Showing posts with label Berita KDM. Show all posts
Showing posts with label Berita KDM. Show all posts

Monday, June 17, 2013

Latihan Kader Du'at Generasi Ke-4

Bismillahirrahmanirrahim. 

Baru-baru ini, Kader Du'at Musleh telah berjaya menganjurkan siri Latihan Kader Du'at bagi Jill generasi) Ke-4. Program yang dijalankan secara berkala ini telah disertai oleh lepasan pelajar sekolah Musleh yang juga merupakan calon SPM 2012.

Bermula dengan Daurah Outdoor yang bertempat di SM Al-Hidayah, Ipoh, para peserta LKD Jiil ke-4 disajikan dengan perkongsian yang menghidupkan hati bertajuk Iman dan Ukhuwah.  

Seterusnya, para peserta dituruti dengan program Perkhemahan Nasional KRS Musleh (PERNAS) yang bertempat di Dataran JPS Kuala Kangsar, Perak bermula pada 17 hingga 21 Disember 2012.

Bermula 11 hingga 13 Januari, topik pengisian yang di sediakan Ini Sejarah Kita dan Ini Peranan Kita. Stail penyampaian yang agak serius bercampur santai menjadikan slot yang berlangsung di SMI Al-Amin, Bangi tersebut sangat menyegarkan. 

Bertempat di lokasi yang sama bagi ikhwah dan di Usayd bagi akhawat, daurah seterusnya dijalankan pada 15 hingga 17 Februari. Kali ini, ikhwah dihidangkan dengan pengisian Syahadatul Haq manakala pengisian bagi akhawat ialah Sayonara Jahiliah, pengenalan beberapa tokoh, dan Dakwah Fardiah. 

Daurah siri ketiga menyusul pada 25 dan 26 Mac di SM Al-Islah, Sungai Petani. Di sini, peserta diberi penerangan berkenaan 3T (Takrif, Takwin, Tanfiz) , Dakwah Fardiah serta Khutuwat Dakwah. 

Kemuncak dalam siri Latihan Kader Du'at, Kembara Dakwah bagi Latihan Kader Du'at Generasi Ke-4 mengambil tempat di Perkampongan Orang Asli Pos Chiong, Grik, Perak. Pengalaman selama enam hari dalam misi menyebar luaskan dakwah Islam semestinya menjadi pengalaman yang sangat berharga buat peserta.  

Daurah siri keempat sekali gus menjadi penutup tirai bagi sesi Latihan Kader Du'at Generasi Ke-4 ini mendedahkan kepada peserta berkenaan Qaedah Sulbah. Program ini berlangsung di SM Al-Amin, Bangi bermula 10 sehingga 12 Mei.  

Mudah-mudahan, dengan bekalan yang diperoleh, barisan kader du'at Generasi ke-4 ini mampu memberi nafas baru dalam tarbiyah serta menjadikan gerak kerja dakwah lebih kencang sekali gus mengubah landskap tarbiyah dan dakwah itu sendiri. 

Dan ingin kami rakamkan di sini ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dalam menjayakan Latihan Kader Du'at Generasi ke-4. Tidak lupa juga, segulung penghargaan kepada mereka yang berusaha memacu LKD/KDM ke arah yang cemerlang. Mudahan-mudahan segala usaha ini diganjari oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran. Insha Allah...


Sunday, April 15, 2012

Retreat LKD

Allahu Bismik.

ketika sesi mesyuarat Sabtu (31 Mac '12) pagi

Berkadar langsung pada tanggal 31 Mac 2012 hingga 1 April 2012, sebuah mesyuarat agung telah dijalankan di Pejabat Pemuda IKRAM Pusat. Dengan berlangsungnya mesyuarat tersebut, LKD (Latihan Kadet Du'at) atau nama baharunya KDM (Kader Du'at MUSLEH), selangkah lebih serius untuk turut bersama sebaris menghidupkan bumi dakwah Islami yang kita sama-sama cintai. Kewujudan KDM adalah untuk meningkatkan kadar efisyensi keluaran MUSLEH pada amnya, dan tidak hanya bertumpu pada lepasan program LKD semata. Namun, kewujudan KDM hanya tinggal nama short form sahaja andai ahlinya tidak bersama membahu beban dakwah.
"KDM menjadi Du'at yang boleh didayagunakan dalam setiap relung IKRAM"
Begitulah visi yang telah dipersetujui bersama di dalam mesyuarat ini. "Retreat" pada istilah yang difahami dalam google translator membawa maksud "berundur". Namun, pada pemahaman ahli-ahli mesyuarat yang hadir tidaklah sebegitu. Ia bahkan dianggap, "berkumpul membina kekuatan". Begitu juga dengan tergarisnya misi KDM, "menyiapkan kader duat Musleh yg mampu menerajui IKRAM", menunjukkan betapa tingginya harapan Mashayikh kita kepada kita dalam mencetak masa depan. Menunding bahawa kerja kita merupakan kerja yang tersangat serius. Ingin diingatkan, tugas kita cuma dan selamanya hanya untuk membawa kepada Islam yang suci dan tunggal wa bass!. Bukan kepada diri kita, KDM, MUSLEH, IKRAM, apatah Ikhwan X. Astaghfirullah!


Peratusan terbesar yang menjadi keutamaan dalam Retreat LKD, merupakan hal-ehwal kebajikan Alumni Sekolah MUSLEH. Sekali lagi dicerahkan di sini, skop penumpuan tidak lagi tertutup kepada lepasan program LKD, tapi keseluruhan pelajar mahupun bekas pelajar yang pernah bernaung di bawah MUSLEH. Jika dilihat rapi, ada juga yang tidak pernah bernaung di bawah MUSLEH pun turut diambil berat. Sebagai contoh, masyarakat pedalaman Sabah & Sarawak yang pernah suatu ketika kita santuni dengan Islam. Ia turut di ambil berat!

Diwartakan secara kasar. Retreat LKD membincangkan hala tuju KDM, dasar-dasar KDM, penambahan dan penghapusan beberapa jawatan kuasa khas, penyusunan semula Tanzim KDM, pengkhususan bidang kerja serta kemas kini nama Mas'ul kawasan. Jazakallahu ahla juz'an, kepada semua jiwa yang tegar menghadiri Retreat LKD meski tidaklah menghadiri sepenuhnya. Moga Allah menjadikan manisnya dalam dakwah melebihi manisnya dalam futur, amiin~

Yang menjalankan tugas,
Iyadh Abd Haris.
Jk Media Informasi (Mephore)

Monday, May 3, 2010

Kenangan Bergambar di Sesi Akhir LKD Ke-5

Peserta Ikhwah LKD Siri Ke-5

Peserta Akhawat LKD Siri Ke-5

LKD Ke-5 menamatkan siri latihan yang telah dijalani oleh semua pelatih LKD Musleh Sesi SPM 2009  sejak 25 Disember 2009 hingga LKD akhir pada 30 April hingga 2 Mei yang lalu. Hampir empat bulan setengah kita telah bersama dalam latihan perkaderan duat secara intensif. Tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Selaku Pengarah saya amat bergembira dapat berkenalan dengan antum semua. 

