Sunday, April 12, 2015

Annual Grand Meeting (AGM) 2015

Bismillah.

Alhamdulillah.

Bertempat di Pejabat IKRAM Hulu Langat, Annual Grand Meeting (AGM) bagi Kader Duat Musleh (KDM) pada 12 April 2015. Program ini berjaya mengumpulkan 119 ahli KDM yang terdiri 55 ikhwah dan 64 akhawat. Program ini telah dilaksanakan bagi membuat pemilihan amir dan amirah baru selain mengeratkan ukhuwah di kalangan ahli KDM generasi pertama hingga keenam.

Majlis bermula secara rasmi pada jam 10.00 pagi, dengan dipengerusikan oleh Akh Syafiq Akram bin Mohd Arman. Alunan tilawah surah At-Taubah ayat 38 hingga 47 oleh Akh Thufail Sayuti menjadi pembuka tirai majlis.

Ini diikuti dengan ucapan aluan penasihat KDM, Ustaz Ahmad Taufiq bin Jaafar. Dalam ucapan beliau, Ustaz Ahmad Taufiq menekankan perlunya ahli KDM untuk sama-sama turun padang dan membantu usaha pentarbiyahan adik-adik di sekolah rangkaian Musleh. Katanya, "Adik-adik sangat merindukan sentuhan kakak-abang alumni."

Setelah itu, Akh Ammar Md Zin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa Negeri Selangor, menyampaikan ucapan perasmian majlis. Beliau menekankan konsep pengorbanan yang sebenar serta mengingatkan hadirin akan hakikat daie yang 'yakhtalithun walakin yatamayyazun' (bermasyarakat tetapi  berbeza).

Kemudian, para hadirin disajikan dengan tayangan multimedia yang memaparkan ringkasan perjalanan LKD 1 hingga LKD 6. Pada jam 11.15 pagi, sesi pilihanraya untuk pemilihan amir dan amirah KDM baru dilaksanakan. Hasil daripada undian, Akh Ahmad Syafiq bin Yusof dipilih sebagai amir manakala Ukht Nur Liyana  binti Zakaria sebagai amirah.

Seusai pengumuman keputusan undian, sesi perkongsian wakil sekolah dijalankan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Pada jam 1 petang, semua hadirin berkumpul di dewan untuk sesi pembentangan struktur KDM. Sesi ini dikelola oleh amir baru KDM, Akh Ahmad Syafiq bin Yusof.

Majlis bersurai jam 2 petang dengan sesi fotografi, makan dan solat berjemaah.

Jazakumullah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program AGM, sama ada langsung atau tidak langsung. Pihak penganjur memohon maaf atas segala kekurangan.

Mudah-mudahan, Allah meredhai segala usaha kita. Sehingga bertemu semula di AGM, April 2016.

Nota : KLIK untuk mengetahui struktur organisasi terkini KDM.

Monday, March 2, 2015

LKD 6



Latihan Kader Duat (LKD) Jiil 6 (generasi ke-6) 

Alhamdulillah.

Latihan Kader Du'at generasi ke-6 dengan jayanya telah dilangsungkan bermula 21 Januari sehingga 12 Februari 2015. Program bertemakan "Du'at Peneraju Ummah" kali ini disertai oleh 43 ikhwah dan 51 akhawat. Siri LKD 6 kali ini merupakan pertama kalinya dilangsungkan secara berterusan 22 hari tanpa henti, berbeza dengan siri sebelumnya yang hanya dilaksanakan secara berkala pada setiap bulan hingga melangkah ke gerbang IPT.

Menjalani dua hari dalam minggu pertama di Sekolah Sri Al-Amin Bangi, Selangor. Dengan hari pertama, Rabu 21 Januari, peserta diberikan taklimat sepanjang program, mind setting, ice breaking dan pembahagian kumpulan. Menjelang hari kedua, dengan aktiviti pemecah adat LKD, peserta ditebarkan ke lokasi-lokasi utama di Bandaraya Kuala Lumpur dengan aktiviti mencabar, Explorace. Di mana aktiviti Explorace kali ini merupakan pertama kalinya sepanjang 6 tahun siri program LKD ini dilancarkan. Di samping para peserta berkembara, mereka diberikan tugasan-tugasan yang membina skil komunikasi spontan, puzzle kalimat dan hikam, dan merakam momen terindah.

