para peserta dibahagikan kepada sebelas kumpulan, di mana setiap kumpulan perlu membentangkan satu pecahan tajuk daripada modul Ini Sejarah Kita. Slot pada malam tersebut ialah pengisian Ini Peranan Kita (IPK), yang disampaikan oleh Akh Ahmad Syafiq bin Yusof. 

Program bersurai pada Zuhur 15 Disember 2013. 

Adalah diharapkan bahawa segala input yang diperoleh sepanjang program berjaya dihadam dan seterusnya, dibumikan sebagai amal. Jazakumullah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga Allah membimbing kita sentiasa, sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Ankabut, ayat 69;

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya."

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan Ahlan Wasahlan kepada peserta Latihan Kader Dua't Generasi ke-5. Semoga kita bertemu di daurah akan datang (17 Januari- 19 Januari 2014), dengan ruhul jadid. 

Friday, September 20, 2013

Pelatihan KDM

Bismillah.

Rentetan daripada Retreat pada Julai 2013,  Kader Duat Musleh (KDM) mengadakan Pelatihan KDM pada 16 September 2013. Bertempat di Pejabat Pemuda IKRAM Pusat di Taman Melawati, pelatihan  ini dihadiri oleh anggota KDM dan pegawai tarbiyah di sekolah-sekolah MUSLEH (Ustaz Ahmad Taufiq Jaafar, Muallim Majid, Muallimah Raihan, Muallimah Dayang Hayani, Ustazah Norma Mohamad dan Ustaz Muharman) serta wakil Kadet Remaja Sekolah MUSLEH (KRSM) dan Kembara Dakwah (Ustaz Soleh dan Ustaz Rahim).Majlis dimulakan dengan kata alu-aluan daripada Ustaz Ahmad Taufiq, disusuli dengan bacaan al-Quran (Surah Al-Anfal:1-9) oleh Akh Muhammad Irsyad Zainal Abidin.

Kemudian, perbincangan dimulakan di bawah kelolaan Ustaz Aadtif yang bertindak selaku moderator. Fokus pelatihan KDM kali ini adalah untuk memurnikan perancangan dan gerak kerja LKD 5 di samping menambahbaik kualiti KDM dan LKD secara keseluruhan.  Turut dibincangkan peranan KDM dalam membantu gerak kerja LKD dan sekolah MUSLEH.

Jazakumullahhu khairan kathira kepada semua yang menjayakan Pelatihan KDM. Mudah-mudahan, usaha gigih dalam membina rijal dakwah ini menjadi asbab yang menyumbang ke arah kemenangan Islam kelak. 


Saturday, September 7, 2013

Gathering Akhawat KDM 2013

Bismillah.

Di Broga 

Bertempat di Sekolah Menengah Al-Amin, Bangi, Program Gathering Akhawat Kader Duat Musleh (KDM) berjaya mengumpulkan lebih kurang 32 peserta yang terdiri daripada 20 orang akhawat lepasan program Latihan Kader Du’at (LKD) dan 12 orang akhawat UNITEN. Program yang telah dilaksanakan pada 23 hingga 25 Ogos 2013 ini telah diatur bagi mengeratkan ukhuwah di samping pemurnian fikrah islamiyah.

Sedikit berbeza dengan gathering sebelum ini, program kali ini berkonsepkan outdoor. Bermula selepas isya’, 23 Ogos, para peserta diberi pengisian ‘Set Kompas’ oleh Ukht Izyana Mohd Hariffin, yang mengupas berkenaan usrah dan tarbiyah.

Usai mengerjakan qiam, para peserta mula bergerak ke Bukit Broga. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan, di mana setiap kumpulan diberi satu lampu suluh dan naskhah Al-Quran. Turut disertakan wajibat menghafaz beberapa dalil Al-Quran* sepanjang pendakian.  Para peserta berpeluang mengerjakan solat subuh berjemaah di platform kedua, Bukit Broga, selain mendengar tazkirah oleh Ukht Hanisah berkenaan ‘Kebesaran Ciptaan Allah’ di puncak bukit. Mereka bergerak pulang ke Sekolah Menengah Al-Amin setelah mengerjakan solat Dhuha.

Selepas itu, mereka diberikan pengisian berkisar muqaddimah Usul 20, oleh Ukht Izyana Mohd Hariffin. Mereka dikehendaki berbincang dalam kumpulan dan melakukan pembentangan berkenaan usul pertama, kedua dan ketiga. Kemudian, mereka bergerak ke rumah salah seorang akhawat (Ukht Farhana Sazali) untuk menghadiri majlis, sebelum membuat persiapan barbeque pada waktu petang.

Selepas Subuh (25 Ogos 2013), Ukht Hanan Hamidon berkongsi berkenaan surah Fussilat, ayat 30-38, di mana ayat ini menekankan konsep sabar. Program bersurai sebelum Zuhur.

Adalah diharapkan bahawa segala input yang diperoleh sepanjang program berjaya dihadam dan seterusnya, dibumikan sebagai amal. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program gathering ini. Semoga Allah meredhai segala usaha kita, sebagaimana yang disebut dalam surah Al-Bayyinah, ayat 8;

“Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.”

*Ayat-ayat yang menjadi wajibat adalah seperti berikut:-
(49:12)
(3:103)
(53:9)
(8:63)
(26:75-82)
(20:29-35)
(14:24-25)