Semua pengalaman yang kita telah lalui bersama serta pengembaraan dakwah bil hal ke Kg Rudan Pedalaman Sarawak selama 11 hari dalam misi menyebar luaskan dakwah Islam pastinya memberi kenangan paling indah dalam kehidupan peribadi dan dakwah. Saya sendiri pastinya akan merindui saat untuk bersama dalam latihan dan tarbiyyah bersama antum semua. Saat saya bersama antum adalah antara saat-saat paling berharga dalam kehidupan saya. Moga Allah SWT memberkati kita semua, merapatkan ukhuwwah kita dan menunjukkan kita jalan untuk menjadi hambaNya dan DuatNya di jalan Islam, dakwah dan jihad. Illmu sudah diperolehi kini medan amal sedang menunggu. Mungkin ilmu yang kita perolehi seidikit. Akan tetapi jika ilmu yang sedikit ini kita amalkan dan sebarkan ianya akan menjadi besar dan luas.Maka tunaikan amanah ini dengan penuh keikhlasan dalam mendidik pemuda/i bangsa agar menjadi muslim dan muslimah yang akan menjadi benteng ummah dan penyebar makruf di dalam masyarakat . Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Sekian salam ukhuwwah,
Pengarah LKD

Wednesday, April 28, 2010

LKD Ke-5 dan Akhir!

Assalamualaikum wmt wbth

Pertamanya dimaklumkan bahawa LKD Ke-5 yang akan berlangsung pada 30 April hingga 2 Mei 2010 adalah Siri terakhir bagi Program Latihan Kader Du'at Musleh Sesi 2009 buat kali ini. Lokasi adalah tempat yang sama bagi LKD Ke-4 yang lepas.

Tahniah kepada semua peserta yang telah istiqomah hadir bagi kesemua siri dan berkesempatan pula mengikuti program Kembara Dakwah Bil Hal ke Bumi Kenyalang pada beberapa minggu yang lalu.

Sesungguhnya peluang kita bersama dan bertaaruf disamping mendapat latihan dan bimbingan sepanjang percutian SPM 2009 pastinya akan memberi kita semua pelajaran, kenangan, ibrah dan kesan yang akan memberi kita semua sedikit sebanyak bekalan di dalam perjalanan kehidupan kita semua sebelum memasuki satu fasa baru iaitu berada di Menara Gading samada di dalam atau di luar negeri.

Ini adalah satu nikmat yang perlu kita semua syukuri kehadrat Ilahi dan marilah kita semua hadir pada LKD terakhir ini demi kejayaan pembinaan saf pemuda/pemudi Muslim/ah yang akan menyahut seruan Allah menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari kemungkaran dengan hikmah dan kebijaksanaan berasaskan manhaj Nubuwwah dalam membawa Risalah At Tauhid di mana sahaja kita berada.

Sejak dari bulan Disember hinggalah ke hujung April kita telah lalui hari-hari dan malam-malamnya sepanjang daurah dan kembara hingga ke seberang Laut Cina Selatan, dicelah bukit bukau Kg Rudan yang indah pasti tidak akan dilupakan oleh kita semua. Ukhuwwah kita bina, perasaan kasih sayang kita tautkan, taaruf kita perdalamkan, fikrah kita mantapkan, penghayatan kita suburkan,moga dengan semua ini akan ada peningkatan dan kemajuan pada peribadi, pada ruhi, pada fikri dan pada semangat (hammasah) seorang pemuda.
Sekarang terpulanglah kepada antum semua untuk meneruskan risalah, pelapis ummah yang akan memacu sinaran Islam ke seluruh pelusuk alam, menyantuni ummah, mengasihi yang muda, menghormati yang tua, merawat yang sakit, membimbing yang lemah, menjadi pembawa obor kebenaran, menyatu dan mempersaudarakan ummat Islam yang kian berpecah lantaran kejahilan, kelemahan dan kesilapan.

Sekian,
Bertemu di LKD Ke-5 untuk menerima taujihat terakhir dari para muwajjihin dan murrabi. InsyaAllah jika tiada halangan anda semua akan menerima Sijil Penyertaan bagi sepanjang siri yang telah antum lalui sebagai kenangan dan bukti sejarah yang telah antum buktikan dalam kehidupan sementara ini.


Wassalamualaikum wmth

Pengarah LKD

Saturday, April 10, 2010

Sajak Kembara Sarawak

ANUGERAH YANG TERINDAH
ciptaan oleh : Ahmad Syafiq bin Yusof [SMI Hidayah JB]
diedit oleh : Iyadh bin Abd Haris [SMI Al-Amin Bangi]


Alam..
Kan kah anugerah Tuhan teristimewa?,
Khazanah alam terindah buat kita?.

Air sungai susur menderas..
Pepohon hijau nan merimbun..
Langit secerah pawana..
Sorotnya bintang bergemerlapan,
Sorotnya mentari menyinsing.

Oh alam..
Oh dunia..
Dirimu sungguh bermakna..
Kerna padamu manusia tergila-gila,
Mengejar harta, kasta dan wanita.
Kehadiranmu benar-benar memukau pandangan mata.
Kecuali yang beriman saja terselamat darinya.


Lihat alam ini.
Makin lama, makin punah?
Dimamah rakusnya manusia.
Dek kerana mengejar keuntunganlah,
Dek kerana mengejar kepuasan nafsulah,
Bumi kita musnah.


Di sinilah wahai teman,
Tuhan mengilhamkan jalan keluar.
Dengannya kami mengenal erti hidup..
Hidup yang selama sebelumnya..
Terumbang-ambing.


Dengannyalah..
Kami merasakan hidup ini penuh makna..
Walhal dahulunya sarat kepura-puraan,
Sarat tipu daya mainan dunia.


Di sini.. Ya Allah~
Kami memohon padaMu~
Agar dibukakan pintu hati ini,
Dibukakan segala hijab yang menyelubunginya,
Dikurniakan hidayahMu~
Agar terangnya hati~
Agar kuatnya ikatan ini~
Moga tidak jauh daripada petunjukMu~


Ku.. Bersyukur ya Allah~
Kerana masih mencurah kasih sayangMu~
Tidak sekali kau jemu..
Mencurah rezeki kepada kami..
Meski kami hamba berdosa.