Pagi jumaat yang barakah, lokasi acara LKD 6 berpindah ke Impian Country Resort, Hulu Langat, Selangor. Mood program dikekalkan dalam bentuk kem dalaman (indoor camp), daurah bedah buku "Usul 20" karangan oleh Imam Hassan Al-Banna, bedah filem "Sang Pencerah", latihan dalam kumpulan dan riadah jasadi. uniknya, peserta diberikan tugasan menyediakan menu masakan dengan pantauan fasilitator, ke arah menyempurnakan salah satu sifat muslim sejati 'qadirun ala kasbi' (mampu berdikari).

Pada minggu kedua, jauh meninggalkan tanah semenanjung Malaysia,  Jaulah Tarbawi ke Medan, Sumatera Utara, Indonesia. 3 hari di Bandar Medan, para peserta berpeluang melawat Sekolah Menengah Agama Al-Fityan dan Sekolah Dasar (Rendah) Juara dengan objektif menyantuni mereka dan mengeratkan hubungan serantau. Dan pada malam harinya, peserta disajikan dengan tazkirah-tazkirah daripada Asatizah tempatan. Antara judul tazkirah yang dikupas semasa di Kota Medan termasuklah Kemanisan Ukhuwah, Dakwah Adalah Cinta.
 

Pada hari ketiga di Medan, semua peserta dibawa ke Bumi Kem Sibolangit, Medan. Sepanjang 5 hari perkhemahan di Sibolangit, peserta didedahkan dengan aktiviti-aktiviti lasak, trekking ke Dam (empangan air), riadah berpoin-lapor (checkpoint), tadabbur alam ke Bukit Salip dan mencebur kesejukan semula jadi sungai sekitar kem menjadikan memori di Bumi Kem Sibolangit terlalu indah untuk dilupakan. Ditambah dengan keberadaan para Instruktur Indonesia daripada Medan Youth Club (MyClub) yang begitu ramah dan mesra. Subhanallah.















Setelah berpenat Kem di Sibolangit, peserta dibawa berkunjung dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke kawasan evakuasi gunung berapi Gunung Sinabung. Syukur alhamdulillah, pada ketika itu Gunung Berapi Sinabung dalam keadaan baik dan selamat untuk aktiviti ziarah LKD 6. Sebaik selesai misi ziarah ke Sinabung, semua rombongan berhenti bersiar-siar seketika di lokasi pelancongan Berastagi yang suasananya ala Tanah Tinggi Cameron. Menjelang maghrib, semua peserta tiba semula di penginapan Balai Pendidikan dan Pelatihan Keagamaan Medan atau dalam bahasa tempatannya Balai Diklat Keagamaan (BDK) Medan.

Hari terakhir peserta LKD di tanah seberang, seharian mereka dibawa 'putar-putar' ke sekitar Kota Medan. Ke Kedai Moslem Sentral Koleksi Islam, berkunjung ke Istana Maimoon, sesi santap tengah hari di Kantor Rasmi Gubenur Sumatera Utara dan beramah mesra dengan isteri gabenor Sumatera Utara, Nyonya Hajjah Sutias Handayani Gatot Pujo Nugroho, dan akhir sekali ke Kedai Batik & Telekung Wajir.










Sekembalinya peserta di tanah air, mereka langsung ke Impian Country Resort menyambung agenda LKD 6. Pada minggu terakhir, peserta diberikan pendedahan berkenaan realiti di institusi pengajian tinggi serta persediaan menghadapinya. Pada malam terakhir, sesi curahan hati dan harapan sesama peserta menyempurnakan pertemuan ukhuwwah ringkas mereka dalam program LKD 6 ini.




Dan seawal jam 4 pagi, semua peserta bertolak kembali ke Sekolah Sri Al-Amin Bangi untuk acara penutupan dan penyerahan sijil penyertaan peserta. Turut hadir dalam majlis penutup Ustaz Megat Mohamed Amin selaku Pengarah Eksekutif Ikram - Musleh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa Pusat Al-Akh Ameer Rasyid.


Mudah-mudahan, dengan bekalan yang diperoleh, barisan kader du'at Generasi ke-6 ini mampu memberi nafas baru dalam tarbiyah serta mengubah landskap tarbiyah dan dakwah di IPT.

Kami ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak membantu dalam menjayakan program LKD 6. Mudahan-mudahan segala usaha yang mulia ini diganjari oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran.




Sunday, March 1, 2015

SPM : LKD 6

Bismillah.



Bittaufiq wa Najah buat LKD 6 :)

Kami mendoakan kecemerlangan antum. 

"Real success is not determined by your results or amount of A's, 
but, how the results make us a better servant of Allah." 
- Quoted -