Ku, amat beruntung ya Allah.
Terasa diri ini..
Manusia yang paling berbahagia di jagat raya ini.
Kerna dipertemukan..
Dengan sebuah anugerah yang nakiitd istimewa..
Dengan permata yang nakiitd berharga.
Inilah dia yang ku cari.
Selama ini,
Inilah dia ISLAM.

Thursday, April 8, 2010

Perkongsian umum 1 : Log Kembara

Dakwah. Bukanlah hanya sekumpulan abjad berhimpun semata. Kerna ianya menjangkau seluas hamparan bumi, halus dan teguh, dicelah mahupun dipersada, yang mampu membina generasi manusia. Alhamdulillah.....


Kembara Dakwah ke Bumi Kenyalang
Tarikh : 23-31 Mac 2010
Tempat : Kuching, Sarawak.
Peserta : 25 Orang (10 Ikhwah dan 15 Akhawat)
Guru : 3 + 2
Kg Rudan nun jauh di sana, di celah kaki gunung nan indah

InsyaAllah, bukanlah suatu karangan atau ucapan melainkan sedikit perkongsian umum yang serba ringkas dan moganya kita bersama dapat mengambil iktibar dari segala peristiwa sejenak mahupun berpanjangan. Terus kita ke Kampung Rudan....Meyahut, Dakwah bil hal!

(Perjalanan ke Kampung Rudan)

Kampung Rudan, 24 Mac 2010 (Rabu)
 Inilah Sg Kg Rudan tempat kami bermandi..

Kami tiba di Kampung Rudan kira-kira jam 5.15 petang, setelah 2-3 jam perjalanan dari bandar Kuching. Bukanlah kerana jauhnya kiraan kilometer, akan tetapi kerana keadaan jalannya yang berbukit bukau dan jalan yang masih ada yang belum diturap, memungkinkan perjalanan menjadi panjang.
Namun syukur alhamdulillah, semua peserta dan guru, begitu juga pemandu-pemandu van yang amat cekal telah selamat tiba. Lantas, majlis perasmian dan penyerahan anak angkat telah dijalankan di dewan Kampung Rudan.
-Hari debaran. masih-
Alhamdulillah kami berjaya menukar pembesar suara surau Kg Rudan 
yang rosak dengan derma hamba Allah dari Trengganu

Kampung Rudan, 25 Mac 2010 (Khamis)
Hari penuh di Kampung Rudan, setelah semalam tiba pada jam 5.15 petang. Pagi hari kami meronda dan berziarah di samping mula berta'aruf dengan penduduk kampung. Alhamdulillah. Selepas Zohor, aktiviti diteruskan dengan berehlah di air terjun, mengambil masa perjalanan hampir 40 minit melalui Kampung Rayang(Kampung bersebelahan dengan Kampung Rudan). MasyaAllah. Air terjun yang sangat menakjubkan. Sungguh. Raikan iman anda memahami dan menghayati.

Hinggalah ke sebelah petang, kami pulang ke Kampung Rudan, namun sempat bersinggah di Kampung Rayang untuk beriadhah bersama penduduk.
Serba ringkas, tamat hari ini.

Kampung Rudan, 26 Mac 2010 (Jumaat)
 Sampaikan kalimah Allah dengan penuh hikmah...walau satu ayat

Sejurus selepas solat subuh, dimulakan dengan beberapa di antara kami yang turut serta ke Sekolah Kebangsaan St James di Kampung Rayang untuk menghantar adik-adik ke sekolah mereka. Untuk pengetahuan, hanya di Kampung Rayang sahaja yang mempunyai sekolah iaitu Sek Keb St James. Malah, yang ada hanya sekolah rendah.

Selesai sudah, pulang ke Kampung Rudan. Aktiviti diteruskan dengan bergotong royong bagi Ikhwah dengan mengecat papan selamat datang, dewan dan surau, manakala akhawat telah menjalankan aktiviti menjahit tudung di samping pemantapan komunikasi, bersama ibu-ibu dan adik-adik kecil. Syukur alhamdulillah, kesan yang amat memberangsangkan kerana kebanyakan ibu-ibu telah berjaya memakai tudung dengan amat kemas. Hm, terfikir, kenapa dan bagaimana?

Pada hari ini juga, Kelas Fardu 'Ain dijalankan sejurus selepas selesai solat jumaat, dalam jam 2 petang, di sekolah St James Rayang. Intipati yang disampaikan melalui ikwah dan akhawat telah membantu meringankan tugas para pendidik di sekolah tersebut dengan kaedah yang kreatif, insyaAllah memudahkan para murid lebih memahami pembelajaran mereka dari sudut pembacaan Iqra', Al-Quran, kefahaman aqidah dan keteguhan adab dan akhlak. Sesungguhnya terpapar wajah anak-anak yang bersungguh menuntut ilmu mencari cahaya, besar potensi dan kelayakan mereka sehingga beberapa murid telah menjadi wakil dalam pertandingan bercerita, membaca al-quran, dan sebagainya. Hmm.

Kampung Rudan, 27 Mac 2010 (Sabtu)
Sukaneka kanak-kanak. Ya. Meriahnya suasana, sukanya mereka. Tidaklah untuk berseronok gembira semata-mata melainkan kita meraikan kanak-kanak kedua-dua buah kampung di samping memberi teladan akan setiap apa yang di lakukan. Kita hamba dan Allah Pencipta. Panasnya mentari dan keluarnya peluh, hukum alam datangnya dari Allah.

Hingga ke malam hari, penduduk dikumpulkan di surau bagi menunaikan solat maghrib dan isya' berjamaah dan lantas diadakan tayangan dan kuliyah disampaikan oleh guru pengiring kita. -Tutup hari, ringkas-

Kampung Rudan, 28 Mac 2010 (Ahad)
Jika semalam sukaneka kanak-kanak, hari ini adalah sukaneka keluarga. Malah boleh juga dikatakan Hari Keluarga. Aktiviti-aktiviti yang terus membina komuniti dan silaturrahim adalah suatu proses yang sentiasa. InsyaAllah, Ibrah yang amat besar bagi yang menghayati. silakan!

Malam hari bagi Ikhwah pada kali ini, telah diadakan Qiamullail bersama anak-anak kampung dan alhamdulillah, mereka menyahutnya walaupun pada ketika itu suasana hujan dengan lebat. Akibat hujan lebat yang turun malam itu telah menyebabkan sedikit kerosakan takungan air di atas bukit dan air terpaksa diberhentikan. Maka kami bersabarlah malam itu dengan air dari surau atau air dari sungai di tepi rumah kami..
-tutup-

Kampung Rudan, 29 Mac 2010 (Isnin)


 
Semua ikhwah dan akhawat menjejakkan kaki ke Sekolah Kebangsaan St James pada pagi hari untuk menghantar adik-adik mereka ke sekolah. Mungkin, hari ini kali terakhir dalam tempoh 6 hari itu untuk berada di sekolah tersebut. Kerana...

Jadual tengahari dan petang kami diisi bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong memasak juadah lokaliti masing-masing, berkongsi dan menghargai pemberian nikmat Allah yang luas ini.  Muallimah Zaiton dan akhawat bertungkus lumus memasak Tom Yam Ala Ipoh Mali dan Ayam masak merah. 

 Macam sebok sahaja sahabat-sahabat ni...

Alhamdulillah jam 3 petang sistem air paip Kg Rudan kembali pulih dan memudahkan kami menguruskan acara masak-memasak bagi jamuan malam itu. Pak Wahid dan beberapa ikhwah tidak melepaskan peluang mencari buluh di atas bukit yang licin. Sehingga Ramadan kerap tergelincir demi membawa beberapa batang buluh untuk memasak nasi dalam buluh dan makanan kegemaran kami "Pansoh" iaitu masak ayam dalam buluh. Terima kasih daun keladi kepada Pak Abd Wahid dan ikhwah semua. Jika tidak kempunanlah kami untuk merasa kesedapan nasi huma dalam buluh dan Pansoh!

Hingga pada malam hari, majlis jamuan dan persembahan diraikan oleh penduduk dengan begitu menggalakkan. Hampir semua penduduk Kg Rudan dan Kg Rayang turut serta menjamu selera. Rasanya semua lauk habis kecuali sedikit nasi huma yang Guru Pengiring menjadikannya nasi goreng Kg Rudan. Sedap!

Kami pendakwah muda berkelana di bumi Allah..

Sehabis solat Isya berjamaah diimamkan Pendakwan Zon Ust Ainol Lutfi, majlis persembahan dimulakan di Dewan Kg Rudan. Kanak-kanak juga tidak melepaskan peluang ini dengan mengadakan persembahan yang sungguh terkesan. MasyaAllah. Di samping itu, hadiah penghargaan dan cenderamata diberikan kepada penduduk kampung atas aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Majlis malam itu turut dihadiri oleh Ketua Kaum Adat Kg Rudan Bai Heri (Pak Heri), Ketua Kg Rayang, Ketua Kg Belimbing dan Guru Besas Sek Keb St James, En Razali Jamain (orang Johor yang telah berkahwin dengan muslimah Bidayuh dan menetap lebih 20 tahun di situ). Para Ikhwah tak lupa menunjukkan bakat seni disokong oleh pemuda kampung yang turut serta. Iyadh dan puisi Islami yang syahdu diiringi bunyian-bunyian menusuk kalbu oleh Munzir tak akan dapat dilupakan..
Berbakat dan berani..

Kampung Rudan, 30 Mac 2010 (Selasa)
Jam 8.00 pagi, beg dikumpulkan di depan dewan. Menandakan kepulangan kami pada hari ini dari Kampung Rudan. Syahdu dan sayu, tidak mampu digambarkan. Walhal juga, kepulangan kami insyaAllah memberi kesan yang mendalam bagi jiwa kami dan penduduk kampung terutamanya. Jiwa ke arah kemantapan Roh Islam!
Jangan tinggalkan kami kakak!...kami masih memerlukan bimbingan kasih sayang mu...

-Tamat-



++++++++ ++++++++++ ++++++++++ +++++++++

Jauh sekali untuk mengukur kadar kejayaan dan hasil yang memberangsangkan terhadap perkara yang berlaku kepada para penduduk kampung. Enam hari di sana, sebenarnya banyak aspek yang perlu dinilai lebih mengenai corak hidup, tingkah laku, komunikasi dan 'amal.

Hadirnya kita sebagai da'ie. Tidaklah sama dengan hadirnya hanya berjiwa anak angkat, sahaja. Corak hidup sebagai da'ie, tingkah laku dan komunikasi. Mengenai 'amal, iaitu mutabaah 'amal dan 'amal jama'ie. Rutin hidup mungkin sedikit berubah, jika dibandingkan dengan rutin di lokaliti. Namun sejauh mana perubahan itu telah mengganggu 'amal sebagai da'ie? atau terus tsabat..?

InsyaAllah, semoga kita terus bejiwa ruhiyyah Islamiyyah, tsabat dan meningkat keimanan dengan 'amal yang teguh.
Mohon untuk saling mengingat.
Sedikit perkongsian ringkas yang sebenarnya bukanlah hanya sebagai perkataan, namun untuk dijadikan ibroh. Dan sememangnya tidakkah sama pengalaman 6 hari di sana dengan nukilan ringkas ini kerana sikap bukanlah terbentuk hanya melalui pembacaan.
Wallahua'lam. Wassalam



Catatan: Amin

Sunday, April 4, 2010

LKD Siri Ke-5 Bila ?

Assalamualaikum wmt wbkth

Menemui antum semua dalam iman dan amal soleh yang berterusan.
InsyaAllah LKD Siri Ke-5 dan akhir akan diadakan pada 30 April (Jumaat) hingga 2 Mei (Ahad) di lokasi yang akan dimaklumkan kemudian.

Bertemu lagi dan mohon semua mengisi borang mutabaah amal.

Pengarah LKD

KEMBARA DAKWAH KE BUMI KENYALANG...


























Tuesday, March 23, 2010

Kembara Dakwah akhirnya berjaya juga..


Alhamdulillah seramai 25 orang pelajar dan 3 orang Guru Pengiring telah berangkat ke Bumi Kenyalang pada awal pagi 23 Mac 2010 di LCCT Sepang. Ketua Deligasi diketuai oleh Ust Shahrinizam dan dibantu oleh Ust Soleh Sanafi dan Muallimah Zaiton (Hidayah Ipoh).  Manakala  Ameer Pelajar dipimpin oleh Akh Abdullah Zubayr dibantu Akh Munzir dan akhawat di ketuai oleh Ukht Nur Najihah.

Sewaktu bertolak, semua peserta dibahagikan kepada 2 peringkat. Kumpulan pertama berangkat jam 09:45 pagi dan Kumpulan Ke-2 berangkat jam 12:55 tgh. Alhamdulillah semua selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Ketibaan mereka di sambut wakil HIKMAH dan terus di bawa ke Ibu Pejabat HIKMAH bagi urusan penginapan dan Taklimat. Mereka dimaklumkan menginap di asrama yang disediakan.

Hari ini, pada 24 Mac mereka akan dibawa melawat Ibu Pejabat Baitul Mal Sarawak dan ke beberapa Muzium sekitar Kuching sebelum berangkat terus ke Kg Rodan, Pedawan, Kuching yang akan mengambil masa 2-3 jam perjalanan menaiki bas yang ditempah khas. Majoriti telahpun memeluk Islam kecuali Ketua Kampung. Semoga hatinya akan tersentuh dengan usaha dakwah ini dan kita berharap beliau akan memeluk Islam di akhir program ini, insyaAllah. Untuk pengetahuan setiap kampung saudara baru ini pihak HIKMAH telah menyediakan seorang Daie atau Ustaz bagi membimbing mereka.

InsyaAllah di sana berbagai aktiviti, khidmat masyarakat, permainan, tazkeerah dan kelas Fardhu Ain, pergi ke kebun bersama orang kampung, masak-memasak ala semenanjung dan tradisional akan dijalankan bersama orang kampung. Pihak Kembara telahpun membeli peralatan permainan spt bolasepak, bola jaring, bola takraw dll dan semuanya ini akan digunakan bagi permaianan persahabatan denngan penduduk kampung. Kesemua peralatan ini akan diserahkan kepada penduduk kampung sebagai sumbangan ikhlas.

Saya sendiri akan menyertai mereka pada 28 hingga 31 Mac bagi melihat dan merasai sendiri suasana dan projek dakwah Bil Hal anjuran Musleh dan HIKMAH ini.

InsyaAllah majlis penutup di Kg Rodan akan dijalankan dan ucapan selamat tinggal kepada semua keluarga angkat dan kemudiannya mereka akan berangkat pulang ke Ibu Pejabat HIKMAH pada 30 Mac 2010 bagi sesi bengkel, resolusi dan pembentangan di hadapan kami dan Pegawai HIKMAH. Hari Terakhir 31 Mac 2010 akan dimanfaatkan untuk sesi lawatan dan membeli cenderahati. Kembara akan berangkat pulang pada jam 8:50 malam dan dijangka tiba di LCCT Sepang jam 10:35 malam.

Mari kita doakan kebaikan buat mereka. Amin Ya Rabbal Alamin.

Pengarah LKD

Tuesday, March 9, 2010

Dakwah di Sarawak

Saya suka untuk berkongsi Kertas Kerja oleh Dr. Azhar Ahmad (Penolong Pengarah, Jabatan Pelajaran Sarawak) bertajuk “Latihan Dakwah di Sarawak: Sorotan dan Masa Depan” yang telah beliau bentangkan di Konvensyen Latihan Dakwah JAKIM 2006. Kertas

———————————————-

Konsep dan Tujuan Dakwah

Konotasi dakwah bersumber dari kalimah da’a yang bermaksud menyeru kepada sesuatu perkara. Dari segi istilah, dakwah merujuk kepada usaha menyeru manusia kepada agama Allah (Abdul Karim Zaidan, 1976). Seruan kepada agama Allah bukan sekadar seruan kepada suatu gagasan pemikiran atau ideologi, tetapi juga seruan kepada penghayatan ajaran Islam sebagai ad-din atau cara kehidupan secara total. Oleh itu, usaha dakwah merupakan usaha merubah manusia dan seluruh kehidupannya sama ada dari segi pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan tujuan kehidupan agar akur (comply) kepada tujuan dan kehendak yang ditentukan oleh Islam.

Sasaran dan Faktor Pencapaian Matlamat Dakwah

Sasaran dakwah ialah manusia keseluruhannya (Saba’ 34: 48 ) (”Tidak Kami utuskan engkau [wahai Muhammad] melainkan kepada sekalian manusia bagi menyampaikan berita gembira dan memberi peringatan”). Sasaran dakwah tidak terhad kepada manusia yang sudah Muslim (menyerah diri), tetapi juga kepada manusia yang belum menerima cahaya hidayah.

Pencapaian matlamat dakwah (membolehkan manusia menerima dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan) perlu mengambilkira faktor-faktor kemanusiaan dan kehidupannya seperti faktor fizikal (fisiologi, keperluan hidup), mental (tahap dan pengalaman pembelajaran), perasaan dan ruh (psikologi). Oleh yang demikian, pelaksanaan dakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu atau ajaran Islam kepada manusia yang diseru, tetapi komponen dakwah yang lebih besar adalah membawa manusia bersama menghayati ajaran Islam melalui proses merancang, mengajak, membimbing, memimpin, melaksana dan menyelesaikan masalah kehidupan secara bersama. Inilah yang telah dicontohi oleh Rasulullah SAW dan para salaf al-soleh. Mereka bukan sahaja menyeru kepada Islam tetapi mengajar, membimbing dan hidup bersama dengan masyarakat yang mereka seru di mana sahaja mereka berada.

Perkembangan Dakwah di Sarawak

Perkembangan dakwah sebahagiannya boleh diukur dari dua dimensi utama iaitu secara kuantitatif dan kualitatif. Dimensi kuantitatif dikenalpasti melalui bilangan dan peratus jumlah mereka yang menganut agama Islam pada satu-satu masa. Manakala dimensi kualitatif pula pada kebiasaannya boleh dilihat melalui kualiti kehidupan beragama (religiousity) yang ada pada individu atau umat Islam secara keseluruhannya.

Sehingga kini, belum ada data secara menyeluruh tentang kualiti kehidupan beragama umat Islam negeri Sarawak telah dikumpul melainkan dalam beberapa kelompok tertentu sahaja seperti penghayatan akhlak dalam pelajar sekolah menengah (Azhar, 2006). Namun, perkembangan bilangan dan peratus jumlah penganut beragama Islam boleh dirujuk melalui data-data yang boleh diperolehi dari banci penduduk seperti dalam Jadual 1.1 hingga 1.3 di bawah.

Jadual 1.1: Perkembangan Agama di Sarawak 1947 - 1960


(Sumber: Report on the Census of Population - Sarawak 1960. Superintendent of Census, Sarawak and North Borneo, pg 95-96).

Jadual 1.1 di atas adalah data tentang perkembangan agama-agama dalam kalangan kelompok utama penduduk di negeri Sarawak antara tahun 1947 hingga 1960. Secara keseluruhan, data tersebut menunjukkan bahawa bilangan penduduk beragama Islam menyusut sebanyak 2% dalam tempoh berkenaan. Sebaliknya, agama Kristian berkembang sebanyak dua kali ganda dalam tempoh yang sama. Fenomena ini mungkin boleh dikaitkan dengan zaman kolonialisme yang sedang dialami penduduk negeri Sarawak dalam tempoh berkenaan.

Jadual 1.2: Perkembangan Islam di Sarawak 1960 - 2000

Muslim 30% sahaja (Tahun 2000)(melayu,23% lain-lain bangsa melanau,iban,bidayuh,cina- 7%)

Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak 1960-2000.

Jadual 1.2 di atas pula menunjukkan perkembangan bilangan umat Islam antara tahun 1960 hingga tahun 2000 dalam kalangan semua bangsa di negeri Sarawak. Jadual tersebut menunjukkan pertambahan bilangan dan peratus umat Islam sebanyak 7% dalam tempoh 40 tahun berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk di negeri Sarawak. Walaubagaimanapun, sebahagian besar pertumbuhan tersebut disumbang oleh peningkatan jumlah umat Islam dari kalangan orang-orang Melayu yang asalnya beragama Islam (4.3%). Manakala perkembangan Islam dalam kalangan penduduk bukan Melayu berkembang secara amat perlahan (2.7%) dalam tempoh yang sama. Mungkin angka tersebut boleh dianggap sebagai petunjuk kadar pertumbuhan dakwah Islam dalam kalangan bukan Islam di negeri Sarawak sehingga kini.

Jadual 1.3: Perkembangan Kristian di Sarawak 1960 - 2000


Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak 1960-2000.

Jadual 1.3 di atas menunjukkan perkembangan agama Kristian dalam kalangan semua bangsa di negeri Sarawak dalam tempoh antara tahun 1960 hingga tahun 2000. Berbanding dengan kadar pertumbuhan umat Islam yang bergerak secara perlahan seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1.2 di atas, perkembangan agama Kristian pula menyaksikan kadar pertumbuhan yang amat pesat iaitu sebanyak hampir tiga kali ganda dalam tempoh yang sama dalam kalangan semua bangsa bukan Melayu di negeri Sarawak. Perbandingan antara keriga-tiga jadual di atas mungkin boleh memberi gambaran tentang tahap perkembangan dakwah Islam dalam kelangan masyarakat bukan Melayu yang amat perlahan berbanding dengan apa yang telah berlaku kepada agama Kristian.

Bagi menghuraikan fenomena ini, mungkin baik sekiranya kita meneliti ulasan yang telah dinyatakan dalam laporan penduduk oleh Superitendent of Census, Sarawak and North Borneo (1960: hal. 95-96) seperti berikut:
A pagan settling in or even visiting a Muslim area might well be converted. But these conversions to Islam were the result of accident rather than proselytizing, for missionary work by Muslims is small.. It also shows that almost none of them (Sea Dayaks and Land Dayaks) have embrassed Islam despite the fact that many of them live close to, or have certainly visited, Muslim areas. This tends to confirm the statement made earlier that evangelism by Muslims is small.
Data tentang perkembangan bilangan dan peratus umat Islam di negeri Sarawak serta komentar yang diberikan di atas menggambarkan perkaitan yang kuat antara perkembangan dakwah yang perlahan dengan kemalapan usaha dakwah terutama dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di negeri ini. Kerancakan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Melayu kelihatan bermusim dan berkait rapat dengan kemahuan kepimpinan politik pada ketika tertentu seperti yang telah berlaku pada tahun 1977 dan 1978 (Azhar, 1988).

Konsep dan Skop Latihan Dakwah

Latihan dakwah boleh diertikan sebagai usaha memberi pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan usaha dakwah dalam ertikata yang luas. Usaha ini termasuk melatih kader-kader dakwah (du’at) yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, tetapi juga kemahiran dan ketrampilan sakhsiah bagi membolehkan mereka melaksanakan usaha dakwah dengan berkesan. Usaha melatih para kader dakwah ini pada kebiasaannya dilakukan dalam jangka pendek melalui program-program pengisian ilmu, kesedaran dan kemahiran seperti kursus, bengkel dan seminar atau melalui proses latihan jangka panjang melalui institusi latihan seperti sekolah, madrasah, pusat latihan serta sistem tarbiah secara berterusan melalui usrah, tamrin, mu’askar, katibah dan sebagainya. Kandungan latihan dakwah meliputi keseluruhan ajaran Islam serta ilmu dan kemahiran generik kemanusiaan bagi mengupayakan pendakwah untuk melaksanakan peranan mereka dengan berkesan.

Keperluan Latihan Dakwah di Sarawak

Kombinasi konsep latihan dakwah dan realiti sasaran dakwah (mad’u) di Sarawak melahirkan keperluan latihan dakwah di negeri Sarawak yang mungkin unik berbanding dengan keperluan di tempat lain. Selain dari keperluan untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran asas berdakwah, keperluan latihan di Sarawak memerlukan penguasaan aspek kemahiran berkomunikasi silang budaya. Ia juga memerlukan ketabahan selain dari kesediaan pendakwah untuk hidup bersama dalam kelompok masyarakat yang mereka ingin seru.

Sejarah Latihan Dakwah di Sarawak

Perkembangan latihan dakwah di Sarawak dapat dirumuskan seperti berikut:

1. Usaha tarbiah secara berterusan di kalangan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan seperti HIKMAH, ABIM, JIM.

2. Kursus, seminar dan konvensyen dakwah berkala yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Pelajaran, JAKIM dan juga NGOs - seperti Bengkel Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk, Out-reach dsb.

3. Penubuhan pusat latihan dakwah yang khusus oleh BINA/HIKMAH (Institut Dakwah Bina, Institut Darul Falah, Pusat Latihan Dakwah) dan JAKIM (Pusat Latihan Sarawak & Institut Kemahiran Islam Sarawak).

Institut Dakwah BINA adalah sebuah pusat latihan bagi menyediakan para daie di kalangan saudara baru secara lebih meluas dan berkesan bermula dengan penubuhan Darul Rahmah pada tahun 1975. 1983, Institut Dakwah BINA (kemudian IDDF) telah ditubuhkan untuk memberikan pendidikan formal dan informal bagi melahirkan alim ulama’ dari keturunan bukan Melayu serta para Imam, guru agama yang boleh menjadi contoh kepada penduduk setempat dalam bentuk peribadi dan cara mengendalikan kehidupan berpandukan ilmu ternakan dan pertanian. IDDF telah ditutup pada Disember 1999 (13 orang pelajar). Sepanjang 16 tahun operasinya, IDB/IDDF telah melatih seramai 517 pelajar dari pelbagai suku kaum seperti Melayu (143), Melanau (38), Iban (94), Bidayuh (109), Punan (1), Kenyah (1), Punjabi (1) dan lain-lain (33). Terdapat beberapa orang lulusan IDB/IDDF telah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Mesir, Arab Saudi, Jordan, Libya, Pakistan, Indonesia dan universiti tempatan (LAKDF, 2001).

4. Penghantaran para kader dakwah melanjutkan pengajian di pusat latihan dakwah PERKIM dan luar negara seperti Libya, Madinah, Pakistan, Indonesia dsb.

5. Usaha pendidikan agama dari peringkat tadika sehinggalah sekolah menengah oleh pihak kerajaan dan NGOs. SMKA telah ditubuhkan di Sarawak sejak tahun 1977 dan kini telah ada lapan buah SMKA di seluruh negeri. Manakala SK Agama telah ditubuhkan sebuah di setiap bahagian.

6. Program khas pelajar Sarawak di Akademi Pengajian Islam, UM sebanyak 20 orang setahun semenjak tahun 1983.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi memberi latihan dakwah oleh pelbagai pihak, namun ia masih perlu dipertingkatkan dari aspek kuantiti, kualiti dan keselarasan kerja. Berbagai kemungkinan boleh dikaitkan dengan kelemahan ini. Antaranya ialah faktor kesatuan fikrah dan tindakan, pembangunan modal insan, faktor ‘kesementaraan’ pendakwah, karenah birokrasi (Juanda Jaya, 2006), kekurangan data yang dikemaskini dan kekangan kewangan.

Potensi

Usaha perancangan aktiviti latihan dakwah di negeri Sarawak perlu mampu mengambilkira dan memanfaatkan beberapa potensi sedia ada seperti berikut:

1. Kemahuan politik untuk melaksanakan pendekatan Islam Hadhari dan penerapan nilai Islam dalam kalangan masyarakat.

2. Struktur organisasi, sumber kewangan dan tenaga manusia dari pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan dll.

3. Kuantiti dan kualiti guru-guru Pendidikan Islam yang bertebaran di seluruh ceruk dan rantau negeri Sarawak (pada tahun terdapat lebih 2000 orang GPI yang sedang berkhidmat di Sarawak).

4. Pengalaman dan struktur organisasi pertubuhan-pertubuhan dakwah yang telah lama melaksanakan usaha dakwah di Sarawak.

Apa yang Boleh dan Perlu Dilakukan?

Usaha untuk merealisasikan hasrat untuk melaksanakan usaha dakwah dengan berkesan khususnya di Sarawak merupakan satu perkara yang sangat mencabar. Oleh yang demikian, komitmen berterusan terhadap beberapa prinsip berikut mungkin dapat membantu kita menghadapi cabaran tersebut:

1. Mengenalpasti matlamat, realiti, kekuatan, kekangan, keperluan dan potensi dakwah (SWOT Analysis)

2. Mengenalpasti keperluan dan potensi latihan dakwah secara menyeluruh dan bersepadu

3. Perancangan strategik latihan dakwah secara bersepadu

4. Pelaksanaan latihan dakwah secara berfokus

5. Perancangan berterusan peruntukan kewangan dan logistik latihan dakwah

6. Penilaian latihan dakwah secara berterusan

7. Keterbukaan, kesatuan pemikiran dan tindakan semua pihak yang terlibat dalam latihan dakwah dan pelaksanaan dakwah.

Rujukan:

Ab Halim Tamuri & Azhar Ahmad. 2006. Prospek Pendidikan Islam di Sarawak. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 17-36.

Abdul Karim Zaidan. 1976. Usul al-Da’wah. Maktabah al-Mannar al-Islamiyyah.

Azhar Ahmad. 1988. Pengislaman dan Pengamalan Islam di kalangan Masyarakat Bidayuh di Bahagian Pertama, Sarawak. Latihan Ilmiah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

Azhar Ahmad. 2006. Strategi Pembelajaran Pengaturan Kendiri Pendidikan Islam dan Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah di Negeri Sarawak. Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan, UKM.

Hazarudin Haji Baharudin. 2006. Pengurusan Dakwah: Aktiviti Pusat Latihan Sarawak. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 43-55.

Lembaga Amanah Kebajikan Darul Falah. 2001. Institut Dakwah Darul Falah Dalam Pelbagai Budaya. Kuching.

Zulkiple Abdul Ghani. 2006. Pengurusan Dakwah di Sarawak. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 2-15.

Zulkiple Abdul Ghani & Haji Abdul Kodir Sallah. 2006. IKMAS:Persedian Pendakwah Professional. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 37-42.

Wallahu a’la wa a’lam.

Kenali HIKMAH Sarawak

Logo HikmahHarakah Islamiah (HIKMAH) yang dirasmikan pada 2 Rabiul Akhir 1414H/18 September 1993 dalam Mesyuarat Perhimpunan Perkawilan BINA yang ke-11 yang diadakan di Ibu Pejabat BINA Petra Jaya Kuching merupakan wadah baru yang meneruskan perjuangan dakwah BINA iaitu satu Pertubuhan Islam bukan kerajan yang bergerak cergas di bidang dakwah Islamiah bagi melaksanakan risalah “ Amar Ma’ruf Nahi Mungkar” mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah mereka daripada usaha dan perbuatan yang mungkar.
HIKMAH yang merupakan kesinambungan perjuangan BINA mula dikenali masyarakat Islam bukan sahaja di Sarawak malah di seluruh dunia. Aktiviti dakwah yang telah dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi ini telah bejaya menarik ribuan masyarakat yang bukan Islam seperti Bidayuh, Iban, Melanau dan lain-lain lagi untuk memeluk agama Islam.

Selain daripada aktiviti dakwah ini, HIKMAH juga merupakan wadah perjuangan yang telah mengumpulkan ramai sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk menyemai bakti bersama HIKMAH untuk memperjuangkan Islam. HIKMAH juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang bercorakkan Islam seperti menyediakan sarana pendidikan, seminar, ceramah, diskusi serta pelbagai aktiviti lain dalam rangka menyebar luaskan Islam di kalangan masyarakat setempat.

KEMBARA DAKWAH KE BUMI KENYALANG

Assalamualaikum wmt wbth

Anggota Kader Duat yang dirahmati.
Pertamanya saya memanjatkan kesyukuran atas sokongan antum semua. Setakat ini kita telah menerima 25 nama peserta yang bersedia dan sukarela untuk meneroka pengalaman baru. Tanpa usaha tiada hasil. Tiada hasil bermakna tiada kajian dan natijah. Dengan mencuba perkara baru dan tajribah baru kita akan dapat hasil dan kajian yang baru. Hasil kajian yang akan kita lalui itulah tarbiyyah yang akan mematangkan kita dan akan memahamkan kita akan makna-makna yang yang tersembunyi dan sukar difahami.

Lihat sahaja Baginda Ar Rasul s.a.w beliau sewaktu remaja telah bermusafir ke Syams (Syria). Perjalanannya yang amat jauh dan sukar. Di sanalah Bapa Saudaranya berjumpa Pendita Buhaira. Tidak lain dan tidak bukan jika diambil iktibarnya ialah pendedahan antarabangsa dan jaulah ke tempat lain dari biasa akan membuka ufuk fikiran dan akan mengkayakan ilmu dan pengalaman. Ilmu melalui pengalaman ini pula tiada di dalam buku. Mesti dirasai sediri baru ada umpnya. Dengan menaiki unta di padang pasir di kesejukan malam, berlindung dibawah panas mentari dan melalui seluruh pengalaman senang dan susah, serta mengenali budaya baru dan orang baru maka akan terbukalah hijab pengetahuan.

InsyaAllah Kembara Dakwah Ke Bumi Kenyalang juga mendapat sokongan padu dari JK Tarbiyyah Pelajar Musleh. Mereka ingin teruskan dan dengan semangat yang ditunjukkan maka saya tidak akan menoleh lagi dan akan berusaha menjayakannya demi memberi pengalaman dan ilmu kepada antum semua.

Kembara akan bermula pada 23 Mac 2010 hingga 31 Mac 2010, InsyaAllah. Jadi bagi melancarkan pembelian tiket kami memerlukan sumbangan peserta dengan kadar segera sebanyak RM300.00 kepada Sekretariat. Setakat semalam harga tiket adalah RM232.00 Hari ini entah berapa pula. Jadi sila ambil tindakan pantas dengan membuat pembayaran awal kepada Akaun Musleh Education and Training Centre (METC) : 1403-000-57-297-18 bank Muamalat Malaysia Berhad. Pihak kami akan mendahulukan bayaran pembelian tiket. Baki lagi RM300 boleh dibuat kemudian sebelum bertolak insyaAllah. Sila sms kepada pegawai kami atau faks slips: 03-41474800

Sebarang kemusykilan sila hubungi Pegawai Kami(Pelatih) METC
Abdul Rashid : 013-2647057  atau Amin 0132379517

Di sana nanti Pihak HIKMAH Sarawak akan memberi taklimat, bimbingan dan bantuan bagi menjayakan agenda ini insyaAllah. Kepada yang tidak dapat turut serta doakanlah kami dan berilah sokongan moral kepada kami ini agar sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Sekian, 
Pengarah LKD






Thursday, March 4, 2010

Siapa Berusaha InsyaAllah berjaya

Assalamualaikum wmt.wbkth

Saya sedang usahakan untuk mendapatkan tajaan sekurang-kurangnya kos tiket bagi 26 peserta KEMBARA DAKWAH ke Bumi Kenyalang anjuran Musleh dan HIKMAH Sarawak. Kita ingin pelajari usaha dakwah Bil Hal Hikmah. Kita bukannya banyak ilmu tetapi kita sampaikan walaupun satu ayat yang kami faham.

Kita sasarkan RM15K. Esok ada satu majlis di mana saya akan hadir dan saya akan mohon diedarkan tabung di atas. Doakan Allah SWT redha dan permudahkan kita mendapat dana di atas. Lagi banyak lagi baik agar kita dapat sumbangkan sebahagian kepada mereka yang memerlukan.

Ya Allah Ya Razzak. Engkaulah pemilik kerajaan Langit dan Bumi. Segalanya milik Mu. Kurniakan kami Ya Allah sedikit rezeki untuk kami jalankan usaha dakwah Mu. Kami ni faqir Engkaulah Allah Yang Maha Kaya.

Redhailah usaha kami. Amin.

Pengarah LKD

Wednesday, March 3, 2010

Di mana LKD Siri 4?

Assalamualaikum wmt.wbth

Pertamanya saya mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi yang mengizinkan kita semua mengadakan latihan Kader Duat Siri 3 baru-baru ini. Ini semua adalah dari rahmat Allah SWT. Dengannya kita dapat mempelajari bahan-bahan baru serta meningkatkan kualiti diri kita semua dari semua segi. Kita semua dapat saling bertemu dan merasai kehangatan ukhuwwah dan kasih sayang. Sesungguhnya dakwah Ar Rasul s.a.w bermula dengan dakwah kepada iman kepada Allah SWT. Dengannya hati-hati menjadi bersih. Iman mereka meningkat dari satu hari ke satu hari yang lain. 

Dengan iman, Baginda Ar Rasul mempersaudarakan para sahabah. Tali persaudaraan di bina tanpa mengira bangsa dan kaum, keturunan dan kekayaan. semuanya bersatu kukuh di atas manhaj Ilahi. Inilah jalan kita dan jalan kebenaran yang kita sama-sama lalui. Kita merasai iman itu dan kita dapat merasai erti ukhuwwah yang penuh kasih sayang sesama kita. 

Sepanjang latihan, saya memohon kemaafan kepada semua Kader jika ada yang terasa atau terguris perasaan. Namun apa yang saya usahakan bersama Para Mudarrib hanyalah satu. Iaitu mahu melihat adanya perubahan. Perubahan kepada yang lebih baik. Perubahan sikap dan adab. Perubahan ilmu dan makrifat. Semua perubahan ini hanya dapat kita lakukan dengan penuh kesedaran dan mujahadah. Kita makan ala kadar. Kita tidur di tempat yang tidak selesa. Kita bangun di waktu sahur untuk bertahajjud. Kita merasa penat kerana terpaksa musafir berjam-jam lamanya. Semua ini ialah demi membina keperibadian kita. Kita ingin islahkan diri kita sebelum kita ingin menyeru orang lain. Membina diri lebih sukar dari mengajak orang atau menegur orang lain.  Kepada semua yang telah berkorban masa, tenaga dan harta bagi menghadiri program LKD saya ucapkan tahniah dan moga diberikan ganjaran Allah di dunia dan akhirat nanti.

Para Anggota LKD sekalian,
Kepada semua yang sedang menunggu keputusan SPM diharapkan agar bersabar. InsyaAllah akan diberikan kejayaan yang cemerlang dan terbilang.
InsyaAllah LKD Ke-4 sedang dirancang. Jika tiada halangan akan diadakan pada 2-4 April 2010. Lokasi yang sedang dirancang berkemungkinan di KL/JB atau Trengganu. Tarikh ini telah dipinda dari cadangan sebelumnya iaitu pada 26-28 Mac kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.

Bertemu lagi insyaAllah di sana nanti. Amin
Pengarah LKD



Wednesday, February 10, 2010

Gambar Peserta Mukhyyam Tarbawi LKD Siri 2

Peserta Mukhayyam Tarbawi Ikhwah
Latihan Kader Duat Siri 2Di Lata Celak, Baling Kedah.29-31 Januari 2010 
Pengarah LKD dan Ust Haris Bain, Pengarah Eksekutif WAMY turut hadir



Peserta Mukhayyam Tarbawi Akhawat 
Latihan Kader Duat Siri 2Di Lata Celak, Baling Kedah

Diucapkan tahniah kepada semua yang telah berkorban masa, harta dan tenaga demi menjayakan program tarbawi ini. Majoriti datang dari jauh dan terpaksa menaiki bas dan keretapi hampir 10 jam. Semoga Allah SWT membalas amal antum semua

Pengarah LKD